Diterbitkan pada 10 Oktober 2024, 16:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Ringgit merupakan antara mata wang yang sedang menunjukkan prestasi terbaik pada peringkat global dengan mengukuh kepada 14.4 peratus berbanding dengan dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku ketiga 2024 dan 11.4 peratus pada asas sejak awal tahun sehingga kini.

Menurut Jawatankuasa Pasaran Kewangan (FMC), Bank Negara Malaysia (BNM), situasi ini didorong terutamanya oleh pengurangan kadar dasar sebanyak 50 mata asas oleh Rizab Persekutuan (Fed) AS serta trajektori yang lebih jelas berhubung dengan pengurangan selanjutnya.

Walaupun dengan prestasi yang lebih kukuh, mesyuarat FMC mengambil maklum perkembangan utama yang menyokong prestasi positif berterusan bagi ringgit.

FMC berkata, usaha terselaras yang berterusan oleh kerajaan dan BNM untuk menggalakkan penghantaran balik dan penukaran pendapatan pelaburan asing oleh Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat telah menyumbang kepada mudah tunai pasaran pertukaran asing (FX) domestik yang mencukupi dengan mencatatkan purata jumlah dagangan harian sebanyak USD17.6 bilion.

Selain itu, keyakinan pelabur terhadap Malaysia telah bertambah baik berikutan pertumbuhan ekonomi Malaysia yang kukuh serta komitmen berterusan oleh kerajaan terhadap pembaharuan struktur.

Aliran masuk portfolio asing yang ketara juga diperhatikan pada suku ketiga 2024 berikutan prestasi KLCI yang kukuh dan perbezaan kadar pulangan antara Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dengan Perbendaharaan Amerika Syarikat (UST) yang semakin normal.

Mesyuarat juga berpendapat bahawa libat urus yang kerap bersama pelabur oleh pihak berkuasa membuahkan hasil dalam meningkatkan kesedaran pelabur tentang Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik serta menekankan semula kepentingan dasar yang koheren dan konsisten secara berterusan.

Ahli mesyuarat berkongsi pemerhatian tentang perubahan amalan syarikat korporat berikutan pemulihan ringgit.

Menurut FMC lagi, dalam kalangan pengeksport, terdapat perubahan sentimen yang membawa kepada minat yang lebih besar untuk menukar hasil eksport, manakala pengimport juga telah mengurangkan kecenderungan untuk membeli secara berlebihan dengan membeli kuantiti yang diperlukan sahaja untuk aktiviti perniagaan.

Mesyuarat turut berbincang tentang langkah untuk meningkatkan mudah tunai dan menambah jumlah pelabur dalam pasaran bon dan sukuk korporat.

Hal ini termasuklah pengenalan urus niaga bon dan sukuk korporat sebagai sebahagian daripada penilaian usaha pembangunan pasaran dalam rangka kerja Principal Dealers (PD) dan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan industri yang utama bagi membiasakan pelabur bukan pemastautin dengan nama korporat dan struktur sukuk Malaysia selain bon kerajaan Malaysia

Menurut FMC, mesyuarat menyokong rancangan untuk FMC bekerjasama dengan Persatuan Perbankan Pelaburan Malaysia (MIBA) dalam forum pelabur-penerbit yang dijadualkan berlangsung pada tahun 2025 bagi mengetengahkan dan menggalakkan kesedaran tentang peluang hijau dan lestari dalam sektor korporat.

Mesyuarat turut mengambil maklum tentang libat urus yang sedang diadakan dengan penyedia indeks bon utama dan pelabur asing bagi menggalakkan kemasukan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia (MGII) dalam indeks bon global.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi