Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Menjelang sesi pembentangan Belanjawan MADANI ketiga tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Rakyat, Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa teruja dan yakin bahawa Belanjawan 2025 akan terus memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Hasil tinjauan beliau di pejabat Kementerian Kewangan (MOF), persiapan pasukan belanjawan dan warga MOF tampak begitu rapi.
“Kendatipun sibuk merangka belanjawan yang terangkum dan penuh teliti ini, saya gembira melihat keterujaan pasukan belanjawan dan turut bergambar bersama mereka.”
“Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada warga kerajaan serta semua pihak terlibat yang telah memerah keringat dan memberikan cadangan bernas untuk menjayakan Belanjawan 2025,” ujarnya.
Terdahulu, sejumlah 213 orang pegawai terlibat dalam penyediaan Belanjawan 2025 yang terdiri daripada pasukan cukai, iaitu Pasukan Fiskal dan Ekonomi, Pasukan Pejabat Belanjawan Negara, Pasukan Belanjawan 2025, Pasukan Infografik Belanjawan 2025, Pasukan Terjemahan Belanjawan 2025 Gear-up dan Pasukan Portal Manfaat.
Beliau kemudian menandatangani dokumen berkaitan dengan Belanjawan 2025. Turut mengiringi Perdana Menteri termasuklah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.