9 November 2024, 15:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya Nilai jualan sektor pembuatan di Malaysia mencatatkan sebanyak RM162.3 bilion dengan peningkatan 2.9 peratus pada September 2024. Laporan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dalam keluaran Perangkaan Pembuatan Bulanan edisi September 2024.

Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin menyatakan bahawa nilai jualan sektor pembuatan mencapai RM162.3 bilion dengan kenaikan sebanyak 2.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, walaupun lebih perlahan daripada 7.7 peratus yang direkodkan pada Ogos 2024.

Beliau turut menyebut kenaikan ini didorong oleh perkembangan subsektor produk elektrik dan elektronik sebanyak 5.8 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 10.3 peratus pada bulan sebelumnya. Pertumbuhan ini juga disokong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau yang meningkat 5.6 peratus serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka yang mencatatkan peningkatan sebanyak 5.1 peratus. 

Industri berorientasikan eksport yang mewakili 72.6 peratus daripada sektor ini menyederhana kepada 3.0 peratus pada September 2024 berbanding 7.7 peratus pada Ogos 2024. Sektor pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (6.9 peratus) serta pembuatan minyak dan lemak daripada sayuran dan haiwan (4.6 peratus) menjadi penyumbang utama dalam pertumbuhan ini.

Bagi industri berorientasikan domestik, peningkatan sebanyak 2.5 peratus direkodkan walaupun terdapat penurunan dalam sektor pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi-treler sebanyak 7.3 peratus, selepas peningkatan 10.4 peratus pada Ogos 2024. Walau bagaimanapun, sektor pembuatan produk pemprosesan makanan (6.9 peratus), produk logam kecuali mesin dan kelengkapan (7.9 peratus) serta produk galian bukan logam lain (4.1 peratus) mengekalkan momentum pertumbuhan.

Beliau turut melaporkan terdapat 2.39 juta pekerja dalam sektor pembuatan pada September 2024, dengan peningkatan sebanyak 0.8 peratus berbanding 1.0 peratus pada Ogos 2024. Peningkatan bilangan pekerja ini terutamanya dalam subsektor makanan, minuman dan tembakau (2.4 peratus) serta produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (1.8 peratus). Secara bulanan, bilangan pekerja bertambah sebanyak 0.5 peratus berbanding 0.4 peratus pada Ogos 2024.

Pada September 2024, gaji dan upah dalam sektor pembuatan turut meningkat sebanyak 1.2 peratus, mencecah RM8.23 bilion dengan peningkatan sebanyak 1.4 peratus secara bulanan. Ini membawa kepada kenaikan purata gaji dan upah bulanan setiap pekerja sebanyak 0.4 peratus kepada RM3,442. Nilai jualan setiap pekerja juga meningkat sebanyak 2.1 peratus kepada RM67,861.

Beliau juga menyatakan bahawa bagi suku tahun ketiga (ST3) 2024, jualan sektor pembuatan mencecah RM483.2 bilion, menunjukkan pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus berbanding 5.7 peratus pada suku tahun sebelumnya (ST2 2024). Peningkatan ini didorong oleh subsektor makanan, minuman dan tembakau (12.3 peratus) serta produk elektrik dan elektronik (8.1 peratus).

Beliau juga menambah bahawa bilangan pekerja dan gaji serta upah masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus dan 1.7 peratus pada suku tahun ketiga ini berbanding 1.0 peratus dan 1.4 peratus pada ST2.

“Sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini (Januari hingga September 2024), nilai jualan sektor pembuatan ialah sebanyak RM1,404.8 bilion, mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.6 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023. Bilangan pekerja meningkat 0.8 peratus kepada 2.39 juta manakala gaji dan upah naik 1.4 peratus kepada RM73.8 bilion. Nilai jualan per pekerja kini berjumlah RM587,494, meningkat sebanyak 3.8 peratus,” ujarnya lagi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.