Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Bulan Literasi Kewangan Kebangsaan (FLM) 2024 bertemakan “Bijak Wang, Hidup Sejahtera” bertujuan untuk meningkatkan tahap literasi kewangan dan memperkasakan rakyat Malaysia dengan pengetahuan, kemahiran, dan alat yang diperlukan untuk membuat keputusan kewangan termaklum.
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang merupakan sebahagian daripada Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) telah melancarkan FLM 2024 yang dirasmikan oleh Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir, di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM), hari ini.
Menurut KWSP, FLM 2024 memfokuskan untuk meningkatkan kepintaran kewangan, termasuk pengurusan kewangan peribadi, pengurusan risiko, pengetahuan pelaburan, perancangan persaraan dan literasi kewangan digital dengan penekanan yang kuat kepada pencegahan penipuan.
Sementara itu, Pengerusi KWSP, Tan Sri Mohd Zuki berkata, Bulan Literasi Kewangan dianjurkan pada masa yang tepat ketika peralihan demografi yang berkembang pesat, pertumbuhan ekonomi dan pendigitalan perkhidmatan kewangan.
Tambah beliau, seiring kemunculan cabaran dan peluang baharu, literasi kewangan melangkaui aspek belanjawan dan simpanan asas.
Setiap individu harus diperkasakan untuk membina masyarakat yang berdaya tahan kewangan untuk menempuh dunia kewangan yang kompleks pada hari ini, mengurus perbelanjaan, merancang persaraan dan melindungi diri daripada penipuan.
Menurut beliau lagi, pentingnya untuk mengukuhkan pendidikan kewangan merentasi semua segmen masyarakat bagi memastikan individu, keluarga dan komuniti berupaya untuk membuat keputusan kewangan termaklum sepanjang kitaran hayat mereka.
Atas komitmen pendidikan kewangan, KWSP bersama-sama pihak berkepentingan lain terus memainkan peranan proaktif dalam menyediakan rakyat Malaysia dengan ilmu pengetahuan dan sokongan yang diperlukan dalam pengurusan kewangan untuk membina masa depan yang terjamin.
KWSP berkata, FLM ialah program perdana tahunan yang dianjurkan oleh FEN, sebuah jaringan yang merangkumi ahli termasuk Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kementerian Pengajian Tinggi, KWSP, Permodalan Nasional Berhad, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia, dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Sepanjang bulan Oktober, ahli dan rakan kongsi FEN akan menganjurkan aktiviti literasi kewangan di seluruh negara untuk menyokong dan memacu aspirasi Ekonomi MADANI, dan memperkasakan rakyat Malaysia dengan ilmu celik kewangan.
Satu daripada inisiatif utama program ini, iaitu jerayawara FLM2024 yang diadakan di seluruh negara oleh Skuad Celik Kewangan FEN bertujuan mendekatkan pendidikan kewangan kepada rakyat serta merangkumi khidmat nasihat kewangan untuk pengguna oleh KWSP, BNM dan AKPK.
Inisiatif ini meliputi lebih daripada 80 lokasi di seluruh negara untuk meningkatkan tahap kesedaran kewangan dan menyediakan alat yang penting dalam pengurusan kewangan peribadi disediakan terutamanya untuk golongan kurang mendapat perkhidmatan.
KWSP berkata, sempena inisiatif ini, pihaknya akan bekerjasama menganjurkan Simposium Literasi Kewangan Kebangsaan (NFLS) 2024 yang bertemakan “Kesejahteraan Kewangan Inklusif – Memupuk Keupayaan Kewangan Merentas Komuniti”, dari 2 hingga 3 Oktober.
Simposium itu menumpukan usaha untuk memanfaatkan penyelidikan berasaskan bukti dalam membentuk keberkesanan penggubalan dasar dan memperkasakan komuniti.
Acara dua hari itu akan menampilkan gabungan perbincangan panel dan pembentangan kertas penyelidikan oleh pakar domestik, serantau dan antarabangsa bertujuan membincangkan topik yang berkaitan dengan pemerkasaan kewangan pengguna, serta risiko dan peluang dalam memupuk amalan kewangan yang inklusif dan mampan untuk perniagaan dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan.