Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Suara dari Anjung Majalah Dewan Ekonomi dengan tajuk “Belanjawan 2025: Menyejahterakan Rakyat” yang berlangsung di Anjung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), semalam telah menampilkan pakar ekonomi ternama untuk mengulas dan memberikan pandangan berkaitan dengan strategi utama kerajaan dalam Belanjawan 2025.
Wacana tersebut telah mengetengahkan perancangan kerajaan untuk memperkukuh ekonomi negara, di samping menangani isu kos sara hidup, keterjaminan makanan dan pembangunan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut Ketua Ekonomi, Bank Muamalat Malaysia Berhad, YBrs. Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid, pembentangan Belanjawan 2025 menjadi isyarat yang signifikan bahawa Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim mempunyai aspirasi untuk memperbaik kesenjangan pendapatan dalam ekonomi.
Jumlah peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah meningkat sebanyak RM13 bilion pada tahun 2025 berbanding dengan RM10 bilion pada tahun 2024.
Kerajaan prihatin tentang nasib rakyat kerana kita begitu terkesan dengan situasi kenaikan kos sara hidup dan tangga gaji yang dikatakan meningkat tetapi dalam kadar yang rata.
Tapi pada satu sisi lain pula, bagi saya agak menggusarkan kerana 9 juta orang (penerima) itu sekitar 60 peratus daripada jumlah tenaga buruh kita, maksudnya ada permasalahan struktur kerana rakyat kita banyak yang memerlukan bantuan tunai.
Beliau berpandangan bahawa jumlah penerima bantuan tunai sepatutnya akan menurun pada suatu masa nanti untuk menujukkan kejayaan kepada program pendidikan, perindustrian, keusahawanan yang diperkenalkan oleh kerajaan dan peningkatan taraf hidup rakyat.
Beliau tidak menafikan bantuan tunai merupakan instrumen yang biasa digunakan apabila rakyat menghadapi masalah kenaikan kos sara hidup dan dapat meningkatkan kuasa beli rakyat, tetapi untuk bergerak dalam jangka masa sederhana dan panjang, usaha-usaha untuk meningkatkan pendidikan dan kesihatan menjadi keutamaan.
Selain itu, kesenjangan pendapatan antara rakyat dapat dikurangkan menerusi peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan pengenalan cukai dividen kepada mereka yang mempunyai pendapatan dividen RM100,000 dan ke atas.
Dalam pada itu, rasionalisasi subsidi petrol RON95 akan memberikan kesan kepada unjuran inflasi pada tahun 2025 walaupun tidak jauh berbeza dengan pelaksanaan rasionalisasi subsidi diesel yang telah dibuat pada tahun ini kerana Indeks Harga Pengguna (IHP) petrol RON95 adalah lebih tinggi berbanding dengan diesel.
Beliau melihat kerajaan sangat berhati-hati apabila menjelaskan perkara tersebut kepada rakyat kerana banyak implikasi boleh berlaku seperti kenaikan harga barang dan sebagainya.
Oleh itu, pelaksanaan rasionalisasi minyak tidak boleh ditangguhkan kerana keperluan untuk meningkatkan daya saing negara ini penting terutamanya dalam aspek kemajuan pendidikan dan kesihatan yang memerlukan dana.

Sementara itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan, Putra Business School, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff turut menegaskan peningkatan gaji dikesan melalui peningkatan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sekitar lapan peratus pada setiap tahun tetapi kenaikan tersebut tidak mampu menandingi kos sara hidup yang semakin meningkat.
Beliau menjelaskan bahawa terdapat tiga pendekatan kerajaan untuk menangani inflasi dalam Belanjawan 2025, iaitu penjimatan melalui rasionalisasi subsidi minyak, kenaikan gaji minimum dan pengenalan gaji progresif tanpa menaikkan kadar cukai yang sedia ada.
Ujar beliau lagi,
Kerajaan memperkenalkan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 (Akta 850) supaya rasuah dapat dikurangkan; pembaziran dan ketirisan melalui penyeludupan diesel dapat dibanteras, serta kartel diperangi demi kelangsungan hidup rakyat.
Di samping itu, isu keterjaminan makanan melibatkan perkara utama yang dilontarkan oleh beliau, iaitu imbangan perdagangan dalam sektor agromakanan menghasilkan defisit mencecah RM32 bilion pada tahun 2023.
Pelbagai potensi teknologi Internet benda (Internet of things) dan kecerdasan buatan (AI) boleh diperkasakan untuk menangani isu pengeluaran dan menambahkan hasil pertanian.
Antara isu lain yang berkaitan dengan keterjaminan makanan yang disentuh oleh beliau temasuklah mekanisme pasaran yang terdedah dengan isu rasuah dan kartel menyebabkan kesenjangan yang besar dalam ekonomi pesawah. Hal ini memerlukan intervensi daripada pihak kerajaan melalui penguatkuasaan untuk menjadikan pasaran lebih cekap.

Pada masa yang sama, sumbangan PMKS dianggap penting kerana majoriti rakyat terlibat dalam sektor swasta menerusi PMKS. Belanjawan 2025 telah menyediakan pinjaman, insentif untuk menambah baik premis perniagaan serta bantuan dalam bentuk pendidikan digital dan automasi untuk meningkatkan keberkesanan operasi perniagaan melalui peningkatan peralatan dan prasarana.
Jelas beliau,
Isu gaji minimum yang dinaikkan kepada RM1,700 menimbulkan kebimbangan kerana PMKS mungkin tidak mampu membayar pekerja dan berpotensi untuk menghadapi risiko muflis.
Walau bagaimanapun, kenaikan ini akan dilaksanakan dalam tempoh 6 bulan, memberikan masa kepada PMKS untuk menstruktur semula strategi perniagaan mereka.


Turut hadir dalam program tersebut ialah Pengarah Jabatan Penerbitan, YBrs. Encik M Azahari Edin; Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia, YBhg. Dato’ Haji Mohammad Sahar Mat Din; Ketua Editor Bahagian Majalah, YBrs. Dr. Rosmani Omar; Ketua Editor Bahagian Buku Bahasa, Puan Tengku Fauziah Ku Mat; Ketua Akademi DBP, Puan Mariati Josepha Mustafa; mahasiswa Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Putra Business School serta karyawan DBP.