Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kerajaan Malaysia telah melancarkan portal InvestMalaysia (www.investmalaysia.gov) sebagai gerbang maklumat sehenti untuk pelabur mendapatkan maklumat tentang Malaysia.
Portal InvestMalaysia bertujuan untuk memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif dan menarik dengan mengetengahkan dan mempromosikan peluang pelaburan yang menarik dalam pasaran kewangan Malaysia kepada pelabur domestik dan asing.
Portal ini akan memberikan pemahaman menyeluruh mengenai prospek ekonomi Malaysia, dasar negara, landskap perniagaan, maklumat pasaran khusus sektor dan kemudahan pelaburan yang bersesuaian.
Selain itu, portal ini mengetengahkan peluang pelaburan dengan mempamerkan pelbagai tawaran produk yang bersesuaian untuk pelabur domestik dan global dalam sektor awam dan swasta.
Dalam masa yang sama, portal ini meningkatkan akses kepada pasaran Malaysia dengan berfungsi sebagai hab berpusat untuk menghubungkan pelabur sedia ada dan bakal pelabur dengan agensi Kerajaan yang berkaitan.
Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam ucapan perasmian berkata,
Portal InvestMalaysia bertujuan untuk menangani jurang untuk mendapatkan maklumat terakhir mengenai pelaburan di Malaysia. Kami telah mewujudkan platform untuk pelabur mendapatkan jawapan bagi persoalan yang ada, atau sekurang-kurangnya mengetahui tempat yang betul untuk mencari maklumat yang tepat.
Tambah beliau, Pejabat Perhubungan Pelabur (IRO) dan portal InvestMalaysia akan bertindak sebagai jurupandu bagi pelabur portfolio yang berhasrat menyertai pasaran negara.
Sementara itu, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Dato’ Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata,
Pada asasnya, platform ini seperti pengantara keutuhan makroekonomi dan potensi pelaburan Malaysia yang memberikan isyarat tentang kedudukan dan prospek ekonomi, dan kewangan negara serta menyampaikan maklumat ini secara lancar kepada pelabur.
Acara pelancaran ini kemudiannya diikuti dengan sesi libat urus pelabur secara tertutup dengan lebih daripada 150 orang peserta yang terdiri daripada pelabur kewangan dan peserta pasaran modal.
Perbincangan berkisar tentang prospek ekonomi, perkembangan dasar utama Kerajaan dan strategi ekonomi Malaysia secara menyeluruh, termasuk Belanjawan 2025 yang diumumkan baru-baru ini.
Pelancaran portal InvestMalaysia dijangka meningkatkan amalan hubungan pelabur dan merangsang aliran masuk pelaburan portfolio yang berkualiti tinggi ke dalam negara.
Aliran masuk ini akan menyumbang kepada usaha memperkukuh pasaran kewangan negara dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi, serta membantu negara mencapai aspirasi Ekonomi MADANI untuk memajukan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi.