Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperkenalkan dua strategi interim sebelum kerangka perundangan baharu Lemon Law dimuktamadkan untuk melindungi pengguna berkaitan dengan hak tebus rugi terutama bagi pembelian kenderaan bermotor.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, YB Datuk Armizan Mohd Ali berkata, menerusi kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM) dan institusi perbankan, strategi itu akan mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memproses permohonan surat persetujuan daripada pengguna.
Tambah beliau, institusi perbankan terbabit juga perlu menubuhkan unit dalaman khusus untuk menerima serta memproses permohonan tersebut.
Bermula 2 September lepas, pihak BNM telah mengeluarkan arahan meminta bank dan juga institusi kewangan supaya mewujudkan SOP bagi membolehkan pengguna memohon serta mendapatkan surat persetujuan.
Susulan kerjasama itu, pihak BNM telah mengarahkan institusi perbankan untuk melaksanakan kedua-dua arahan tersebut sebelum 3 Disember ini.
Selain itu, beliau berkata, strategi interim kedua adalah dengan Penubuhan Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor di KPDN yang berfungsi sebagai pemudah cara aduan pengguna yang membeli kenderaan baharu berkaitan dengan kenderaan bermotor di Malaysia.
Jelas beliau, kaedah rundingan yang digunakan ialah kaedah rundingan tiga pihak antara kementerian, pembeli kereta dengan pengedar atau pengilang.
Bermula 1 Jun 2024 hingga 30 September 2024, sebanyak 16 aduan di bawah pasukan ini telah diterima dan disiasat oleh Pasukan Rundingan Khas Berkaitan Aduan Kenderaan Bermotor ini.
Menurut beliau lagi, dua strategi interim ini merupakan inisiatif intervensi oleh kerajaan bagi memastikan pengguna mempunyai akses kepada medium penyelesaian adil dan berkesan.
Melalui perundangan sedia ada, pengguna kenderaan terpakai mempunyai platform untuk menuntut hak mereka melalui tuntutan tebus rugi yang boleh disalurkan kepada Tuntutan Tribunal Pengguna Malaysia (TTPM),
Beliau berkata, pengguna boleh mendapatkan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi, selaras dengan prinsip perlindungan pengguna dalam perundangan Malaysia.
Dari bulan Januari hingga Ogos 2024, KPDN telah menerima 114 jumlah pemfailan tuntutan tebus rugi bagi kenderaan baharu di TTPM dan sebanyak 187 pemfailan bagi tuntutan kenderaan terpakai.