Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan 2024 (HPPK2024) yang diadakan selama tiga hari telah berjaya merekodkan jumlah potensi pembiayaan terkumpul untuk penjaja dan peniaga kecil berjumlah RM3.26 juta.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOPP), YB Datuk Ewon Benedick berkata, jumlah jualan terkumpul daripada penyertaan lebih daripada 374 orang usahawan, penjaja dan peniaga kecil dan koperasi pula melebihi RM520,000.
Ujar beliau,
HPPK 2024 yang diadakan di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Pulau Pinang juga berjaya menarik lebih daripada 44,000 orang pengunjung, melebihi sasaran awal 30,000 orang.
Menurut beliau, HPPK2024 turut mencatatkan sejarah tersendiri melalui pelancaran Dasar Pembangunan Penjaja dan Peniaga Kecil Negara 2030 (D3PKN2030) oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu katanya, turut diadakan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Gabungan Persatuan-Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPPKMM) dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerja Sendiri.
Beliau berkata tema tahun ini, “Penjaja dan Peniaga Kecil Madani: Berdaya Maju, Mampan, Lestari” dicetuskan dengan doa dan ikhtiar agar komuniti penjaja dan peniaga kecil terus maju jaya.
Tahniah dan terima kasih kepada Bahagian Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil (BKPPK) KUSKOP selaku urus setia peneraju dan semua agensi dan keluarga besar KUSKOP serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan GPPPKMM atas kebersamaan menjayakan HPPK 2024.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas iltizam Kerajaan Madani untuk terus memberikan fokus kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di seluruh negara.
Kerajaan bukan sahaja menyediakan dana bagi pembiayaan melalui pelbagai agensi, tetapi juga peruntukan untuk menambah baik infrastruktur terkait kemudahan premis niaga mereka.