Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Industri pengurusan acara dijangka akan menjadi pilihan usahawan muda sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa. Hal ini demikian kerana pelibatan mereka dalam bidang tersebut tidak memerlukan modal yang besar dengan kaedah pemasaran berorientasikan teknologi dan media sosial dilihat semakin memberansangkan.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), YBhg. Dato’ Mohammad Sahar Mat Din dalam rancangan “KOPIeKONOMI” terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang mengupas tentang Prospek Industri Pengurusan Acara di Pusat Konvensyen Bangi, semalam.
Hal ini dikatakan demikian kerana penganjuran majlis seperti sambutan hari lahir, pertunangan dan perkahwinan pada masa ini, selain acara besar seperti ekspo, pameran, program rasmi kerajaan sama ada peringkat domestik mahupun antarabangsa sering dikaitkan dengan perkhidmatan pengurusan acara.
Beliau berkata,
Keadaan ini menjadikan industri pengurusan acara pesat membangun sehingga mewujudkan kira-kira 20 ribu buah syarikat yang berdaftar dan jumlah tersebut berjaya mewujudkan 10 peratus daripada Keluaran dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangka meningkat lima hingga enam peratus pada setiap tahun.
“Justeru, tumpuan dan sambutan yang baik daripada orang ramai terhadap industri tersebut telah mewujudkan peluang pekerjaan dan sumber pendapatan terutamanya kepada usahawan kecil,” katanya.
Selain itu, industri ini berpotensi mencambahkan industri hiliran (downstream industry) yang boleh bergerak serentak dalam sesebuah majlis sama ada usahawan yang memiliki syarikat pengurusan acara yang besar atau pengurus acara yang bekerjasama dengan syarikat pembekal lain.
Perkara ini merupakan peluang yang baik apabila agensi kerajaan memberikan sokongan dari segi pendanaan, bahkan peniaga senior yang mempunyai modal yang baik juga bersedia bekerjasama dengan peniaga baharu sebagai rakan kongsi menerusi bantuan bimbingan, pembangunan produk dan hala tuju sehingga mampu berdikari untuk membina perniagaan sendiri.
Di samping itu, beliau memaklumkan bahawa semua orang yang berminat boleh menyertai industri pengurusan acara dan tidak semestinya memerlukan kelayakan dalam bidang hospitaliti, jurusaji dan sebagainya kerana pihaknya menyediakan mentor yang boleh membimbing bakal usahawan dengan menyertai latihan yang diberikan.
Secara umumnya, perkembangan teknologi digital dan kecerdasan buatan sangat diperlukan dalam konteks pengurusan acara pada hari ini bertujuan untuk menjimatkan kos serta melaksanakan acara dengan mudah dan berkesan.
“Pengurus acara atau penyedia tempat acara sentiasa memberikan alternatif kepada para pelanggannya bergantung pada kemampuan mereka. Sebagai contoh, mereka masih boleh menggunakan kain rentang bercetak jika mahu menjimatkan perbelanjaan, tetapi sekiranya mereka mempunyai lebihan pendapatan, mereka boleh menggunakan skrin diod pemancar cahaya (LED),” ujarnya.
Bahkan perkara ini turut disokong oleh Ketua Pegawai Eksekutif Sunsuria Solution, YBrs. Puan Norhazlina Hamadan yang juga usahawan pengurusan acara bahawa trend pengurusan acara pada masa ini berbeza dengan zaman dahulu dengan penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan yang membantu meningkatkan jangkauan pelanggan seperti penganjuran majlis kenduri kahwin di premis luar, penggunaan kad jemputan dan papan tanda digital.
Tegas beliau lagi,
Jadi, sebagai pengurus acara sebenarnya tidak memerlukan tenaga kerja yang banyak kerana yang penting adalah kerjasama dengan syarikat pembekal lain untuk meningkatkan tawaran kepada pelanggan.
Tambah beliau, pengurusan acara bukan sesuatu perkara yang mudah untuk memastikan kelancaran majlis kerana bidang tersebut memerlukan minat dan pasukan yang kuat.
Antara kriteria untuk menjadi seorang pengurus acara yang baik termasuklah mempunyai sifat teliti, kemahiran komunikasi yang baik, kemahiran bekerjasama dengan syarikat pembekal lain, tersusun dalam pengurusan majlis serta berkemampuan mengawal emosi diri sendiri dan pelanggan.