10 November 2024, 12:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 mencatatkan kejayaan gemilang dengan jualan langsung bernilai RM48.55 juta jauh melebihi sasaran awal bahkan juga telah berjaya menghimpunkan lebih 5.5 juta pengunjung.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan luar biasa tersebut Majlis Apresiasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) 2024.

Beliau berkata, Majlis Apresiasi KPKM 2024 malam tadi menjadi pentas penghargaan buat semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan pameran ini.

KPKM berjaya menandatangani 81 Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM7.2 bilion lantas menjadikan MAHA sebagai platform perdagangan terkemuka di rantau ini. Lanjutnya,

Jika bukan kerana kerja keras semua, MAHA 2024 tidak akan dapat mencapai tahap kejayaan seperti yang kita lihat pada hari ini.

Para hadirin ketika Majlis Apresiasi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Beliau turut memuji semangat yang ditunjukkan oleh para peserta yang bukan sahaja komited dalam menjaga sektor agromakanan negara, tetapi juga aktif mempromosikan MAHA 2024 dalam media sosial.

Tambahnya, sokongan rakan strategik dan penaja memainkan peranan penting dalam mewujudkan kerjasama kukuh antara sektor awam dengan swasta melibatkan aspek kewangan, teknologi dan ilmu.

Dalam kejayaan lain, Pavilion MAHA di  Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) kini dikenalpasti sebagai lokasi pilihan untuk lawatan delegasi ASEAN pada tahun hadapan. Hal itu merupakan suatu pengiktirafan terhadap sektor agromakanan Malaysia.

Lebih 6,800 program dijalankan dengan penyertaan lebih 86,000 usahawan, menghasilkan jualan sebanyak RM153 juta dan memberi penjimatan kepada berjuta isi rumah.

Keseluruhan pencapaian ini merupakan hasil usaha gigih daripada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran MAHA 2024 dan program kementerian yang lain.

Majlis turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Seri Isham bin Ishak, Ketua Setiausaha KPKM, YBhg. Datuk Badrul Hisham Mohd, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), YBhg. Datuk Azah Hanim Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) serta para pegawai KPKM, jabatan dan agensi.

 

 

Kredit Foto: Facebook KPKM
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.