Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSabak Bernam – Lembaga HASiL Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni) MADANI di Sekolah Kebangsaan Doktor Abdul Latiff (SKDAL).
Program Santuni MADANI merupakan inisiatif yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang melibatkan pemimpin jabatan kerajaan dalam pemantauan secara langsung dan sesi libat urus bagi mengenal pasti masalah sosioekonomi serta keperluan penduduk di kampung atau daerah masing-masing.
Kampung Batu Dua Sepintas telah dipilih sebagai lokasi pelaksanaan program yang dikelolakan oleh HASiL, manakala SKDAL yang telah lama menjadi pusat pendidikan untuk anak-anak Kampung Batu Dua Sepintas, terus memainkan peranan penting sebagai platform pembangunan ilmu masyarakat setempat.
Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin dalam ucapan perasmian berkata, HASiL sentiasa mendekati rakyat dan komuniti setempat menerusi program CSR yang dianjurkan dengan tema yang berbeza setiap tahun.

Menurut beliau, pada tahun ini HASiL memfokuskan sukan dan keceriaan dengan sumbangan berkaitan dengan aktiviti kesukanan dan penambahbaikan infrastruktur akan dimanfaatkan bersama.
Ujar beliau lagi,
HASiL turut mengambil ruang dan peluang ini untuk menyebarluaskan maklumat percukaian kepada warga kerja pendidik dan murid di SKDAL sebagai usaha untuk meningkatkan kesedaran kepentingan cukai kepada segenap lapisan masyarakat, seterusnya dapat menzahirkan rasa kasih sayang, menyemarakkan rasa kebersamaan dan membangkitkan semangat kesepaduan.
Dalam majlis tersebut, HASiL mengambil peluang menyerahkan sumbangan berjumlah RM16,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SKDAL bagi tujuan pembaikan serta keceriaan sekolah.

Sumbangan Tunas HASiL turut diserahkan kepada 42 orang murid asnaf SKDAL.
Menariknya, Sudut Informasi Hasil turut dilancarkan sebagai gerbang maklumat untuk para guru dan murid mendapatkan informasi berkaitan dengan percukaian.
Pelbagai pengisian aktiviti berkonsepkan pendidikan percukaian telah dilaksanakan, iaitu pertandingan mewarna untuk prasekolah, permainan percukaian untuk Tahap 1 dan 2 dan tayangan video percukaian.
Program ini dijayakan melalui kerjasama strategik antara HASiL, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dengan pihak SKDAL, dengan tujuan memupuk semangat kebersamaan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
Yang turut hadir ialah Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, YBrs. Dr. Zakaria Othman; Pengarah Jabatan Khidmat Korporat HASiL, Puan Noraini Mustafa; Pengarah HASiL Negeri Selangor, Puan Hamisah Ismail; Guru Besar SKDAL, Puan Salasiah Ahmad, pemimpin komuniti setempat serta pegawai kanan HASiL, para guru, ibu-bapa dan pelajar SKDAL.
Penganjuran program ini diharap dapat diteruskan sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam usaha menerapkan budaya prihatin serta memastikan tiada golongan yang terpinggir dalam menikmati hasil dan kemakmuran negara.