10 November 2024, 10:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan bernilai RM100 juta melalui penyertaan Malaysia dalam Pameran Antarabangsa BIBAN24 di Riyadh Front Exhibition and Conference Center, Arab Saudi yang berlangsung dari 5 hingga 9 November 2024.

Menurut KUSKOP dalam satu kenyataan, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick telah mengetuai delegasi kementerian ke Pameran Antarabangsa BIBAN24 dan beliau telah mengadakan siri perbincangan berprofil tinggi, termasuklah mesyuarat dengan Kudu Company for Food & Catering, satu daripada jenama francais makanan terbesar di Arab Saudi.

Perbincangan ini telah membuka peluang kerjasama perniagaan yang lebih luas dalam sektor makanan dan perkhidmatan, sekali gus membantu jenama Malaysia menembusi pasaran Arab Saudi.

Selain itu, mesyuarat dua hala turut diadakan dengan Menteri Perdagangan Arab Saudi, Dr. Majid Abdullah Alkassabi untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan di kedua-dua buah negara.

Menurut KUSKOP, antara perkara yang dibincangkan ialah usaha untuk mempertingatkan langkah konkrit dan seterusnya menjana sinergi dalam bidang keusahawanan dan pembangunan industri.

Pada 5 November, Datuk Ewon Benedick telah merasmikan Pavilion Usahawan Malaysia yang merupakan platform penting untuk mempamerkan keupayaan dan inovasi usahawan Malaysia kepada pasaran global,”

Dalam majlis yang sama, kedua-dua pihak telah menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corp. Malaysia dengan Monsha’at dan Perbadanan Nasional berhad (PERNAS) dengan Monsha’at.

Tambahnya, MoU ini merupakan langkah penting dalam memperkukuh kerjasama dalam bidang pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan francais di kedua-dua negara.

Sementara itu, pada 6 November, Datuk Ewon Benedick telah mempengerusikan Mesyuarat Meja Bulat dengan Kamar Perniagaan Riyadh, yang mempertemukan para usahawan Malaysia dengan pelabur dan pengusaha tempatan Arab Saudi yang dijangka mencetuskan kerjasama perniagaan baharu serta membuka jalan kepada peningkatan perdagangan dua hala.

Beliau juga telah mengadakan perbincangan strategik bersama pihak Tamimi Market, satu daripada rangkaian peruncitan terbesar di Arab Saudi yang dijangka merintis laluan bagi syarikat Malaysia memperluas rangkaian produk dan perkhidmatan mereka di pasaran Arab Saudi.

Datuk Ewon Benedick dalam kenyataan yang sama berkata, kerjasama ini adalah cerminan komitmen KUSKOP untuk memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan Arab Saudi, terutamanya dalam sektor francais dan PKS.

Program padanan perniagaan dan sesi rundingan dijangka membuka ruang baharu bagi syarikat Malaysia yang ingin mengembangkan pasaran di Timur Tengah.

Pameran BIBAN24 menjadi tumpuan global dalam bidang keusahawanan dan Pavilion Malaysia dijangka menarik perhatian pemain industri dari seluruh dunia.

Penyertaan Malaysia dalam BIBAN24 ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan di bawah Malaysia MADANI yang menekankan kelestarian, pembangunan inklusif dan kesejahteraan melalui pengukuhan hubungan ekonomi antarabangsa.

 

 

Kredit Foto: KUSKOP
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.