Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPenuaan penduduk kini menjadi isu global yang kian mendapat perhatian di seluruh dunia. Negara maju telah lama menghadapi cabaran yang berkaitan dengan peningkatan warga emas, kini tiba giliran Malaysia bakal berdepan situasi yang sama. Fenomena ini berlaku apabila kadar kelahiran menurun dan jangka hayat penduduk meningkat yang menyebabkan jumlah warga emas bertambah dengan ketara.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, negara ini dijangka mencapai status negara tua menjelang tahun 2030, apabila lebih daripada 15 peratus penduduknya berusia 60 tahun ke atas. Dalam konteks ini, kesejahteraan hidup warga emas adalah sangat penting dan perlu diberi perhatian terutamanya dalam aspek kewangan, kesihatan, perumahan dan sokongan sosial.
Belanjawan 2025, yang dibentangkan oleh Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober 2024, mencerminkan komitmen kerajaan dalam usaha mempertingkatkan kualiti hidup warga emas. Melalui belanjawan ini, pelbagai inisiatif diperkenalkan untuk melindungi kesejahteraan warga emas, meliputi bidang perlindungan sosial, kesihatan, perumahan, dan insentif cukai. Komitmen kerajaan yang ditunjukkan dalam Belanjawan 2025 ini membuktikan kesungguhan kerajaan untuk membina persekitaran hidup yang inklusif dan menyokong, agar warga emas di Malaysia dapat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, bermaruah dan selesa.
Peruntukan untuk Perlindungan Sosial Warga Emas
Perlindungan sosial merupakan aspek penting untuk menjamin kehidupan yang lebih terjamin bagi warga emas, terutamanya bagi mereka yang tidak lagi mempunyai sumber pendapatan tetap. Dalam Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk kebajikan warga emas, meliputi pelbagai inisiatif yang dirancang khusus untuk meningkatkan kesejahteraan mereka. Antaranya ialah Bantuan Warga Emas, iaitu bantuan bulanan sebanyak RM600 yang disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Bantuan ini bertujuan untuk membantu warga emas yang layak bagi menampung kos sara hidup harian, terutamanya mereka yang tidak mempunyai sokongan keluarga atau sumber pendapatan tetap.
Selain itu, peruntukan ini juga merangkumi sokongan kepada Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang menyediakan ruang bagi aktiviti sosial dan mental untuk meningkatkan kesejahteraan warga emas. PAWE berfungsi sebagai pusat interaksi bagi warga emas, mengurangkan rasa terasing, dan menyediakan pelbagai aktiviti yang memupuk kesihatan mental dan fizikal mereka. Melalui Belanjawan 2025, kerajaan juga menggalakkan warga emas untuk kekal aktif melalui aktiviti sosial yang lebih menyeluruh, memastikan mereka terus terlibat dalam masyarakat.
Di samping itu, kerajaan memperkenalkan Unit Penyayang Warga Emas (UPWE) untuk membantu warga emas yang memerlukan penjagaan di rumah. UPWE sangat penting bagi mereka yang tinggal bersendirian atau mempunyai mobiliti terhad, membolehkan mereka menjalani kehidupan dengan martabat dan rasa dihargai. Selain penjagaan asas, inisiatif ini membolehkan warga emas menikmati kehidupan berkualiti dalam persekitaran yang selesa dan selamat. Untuk memperkukuh kesejahteraan mereka, Belanjawan 2025 turut menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dan pendidikan celik kewangan dalam kalangan warga emas, agar mereka lebih bersedia menghadapi cabaran ekonomi semasa.
Sokongan Kesihatan untuk Warga Emas
Kesihatan adalah aspek penting dalam kehidupan warga emas kerana pada usia yang semakin tua, mereka lebih terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan. Menyedari hakikat ini, Belanjawan 2025 memperuntukkan dana untuk memperkukuh perkhidmatan kesihatan yang menyeluruh bagi warga emas. Selain menyediakan sokongan kesihatan fizikal, Belanjawan 2025 turut menekankan aspek kesihatan mental dengan memperkenalkan pelbagai inisiatif psikososial. Sebagai sebahagian daripada inisiatif ini, kerajaan menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang menawarkan perkhidmatan sosial seperti bimbingan dan kaunseling khusus untuk warga emas. PSSS bertujuan memberikan sokongan emosi bagi mengurangkan masalah kesunyian dan tekanan mental dalam kalangan warga emas, terutamanya mereka yang mungkin berdepan cabaran dalam mendapatkan interaksi sosial yang mencukupi. Dengan adanya pusat sokongan ini, warga emas dapat mengakses perkhidmatan kaunseling yang membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan bermakna, seterusnya meningkatkan kesejahteraan mental mereka.
Di samping itu, Belanjawan 2025 juga berusaha untuk meningkatkan kebolehcapaian warga emas terhadap aktiviti sukan dan riadah melalui program Sukan untuk Semua. Di bawah program ini, kerajaan memperkenalkan Program Pembudayaan Sukan Warga Emas untuk memperkukuh penyertaan warga emas dalam aktiviti fizikal. Program ini memastikan warga emas mendapat akses yang lebih mudah kepada fasiliti sukan yang sesuai, membolehkan mereka kekal aktif dan sihat. Dengan akses kepada kemudahan sukan yang lebih baik, warga emas dapat menikmati kehidupan yang lebih aktif, mengurangkan risiko penyakit serta meningkatkan tahap kesihatan fizikal dan mental.
Inisiatif Tempat Tinggal yang Selamat dan Sesuai
Perumahan yang selamat dan mesra usia merupakan keperluan asas bagi kesejahteraan warga emas. Dalam Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan dana bagi menaik taraf kemudahan tempat tinggal awam agar lebih sesuai dan selamat, membolehkan warga emas menjalani kehidupan harian dengan lebih mudah dan selesa. Belanjawan ini juga menumpukan kepada pembangunan perumahan mampu milik berkualiti bagi semua lapisan masyarakat, dengan memastikan kawasan kejiranan yang selamat dan persekitaran hidup yang sihat.
Kerajaan komited dalam menyediakan perumahan inklusif yang direka khusus untuk warga emas serta kumpulan terpinggir dan mudah terjejas. Langkah ini bertujuan untuk memastikan golongan ini tidak terpinggir dan dapat menikmati kehidupan yang berkualiti dalam komuniti yang selamat dan kondusif. Selaras dengan ini, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) turut menyumbang dengan menyediakan dana sebanyak RM300 juta bagi meningkatkan pembangunan tanah wakaf untuk pembinaan rumah persaraan mandiri, khususnya bagi pesara berpendapatan rendah. Inisiatif ini bukan sahaja membantu golongan pesara mendapatkan kediaman yang selesa, tetapi juga memanfaatkan tanah wakaf untuk tujuan sosial yang lebih luas.
Insentif dan Pelepasan Cukai untuk Kesejahteraan Warga Emas
Dalam usaha untuk mengurangkan beban kewangan warga emas serta ahli keluarga yang menjaga mereka, kerajaan memperkenalkan beberapa insentif cukai berfokuskan penjagaan dan kesejahteraan warga emas. Insentif ini bertujuan untuk memastikan mereka yang memerlukan penjagaan mendapat bantuan sewajarnya, selain mengurangkan tanggungan kewangan ahli keluarga.
Satu daripada inisiatif utama ialah pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 untuk perbelanjaan penjagaan warga emas yang melibatkan ibu bapa, datuk dan nenek. Langkah ini dilihat berupaya untuk mengurangkan beban mereka yang menjaga ahli keluarga yang lanjut usia, sekali gus membantu mereka menampung kos penjagaan. Kerajaan turut mencadangkan penambahbaikan dalam skop pelepasan cukai bagi aktiviti sukan dan penjagaan kesihatan warga emas. Antaranya, pelepasan cukai untuk perbelanjaan peralatan dan aktiviti sukan kini diperluas kepada ibu bapa, bertujuan menggalakkan keluarga menyediakan kemudahan sukan bagi warga emas agar mereka kekal aktif dan sihat.
Selain itu, pelepasan cukai untuk perbelanjaan pemeriksaan perubatan penuh ibu bapa juga diperluas termasuk kos vaksinasi. Langkah ini memastikan bahawa warga emas mendapat penjagaan kesihatan menyeluruh, merangkumi pencegahan dan rawatan. Tambahan pula, pelepasan cukai bagi perbelanjaan rawatan perubatan kini meliputi datuk dan nenek, termasuklah perkhidmatan di klinik dan hospital, rawatan di rumah serta rawatan pergigian yang dihadkan kepada RM1,000. Pengecualian cukai ke atas elaun penjagaan anak juga diperluas kepada elaun penjagaan warga emas. Dengan pengecualian cukai ini, keluarga yang menjaga warga emas mendapat sokongan tambahan, mengurangkan tekanan kewangan dalam penyediaan penjagaan berkualiti.
Di samping itu, potongan cukai tambahan bagi majikan yang menyediakan elaun penjagaan anak kepada pekerja kini turut meliputi penjagaan warga emas. Inisiatif ini menggalakkan majikan menyokong pekerja yang perlu menyeimbangkan antara kerja dan penjagaan ahli keluarga (warga emas) membolehkan mereka menjalani kehidupan yang seimbang antara kerjaya dan tanggungjawab keluarga.
Belanjawan 2025 memperlihatkan usaha kerajaan dalam menyediakan jaringan keselamatan untuk memastikan kebajikan warga emas sentiasa terpelihara. Peruntukan yang diagihkan dalam aspek perlindungan sosial, kesihatan, perumahan, dan insentif cukai mencerminkan komitmen Malaysia dalam membina masyarakat yang inklusif serta menghargai setiap peringkat umur.
Langkah-langkah yang dilaksanakan kerajaan bukan sahaja memberikan kesan langsung kepada kesejahteraan warga emas, tetapi juga mendidik masyarakat untuk lebih menghargai golongan tua yang telah banyak menyumbang kepada negara. Inisiatif ini diharapkan dapat membantu warga emas menjalani kehidupan yang bermaruah dan berkualiti. Usaha ini bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan golongan warga emas tetapi juga menyumbang kepada pembentukan sebuah negara yang menghormati dan menjaga kebajikan setiap generasi.
Melalui Belanjawan 2025, kerajaan bukan sekadar menyediakan sokongan kepada warga emas, tetapi juga memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk membentuk masyarakat yang berdaya tahan dan saling menyokong.
Penulis Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor ialah Pensyarah Kanan di Bahagian Geografi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia. Beliau memiliki kepakaran dalam bidang Demografi dan Geografi Penduduk. Fokus kajian beliau meliputi pelbagai aspek yang berkaitan dengan perubahan demografi, kelahiran, migrasi dan isu yang berkaitan dengan penuaan.