Diterbitkan pada 4 November 2024, 17:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Butterworth – Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) telah menerbitkan laporan petunjuk Kos Sara Hidup (KSH) 2023 bersempena dengan Majlis Ulang Tahun Jubli Intan ke-75 DOSM di Pusat Konvensyen PICCA, Butterworth Arena pada 2 November 2024.

Menurut DOSM, laporan ini merangkumi 15 penerbitan termasuk Malaysia dan 14 penerbitan mengikut negeri dan Wilayah Persekutuan bagi tahun 2023.

Petunjuk KSH yang terdapat dalam penerbitan ini ialah Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) dan Indeks Kos Sara Hidup (IKSH) dengan PAKW dianalisis berdasarkan perincian demografi yang meliputi ciri isi rumah, saiz isi rumah serta lokasi.

Sementara itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin dalam kenyataan sama menekankan PAKW dibangunkan oleh DOSM untuk memberikan nilai rujukan bagi kos kehidupan wajar.

Tambah beliau, pembangunan PAKW bermula pada tahun 2018 dengan mengambil kira corak perbelanjaan isi rumah berdasarkan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah.

Menurut beliau,

PAKW merujuk jumlah perbelanjaan bulanan yang diperlukan oleh isi rumah atau individu untuk mencapai kehidupan wajar yang memenuhi keperluan, kehendak dan kemampuan untuk menyertai aktiviti kemasyarakatan.

Tambahnya, nilai PAKW ditentukan oleh dua faktor utama, iaitu lokasi dan ciri demografi seperti umur, jantina dan saiz rumah.

Oleh itu, nilai PAKW bagi setiap isi rumah berbeza-beza bergantung pada ciri demografi dan lokasi tempat kediaman.

Jelas beliau,

Selain Malaysia, negara di seluruh dunia juga menilai kos kehidupan wajar menggunakan pelbagai istilah seperti Indeks Kos Sara Hidup, Indeks Harga Kos Kehidupan Isi Rumah (HLPIs) dan Taraf Kehidupan Wajar.

Pembangunan PAKW berdasarkan prinsip keperluan melebihi minimum dengan mengambil kira tiga aspek kehidupan wajar, iaitu keperluan, kehendak dan penyertaan sosial berdasarkan corak pendapatan atau perbelanjaan isi rumah.

Pendekatan ini juga mengambil kira kos makan di luar dan konsep minimum pelbagai untuk pilihan perbelanjaan makanan.

Jelas beliau, dari segi komponen makanan, PAKW mengambil kira keperluan diet asas yang memenuhi keperluan pemakanan seimbang mengikut Piawaian Pengambilan Nutrien yang Disyorkan (RNI), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Beliau berkata,

Kalkulator PAKW yang dikenali sebagai MyPAKW telah dibangunkan untuk menganggarkan jumlah perbelanjaan asas bagi taraf kehidupan wajar berdasarkan maklumat seperti faktor demografi dan lokasi, termasuk jantina, umur dan bilangan ahli isi rumah.

Oleh itu, katanya, setiap individu dan isi rumah mempunyai corak perbelanjaan yang berbeza.

Tambah beliau, kalkulator PAKW membolehkan orang ramai mengetahui nilai rujukan mereka bagi perbelanjaan asas kehidupan di kawasan dan lokasi masing-masing.

Beliau memaklumkan MyPAKW boleh dimuat turun menerusi aplikasi Play Store atau App Store selain boleh juga diakses melalui laman sesawang, https://mypakw.dosm.gov.my/.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi