Diterbitkan pada 14 Oktober 2024, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengarah Urusan Glasgow Financial Alliance for Net Zero (GFANZ), Yuki Yasui menekankan peranan penting institusi kewangan dalam memperkasakan peralihan ke arah ekonomi sifar bersih pada peringkat antarabangsa.

Berucap dalam sesi “Fireside Chat: Financing Decarbonisation – Catalysing Sustainable Investments for A Net-Zero Future,” Yuki Yasui menjelaskan bahawa institusi kewangan adalah kunci untuk menyokong ekonomi dengan mengagihkan modal dan menyediakan perkhidmatan kewangan dalam usaha penyahkarbonan ekonomi.

“Kita memerlukan pelaburan sebanyak USD 3.5 trilion setiap tahun di seluruh dunia untuk mencapai sifar bersih, manakala bagi rantau Asia Pasifik, jumlahnya adalah sebanyak USD 14 bilion. Kerajaan tidak boleh mencapai matlamat ini secara bersendirian, dan sektor kewangan swasta mesti turut serta menyokong peralihan ini,” kata Yuki Yasui pada 9 Oktober lalu dalam persidangan antarabangsa Enlit Asia 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Beliau menegaskan bahawa perubahan iklim merupakan risiko besar kepada sistem kewangan dan tindakan segera diperlukan.

Jika kita menunggu sehingga kesan risiko ini jelas kelihatan, perkara ini sudah terlambat. Pakar kewangan mengakui bahawa perubahan iklim merupakan risiko kepada bidang kewangan, namun langkah seterusnya adalah peranan institusi kewangan yang menjadi pendorong kepada usaha peralihan tenaga secara tersusun dan adil.

GFANZ telah mengenal pasti empat strategi utama yang boleh dipertimbangkan oleh institusi kewangan dalam memainkan peranan sebagai pemacu peralihan sifar bersih.

“Pertama, institusi kewangan boleh membiayai penyelesaian iklim dengan menyokong pembangunan dan pengembangan teknologi rendah pelepasan karbon serta menawarkan perkhidmatan yang mesra alam, termasuk penyelesaian berasaskan alam semula jadi, untuk menggantikan sistem sedia ada yang mempunyai tahap pelepasan karbon tinggi dan mempercepatkan peralihan sifar bersih dengan cara yang efisien.”

“Kedua, pelarasan dengan laluan 1.5 darjah Celcius (1.5 degrees C-aligned pathway) boleh dicapai melalui penyaluran pembiayaan kepada syarikat yang sudah sejajar dengan matlamat mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C, sekali gus menunjukkan bahawa sektor kewangan memberikan keutamaan kepada syarikat yang komited terhadap amalan mampan.”

Laluan 1.5 darjah Celcius adalah antara usaha untuk mengurangkan peningkatan haba akibat daripada aktiviti manusia yang dipersetujui oleh dunia dalam Perjanjian Iklim Paris 2015.

Selain itu, Yuki Yasui berkata, institusi kewangan juga boleh menyokong pelan peralihan dengan menyediakan modal kepada firma berpelepasan tinggi dan rendah yang mempunyai rancangan peralihan sifar bersih yang kukuh, memastikan aktiviti urbanisasi syarikat ini sejajar dengan sasaran iklim global.

Di samping itu, syarikat-syarikat yang berada dalam industri perang (brown industry) boleh mempercepatkan penamatan aset berpelepasan tinggi dengan mempermudah penamatan awal aset fizikal berpelepasan tinggi secara terancang, sambil memastikan kesinambungan perkhidmatan serta menjaga kepentingan komuniti yang terlibat untuk mendapatkan dana daripada institusi kewangan untuk beralih kepada industri hijau.

Yuki Yasui mengakui bahawa terdapat kebimbangan terhadap kelewatan untuk membalikkan kerosakan akibat perubahan iklim, namun beliau optimis bahawa teknologi tenaga hijau kini lebih kompetitif dari segi harga dan kepelbagaian produk berbanding dengan bahan api fosil.

“Dari sudut teknologi, tenaga hijau kini mengatasi tenaga perang yang berpasakkan bahan api fosil. Namun demikian, dasar dan peraturan yang masih memihak kepada bahan api fosil berpotensi melambatkan kadar dekarbonisasi walaupun kos teknologi hijau lebih murah. Justeru, pembuat dasar perlu lebih terbuka dalam menerima penggunaan ekosistem tenaga hijau secara meluas.”

Sebagai kesimpulan, Yuki Yasui menekankan keperluan mendesak untuk menyelaraskan amalan kewangan dengan sasaran sifar bersih dan menyatakan bahawa institusi kewangan mempunyai keupayaan unik untuk mempengaruhi trajektori dekarbonisasi ekonomi global melalui pelaburan dan kerjasama strategik.

Sesi ini dikemudikan oleh Leon Pulles, Pengurus Pelaburan Kanan di Energy Investment Management, yang turut menegaskan pentingnya pelibatan sektor swasta dalam mencapai matlamat iklim.

Kredit Foto: Arina Musthafa
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi