Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Jumlah penganggur pada bulan September menunjukkan penurunan ketara, iaitu mencatatkan sebanyak 555.3 ribu orang dan kadar pengangguran yang menurun sebanyak 3.2 peratus.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) semalam melaporkan statistik ini melalui keluaran Statistik Tenaga Buruh Malaysia bagi bulan September dan Suku Ketiga 2024. Statistik ini merangkumi data penawaran buruh berdasarkan Survei Tenaga Buruh yang dijalankan oleh DOSM.
Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata bahawa kedudukan pasaran buruh negara pada September 2024 kekal kukuh susulan prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan. Jelasnya lagi,
Prestasi ini digambarkan oleh peningkatan bilangan penduduk bekerja, manakala bilangan penganggur semakin berkurangan. Bilangan tenaga buruh terus berkembang pada September, dengan pertambahan sebanyak 0.1 peratus mencatatkan 17.24 juta orang (berbanding 17.22 juta orang pada Ogos 2024). Sehubungan itu, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang lebih tinggi direkodkan iaitu pada 70.5 peratus, meningkat sebanyak 0.1 mata peratus berbanding bulan sebelumnya (Ogos 2024, 70.4 peratus).
Beliau menambah bahawa bilangan penduduk bekerja terus menunjukkan peningkatan dengan kenaikan 0.2 peratus pada bulan tersebut kepada 16.69 juta orang berbanding 16.66 juta orang pada Ogos 2024. Sementara itu, bilangan penganggur menurun sebanyak 0.6 peratus kepada 555.3 ribu orang (Ogos 2024: 558.5 ribu orang). Kadar pengangguran bagi September 2024 kekal pada 3.2 peratus seperti bulan lalu.
“Kategori pekerja merangkumi 75.1 peratus daripada jumlah penduduk bekerja. Pada bulan tersebut, bilangan tersebut meningkat sebanyak 0.1 peratus kepada 12.51 juta orang (Ogos 2024: 12.50 juta orang). Sementara itu, kategori penduduk bekerja sendiri turut berada pada trend menaik, dengan pertambahan sebanyak 0.3 peratus kepada 3.09 juta orang (Ogos 2024: 3.08 juta orang),” ujarnya lagi.
Sektor Perkhidmatan menunjukkan peningkatan dalam bilangan pekerja terutamanya dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit, serta maklumat dan komunikasi. Sektor lain seperti pembuatan, pembinaan, perlombongan dan kuari, serta pertanian juga mencatatkan pertambahan tenaga kerja.
Bagi kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun, terdapat sedikit kenaikan kepada 10.5 peratus (Ogos 2024, 10.4 peratus), melibatkan 304.2 ribu orang penganggur belia. Manakala, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun menurun kepada 6.3 peratus dengan 420.1 ribu orang (Ogos 2024, 6.4 peratus).
DOSM turut melaporkan bahawa kumpulan yang bersedia bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif membentuk 79.9 peratus daripada jumlah penganggur, menurun 0.7 peratus kepada 443.5 ribu orang (Ogos 2024: 446.6 ribu orang). Sebahagian besar dari penganggur aktif ini menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala penganggur jangka panjang (lebih setahun) merangkumi 6.5 peratus. Jumlah penganggur tidak aktif menurun sebanyak 0.1 peratus kepada 111.8 ribu orang (Ogos 2024: 111.9 ribu orang).
Bilangan penduduk di luar tenaga buruh pada bulan September 2024 sedikit berkurang sebanyak 0.01 peratus kepada 7.23 juta orang (Ogos 2024, 7.23 juta orang). Kelompok ini merangkumi 42.9 peratus bagi kerja rumah dan tanggungjawab keluarga, diikuti 41.1 peratus dalam kategori bersekolah dan latihan.
Mengikut negeri, Kedah mencatat kadar pengangguran terendah iaitu 1.6 peratus diikuti Selangor (1.9 peratus), Pulau Pinang (2.0 peratus) dan W.P. Putrajaya (2.0 peratus). Selangor mencatat KPTB tertinggi, iaitu 76.3 peratus diikuti W.P. Kuala Lumpur (74.9 peratus) dan Johor (71.4 peratus).