9 Oktober 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menurut unjuran ekonomi yang dikeluarkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), kadar inflasi dijangka turun daripada 5.9% tahun ini kepada 4.5% pada tahun 2025. Namun begitu, IMF mendapati pertumbuhan sederhana akan kekal lemah mengikut sejarah disebabkan oleh perpecahan berstruktur yang menghalang modal serta tenaga kerja daripada bergerak kepada firma yang produktif.

Impak seperti ini tidak mengecualikan kesannya terhadap gerakan koperasi. Justeru, pendekatan yang tuntas perlu dijana dan digerakkan oleh gerakan koperasi bagi mendepani cabaran ini. Satu daripada pendekatan yang boleh diambil adalah melalui kerjasama dengan koperasi, usahawan atau entiti perniagaan lain. Bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu ini bukan sahaja mampu mengekang cabaran perniagaan koperasi yang mendatang malah menguntungkan dan membawa faedah kepada koperasi.

Menurut Kamus Dewan, bekerjasama bermaksud membuat sesuatu perkara bersama-sama. Koperasi pula didefinisikan sebagai suatu pertubuhan orang berautonomi yang bersatu secara sukarela untuk memenuhi keperluan dan aspirasi ekonomi, sosial, dan budaya mereka yang sama melalui suatu perusahaan milik bersama dan dikawal secara demokrasi.

Koperasi dianggotai oleh seseorang atau sesuatu koperasi yang turut sama dalam permohonan pendaftaran sesuatu koperasi dan yang telah menandatangani minit mesyuarat agung permulaan koperasi itu dan seseorang atau sesuatu koperasi yang diterima menjadi anggota koperasi mengikut peraturan-peraturan dan undang-undang kecil selepas pendaftaran (Akta Koperasi, 1993).

Koperasi perlu menjalankan perniagaan bagi menjana keuntungan demi manfaat anggota dan mencapai visi koperasi. Sehubungan itu, dalam mendepani cabaran ekonomi yang semakin mencabar, koperasi perlu bertindak untuk bekerjasama dengan pihak yang dapat membawa manfaat bersama kepada koperasi. Siapa yang boleh bekerjasama bersama koperasi? Koperasi boleh sahaja bekerjasama atau membuat kerjasama strategik sama ada dengan koperasi, usahawan atau entiti perniagaan yang lain (Norsyeirawani Shari, 2016).

Kerjasama ini mengambil kira keupayaan koperasi sedia ada memandangkan antara tujuannya adalah untuk berkongsi dan mengurangkan risiko perniagaan. Mengambil contoh perubahan drastik penjualan produk dan perkhidmatan secara dalam talian pada masa kini, gerakan koperasi boleh bekerjasama dengan pihak lain yang menyediakan ekosistem perniagaan seperti  pengangkutan, penghantar makanan atau pemilik laman web yang memasarkan produk. Dengan yang demikian, gerakan koperasi tidak akan ketandusan idea dan peluang perniagaan dalam apa-apa jua keadaan sekalipun.

Apabila koperasi bekerjasama dengan koperasi, usahawan mahupun entiti perniagaan yang lain, gerakan koperasi mempunyai pilihan strategi bagi menggerakkan perniagaan koperasi. Penekanan kerjasama sesama koperasi ini merupakan simbolik yang membawa manfaat kepada anggota mereka.

Mengambil inti pati ucapan Mantan Perdana Menteri Malaysia, YB Dato Sri Ismail Sabri ketika merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia di Gelang Patah Johor pada 18 Februari 2022, beliau mengambil contoh koperasi yang terlibat dengan sektor pemborongan boleh membeli barangan secara pukal dan menjual barangan tersebut kepada koperasi yang terlibat dengan sektor peruncitan.

Tegas beliau, sudah pasti harga yang ditawarkan akan lebih murah dan tidak akan menindas anggota atau pelanggan yang membeli barangan tersebut. Kerjasama dalam kalangan koperasi seperti ini meningkatkan keuntungan koperasi sekaligus membawa faedah kepada anggota dan pelanggan mereka.

Selain itu,  Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (2022) menyatakan bahawa rantaian kerjasama antara anggota terutama usahawan dan koperasi membolehkan koperasi turut menjana pendapatan melalui proses perkongsian teknologi, kepakaran dan sumber.  Satu contoh kerjasama koperasi bersama entiti perniagaan yang berasakan teknologi ialah Koperasi Warga Institut Koperasi Malaysia Berhad bersama-sama dengan Nectar Consortium Sdn. Bhd. Pihak Nectar telah memperkenalkan sistem perladangan digital pintar universal yang boleh digunakan untuk semua jenis perladangan di Malaysia. Aplikasi tersebut dikenali sebagai DEMA (Aplikasi Pengurusan Estet Digital) yang mengoptimakan penggunaan Internet of Things (IoT) dan kecerdasan buatan (AI).

Koperasi yang mengamalkan bentuk kerjasama sebegini akan dapat mengembangkan perniagaan dan meningkatkan kepakaran koperasi dalam bidang perniagaan masing-masing. Malah, koperasi juga boleh mengadakan kerjasama bersama-sama koperasi lain yang berpotensi pada masa hadapan.

Hasil perkongsian menerusi kerjasama akan membawa banyak faedah kepada gerakan koperasi itu sendiri seperti yang berikut:

Mengurangkan risiko kerugian. Untung lawannya rugi. Perniagaan dijalankan bertujuan untuk mendapatkan keuntungan. Kerugian akan mendatangkan masalah kepada koperasi. Sehubungan itu, koperasi perlu mengambil pendekatan untuk bekerjasama bagi mengurangkan risiko kerugian. Perlu diingatkan juga, koperasi yang tidak mengadakan kerjasama tetap akan terdedah kepada risiko perniagaan. Koperasi yang bekerjasama dengan koperasi atau entiti perniagaan yang lain dapat mengurangkan risiko kerugian mereka. Apabila bekerjasama dengan koperasi mahupun entiti perniagaan yang lain, berkemungkinan margin keuntungan yang diperoleh adalah kecil tetapi koperasi masih juga mendapat keuntungan. Sehubungan itu, koperasi juga boleh bersedia dengan mewujudkan Jawatankuasa Pengurusan Risiko koperasi masing-masing bagi mendepani risiko yang bakal dihadapi.

Satu contoh pengurangan risiko kerugian dapat dilihat menerusi koperasi yang terlibat dalam proses pengeluaran produk seperti makanan kering dan makanan sejuk beku yang bekerjasama dengan koperasi yang terlibat dalam pembungkusan produk dan koperasi yang terlibat untuk memasarkan produk berkenaan. Tiga koperasi atau tiga pihak yang berbeza dalam kerjasama ini akan dapat memfokuskan peranan masing-masing, malah yang lebih penting kos pengeluaran sehinggalah produk berada di tangan pelanggan dapat dikongsi bersama oleh tiga pihak yang bekerjasama.

Meningkatkan daya saing. Bekerjasama dapat membantu koperasi memperkasakan daya saing mereka. Cabaran baharu yang dihadapi oleh koperasi adalah persiapan dari sudut keupayaan mereka untuk bekerja dalam suasana yang baharu dan di luar kebiasaan. Komitmen ini menjadikan koperasi tidak akan leka dengan keadaan semasa dan akan lebih bersedia menghadapi cabaran. Dengan yang demikian, daya saing koperasi akan meningkat kerana pengalaman daripada proses kerjasama memberikan kelebihan kepada koperasi. Pengalaman koperasi dalam bekerjasama akan meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka dalam bidang baharu diceburi.

Melihat kepada contoh sebelum ini menerusi kerjasama tiga pihak sebagai pengeluar, membungkus dan memasarkan produk makanan kering dan sejuk beku, hal ini akan memastikan pihak-pihak yang bekerjasama lebih fokus kepada tanggungjawab masing-masing. Dengan memfokus kepada peranan masing-masing, peningkatan kepada kualiti kerja serta hasil akan lebih mudah untuk diusahakan. Bayangkanlah jika semua perkara daripada proses pengeluaran, pembungkusan dan pemasaran dibuat oleh satu pihak sahaja, sudah pasti tumpuan akan terjejas kerana banyak perkara perlu dilakukan dalam satu masa. Permasalahan ini akan mengakibatkan daya saing menjadi lemah kerana melakukan pelbagai kerja dalam satu masa.

Meningkatkan kemampuan memasuki pasaran baharu. Dengan bekerjasama, kemampuan koperasi untuk memasuki pasaran baharu akan lebih mudah. Pasaran baharu akan menghasilkan cabaran berbeza kepada perniagaan koperasi. Tanpa persediaan yang kukuh, produk dan perkhidmatan koperasi akan sukar menembusi pasaran baharu. Apatah lagi jika koperasi yang dilihat seperti tidak berpengalaman akan menyulitkan lagi peluang untuk menembusi pasaran baharu. Bekerjasama akan meningkatkan keyakinan pelanggan mahupun pelabur terhadap perniagaan yang dijalankan secara kerjasama. Kepercayaan kepada produk atau perkhidmatan koperasi akan lebih diyakini seandainya koperasi bertindak bijak dalam membuat keputusan dengan bekerjasama.

Pesaing baharu yang memasuki pasaran baharu perlu bekerjasama bersama-sama dengan pihak yang sudah berada di kawasan yang disasarkan. Koperasi boleh bekerjasama dengan pasar raya yang memasarkan produk makanan sejuk beku di pasaran baharu yang disasarkan. Malah, produk koperasi juga boleh diubah dan disesuaikan mengikut cita rasa bakal pengguna atau pembeli di pasaran yang baharu dengan bekerjasama dengan pihak yang pakar dalam perkara ini.

Selain itu, untuk memasarkan produk makanan kering dan sejuk beku ke pasaran yang baharu, pendekatan kerjasama dengan penjual dalam talian juga boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan penerimaan produk yang bakal berada di pasaran baharu. Koperasi boleh bekerjasama bersama pembekal barangan jualan dalam talian seperti Shopee, Lazada, Zalora  dan Ali Baba untuk memasuki pasaran baharu. Pihak penjual dalam talian yang akan membuat promosi dan pengenalan produk ke kawasan baharu. Bentuk kerjasama seperti ini juga dapat mengurangkan kos penyelenggaraan laman web jika koperasi memiliki laman web sendiri. Sehubungan dengan itu, kemampuan koperasi akan lebih meningkat untuk memasuki pasaran baharu.

Mengukuhkan jenama koperasi. Selanjutnya, faedah bekerjasama juga akan mengukuhkan jenama koperasi. Menurut Pengasas Amazon, iaitu Jeff Bezos jenama merupakan perkara yang diperkatakan oleh orang lain tentang anda apabila anda tidak lagi berada di sesuatu tempat itu. Hal ini menunjukkan jenama adalah melebihi logo dan laman web perniagaan. Menerusi kerjasama yang diadakan,  pihak yang bekerjasama dengan koperasi akan mempromosikan jenama koperasi. Perkara ini akan membantu koperasi untuk meningkatkan jenama produk atau perkhidmatan koperasi tersebut.

Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) merupakan satu pendekatan kerjasama yang boleh dilaksanakan oleh koperasi bersama-sama dengan pihak lain untuk mengukuhkan jenama koperasi. Program CSR menunjukkan koperasi tidak hanya memfokus kepada keuntungan tetapi turut membawa manfaat kepada masyarakat umum. Program CSR juga bertepatan dengan satu daripada prinsip koperasi, iaitu prihatin terhadap komuniti. Antara program CSR yang boleh dilakukan adalah gotong-royong, penanaman pokok, jualan amal dan sebagainya. Program seperti ini yang dijalankan secara kerjasama dengan pihak lain akan mengukuhkan jenama koperasi.

Mengekalkan kesetiaan anggota dan pelanggan. Koperasi dimiliki oleh anggota. Anggota koperasi sangat berharga kepada sesebuah koperasi dan pelanggan koperasi. Tanpa anggota dan pelanggan yang setia, segala perancangan yang dilakukan oleh koperasi boleh menemui jalan buntu. Impak kerjasama yang berjaya akan memastikan sokongan dan keyakinan berterusan anggota dan pelanggan terhadap koperasi.

Kejayaan koperasi menerusi kerjasama untuk mengurangkan risiko kerugian, meningkatkan daya saing, memasuki pasaran baharu dan mengukuhkan jenama koperasi akan membawa impak kesetiaan anggota dan pelanggan kepada koperasi. Kesetiaan anggota dan pelanggan sangat penting kepada koperasi kerana mereka ialah duta kecil perniagaan yang akan memakmurkan perniagaan koperasi. Mereka akan membawa nama baik jenama koperasi kepada umum. Mereka juga dapat menarik anggota mahupun pelanggan baharu koperasi menerusi kerjasama yang diadakan.

Sebagai kesimpulannya, saranan yang telah diterangkan akan menguntungkan koperasi dengan langkah kerjasama yang diambil oleh koperasi. Sebelum koperasi bekerjasama dengan mana-mana pihak, kajian mendalam perlu dilakukan oleh kepimpinan dan pengurusan koperasi.

Selain itu, kemampuan koperasi dari sudut kewangan dan pematuhan kepada perundangan koperasi perlu juga diambil kira. Peruntukan yang terdapat dalam undang-undang kecil koperasi perlu diteliti bagi mengelakkan pelanggaran tadbir urus. Koperasi juga boleh meminda undang-undang kecil yang bersesuaian dengan kerjasama yang bakal dilaksanakan.

Lonjakan besar harus diambil oleh koperasi untuk sentiasa siaga dan proaktif berhadapan dengan perubahan persekitaran dunia yang semakin mencabar. Seorang ahli falsafah Greek pernah menyatakan the only constant is change yang bermaksud antara perkara yang pasti adalah perubahan. Perubahan tidak akan berhenti dan tetap akan datang. Gerakan koperasi perlu menyambut perubahan dengan pantas dan jitu.  Bekerjasama harus menjadi pilihan demi kelangsungan koperasi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.