3 Oktober 2024, 18:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gombak – Program Selangor 1000 Digital menyasarkan untuk meningkatkan pendigitalan dalam perniagaan dengan memperluas transformasi digital dalam kalangan usahawan tempatan.

Program ini memberikan tumpuan untuk memperkasakan pendigitalan usahawan menerusi penyediaan sumber, latihan dan sokongan penting kepada usahawan di seluruh Selangor.

Dalam program ini, para peserta didedahkan dengan maklumat tentang pengurusan perniagaan secara digital, kaedah mengembangkan perniagaan melalui medium dalam talian, inisiatif pembiayaan mikro yang ditawarkan oleh agensi kerajaan dan cara melipatgandakan jumlah jualan melalui pemasaran pempengaruh.

YAB Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Haji Amirudin Shari dalam ucapan perasmian berkata, pelaksanaan program ini merupakan komitmen berterusan yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri melalui agensi di bawah kerajaan negeri.

Melalui usaha yang telah dibangunkan oleh kerajaan negeri setelah kita meletakkan sasaran supaya negeri Selangor menjadi sebuah negeri pintar serantau menjelang tahun 2025, sememangnya memberikan cabaran kepada kita untuk merealisasikan hasrat dan cita-cita tersebut.

YAB Menteri Besar menyampaikan ucapan dalam perasmian program Selangor 1000 Digital.

Tambah beliau, transformasi digital merupakan satu daripada parameter penting untuk memastikan negeri pintar itu diwujudkan. Transformasi digital bukan hanya dapat diukur dengan kepintaran buatan ataupun teknologi terkini yang dihasilkan, tetapi tentang pembudayaan dan penggunaannya dalam kalangan rakyat pada hari ini dan pada masa depan.

Para peserta yang terdiri daripada usahawan tempatan dari seluruh negeri Selangor.

Menurut YB Tuan Mohd Najwan Halimi, Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, sasaran program ini telah tercapai dengan pelibatan seramai 500 usahawan dan 500 pemain industri atau syarikat yang berkaitan dengan pendigitalan.

Di daerah Gombak sahaja, kami merekodkan pendaftaran usahawan sebanyak 450 penyertaan. Daripada lima siri program ini yang diadakan, kami telah menerima penyertaan lebih daripada 1,000 usahawan digital yang mendapat manfaat daripada program Selangor 1000 Digital ini. Hasil daripada kajian, saya mendapati antara 70 hingga 80 peratus usahawan yang menyertai program ini telah mendigitalkan perniagaan mereka.

Program yang berlangsung di Hotel Mercure, Selayang dari pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang merupakan siri kelima yang dianjurkan oleh kerajaan negeri.

Program ini mendapat sokongan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) dan Platform Selangor (PLATS).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.