Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Kumpulan FGV Holdings Berhad (FGV) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) komited menjalinkan kerjasama bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf di Perlis.
Demikian menurut kenyataan media yang dikeluarkan MAIPs bersempena dengan Majlis Persembahan Zakat Perniagaan Kumpulan FGV oleh Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Rastam Mohd Isa bagi tahun 2023 berjumlah RM201,267 yang telah dipersembahkan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Tuanku Yang DiPertua MAIPs.
Turut dilaksanakan penyerahan Surat Niat Kerjasama dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf melalui inisiatif strategik yang melibatkan kerjasama antara Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) Sdn. Bhd. dan FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. (FGVIF).

Buat masa ini, ATAM MAIPs telah menjalinkan kerjasama dengan pelbagai pihak yang telah memberikan peluang pekerjaan kepada golongan asnaf di Perlis.
Dalam pada itu, tujuan utama kerjasama ini adalah untuk memberikan sokongan dalam pembangunan kemahiran dan penyediaan pekerjaan yang lebih baik kepada golongan asnaf sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.
Penyerahan surat niat kerjasama berkenaan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor kepada Ketua Pertanian Bersepadu FGV Holdings Berhad, Abdul Razak Aya.
Mohd Nazim berkata, dengan kerjasama ini, diharapkan lebih ramai golongan asnaf dapat diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan menyertai pasaran kerja seterusnya memperbaik kehidupan mereka dan keluarga.
Majlis ini bukan sahaja menjadi platform untuk pengagihan zakat, tetapi juga sebagai langkah awal dalam usaha pemberdayaan komuniti,” jelas beliau.
Penganjuran majlis ini menggambarkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk bersama-sama merangka peluang baru bagi golongan asnaf melalui aktiviti pertanian di kawasan pertumbuhan pertanian baharu FGV Agro Food-Valley di Chuping, Perlis.