Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Projek Mandala terbukti berkesan dalam menangani cabaran besar untuk memastikan pematuhan terhadap rangka kerja pengawalseliaan dan dasar kewangan yang berbeza di setiap negara. Kejayaan ini diperoleh melalui automasi prosedur pematuhan dalam transaksi kewangan rentas sempadan.
Projek ini merupakan kerjasama antara BIS Innovation Hub, Reserve Bank of Australia, Bank of Korea, Bank Negara Malaysia (BNM), dan Monetary Authority of Singapore.
Dalam satu kenyataan bersama, Penolong Gabenor BNM, YBrs. Dr. Norhana Endut menyatakan bahawa Projek Mandala memberikan gambaran awal mengenai masa hadapan pembayaran rentas sempadan.
Kita telah berjaya membuktikan satu penyelesaian yang berpotensi untuk menangani cabaran utama dalam proses pematuhan sedia ada, serta membuka laluan untuk transaksi antarabangsa yang lebih pantas, selamat dan cekap.
“Projek ini merupakan komponen asas yang kritikal dalam proses pembayaran rentas sempadan, sekali gus mengukuhkan komitmen bersama dalam memupuk integrasi ekonomi dan kewangan yang lebih besar, di samping meningkatkan keupayaan pemantauan proses kawal selia,” kata beliau.
Projek Mandala turut selaras dengan tindakan keutamaan Kumpulan 20 (G20) bagi mempertingkatkan penerimaan masyarakat dunia terhadap pembayaran rentas sempadan. Hal ini demikian kerana projek ini berpotensi untuk mengurangkan kos, meningkatkan kepantasan transaksi serta memastikan pematuhan terhadap pengawalseliaan.
Rangka kerja pengawalseliaan bagi transaksi rentas sempadan adalah penting dalam memastikan keselamatan sistem kewangan global. Walau bagaimanapun, kepelbagaian bidang kuasa di setiap negara sering menyumbang kepada peningkatan kos dan kelewatan dalam urus niaga.
Sebagai usaha menangani isu kos dan meningkatkan kecekapan dalam transaksi rentas sempadan, Projek Mandala mengautomasikan prosedur pematuhan, meningkatkan ketelusan dasar khusus setiap negara, serta menawarkan laporan dan pemantauan masa nyata (real-time reporting) untuk pengawal selia dan penyelia bank pusat.
Sebagai contoh, dalam kes pemberian pinjaman rentas sempadan antara Singapura dan Malaysia, Projek Mandala menyelaraskan prosedur pematuhan untuk langkah-langkah pengurusan aliran modal (capital flow management, CFM) dan penyaringan sekatan bagi institusi kewangan, serta membolehkan pemantauan pematuhan secara masa nyata untuk bank pusat.