26 September 2024, 11:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Menjelang tahun 2044, negara kita dijangka akan melalui satu lagi peralihan demografi sebagai negara tua dengan unjuran lebih 14% populasi negara terdiri daripada warga emas berusia 65 tahun dan ke atas. Secara amnya, transisi ini dipengaruhi oleh dua faktor utama, iaitu kemerosotan kadar kesuburan keseluruhan, serta peningkatan jangkaan hayat.

Kadar kesuburan keseluruhan negara telah menyaksikan penurunan ketara, iaitu daripada 4.9 pada tahun 1980 kepada 1.6 pada tahun 2022. Antara faktor penyumbangnya adalah kos hidup yang tinggi, faktor kesihatan, serta gaya hidup bagi wanita berkerjaya yang memilih untuk menangguhkan tempoh untuk berkahwin. Manakala, jangkaan hayat menunjukkan peningkatan daripada 71.2 pada tahun 1991 kepada 74.8 pada tahun 2023. Perubahan ini dilihat selari dengan kemajuan teknologi perubatan dari masa ke masa.

Cabaran bagi peralihan demografi ini secara dasarnya terletak pada proses penuaan di negara kita yang tidak dapat diterjemahkan sebagai penuaan sihat. Terdapat jurang yang ketara antara purata jangka hayat dengan purata jangka hayat sihat. Menurut unjuran statistik pada tahun 2030 nanti, purata jangka hayat di Malaysia adalah 74.6 tahun (lelaki) dan 78.4 tahun (perempuan). Manakala, purata jangka hayat sihat adalah 65.9 tahun (lelaki) dan 67.8 tahun (perempuan). Setelah usia ini, lelaki dan perempuan masing-masing mula mengalami pelbagai masalah kesihatan  selama 8.7 tahun dan 10.6 tahun.

Selama tempoh penuaan yang disertai dengan pelbagai masalah kesihatan ini, penjagaan warga emas ini secara semula jadinya berada di bawah tanggungjawab anak-anak atau ahli keluarga lain. Ekoran itu, perkara ini memberikan impak yang signifikan kepada ‘generasi sandwic’ yang merupakan dewasa pertengahan yang memikul tanggungjawab untuk membesarkan anak-anak, serta menguruskan kebajikan dan penjagaan ibu bapa. Lebih memberikan tekanan apabila pada masa yang sama, mereka perlu membahagikan masa dan perhatian untuk perkembangan kerjaya sendiri.

Perkara ini memberikan kesan yang lebih besar terhadap golongan wanita kerana mereka lebih sinonim dengan tanggungjawab untuk menguruskan hal ehwal keluarga. Tambahan pula, pasaran semasa menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita yang semakin meningkat. Oleh yang demikian, sekarang adalah masa yang kritikal untuk negara mula membuat perancangan yang teliti bagi membangunkan ekonomi penjagaan di Malaysia.

Ekonomi penjagaan merujuk kepada sektor ekonomi yang melibatkan penyediaan, penerimaan, serta pengurusan perkhidmatan penjagaan. Hal ini merangkumi pelbagai jenis perkhidmatan berkaitan dengan penjagaan individu kurang upaya yang memerlukan bantuan dan sokongan akibat daripada peningkatan usia, penyakit dan sebagainya.

Pada masa ini, terdapat beberapa halangan bagi pembentukan ekonomi penjagaan ini. Antaranya adalah nilai budaya yang masih bergantung tinggi kepada penjagaan tidak formal oleh ahli keluarga khususnya wanita. Tidak dinafikan bahawa memang wujud sektor penjagaan formal di negara kita, namun kebanyakannya tertumpu pada penjagaan serta pendidikan awal kanak-kanak, berbanding dengan penjagaan untuk warga emas. Bahkan, kerja-kerja dalam sektor ini juga sering kali kurang dihargai serta dibayar dengan kadar yang rendah.

Selain itu, negara kita juga masih kekurangan infrastruktur yang mampu menyediakan perkhidmatan penjagaan yang baik serta bersesuaian dengan kemampuan rakyatnya. Kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta dilihat sangat penting dalam pembangunan infrastruktur bagi memacu pembangunan ekonomi penjagaan negara. Dalam keadaan ini, apa-apa yang penting adalah mencapai titik keseimbangan antara keuntungan dan kemampuan. Kita tidak boleh menafikan bahawa pihak penyedia tetap perlu memikirkan aspek keuntungan bagi memastikan kemapanan perkhidmatan. Walau bagaimanapun, hal ini harus diukur dengan kemampuan rakyat. Jika tidak, inisiatif ini tidak akan mencapai objektifnya untuk meningkatkan kesejahteraan dan produktiviti masyarakat.

Satu lagi cabaran yang tidak kurang pentingnya untuk kita teliti ialah aspek keperluan perundangan yang holistik bagi mengawal selia sektor ekonomi penjagaan. Hal ini adalah untuk memastikan pengagihan gaji yang adil, perlindungan hak pekerja, dan peningkatan kualiti penjagaan yang mana secara tidak langsung akan turut menarik lebih banyak pelaburan dalam sektor ekonomi ini.

Dalam mendepani isu ini, kita percaya bahawa setiap cabaran itu pasti datang dengan peluang. Kerajaan seharusnya mengambil langkah proaktif dan progresif bagi membangunkan ekonomi penjagaan, selari dengan fenomena populasi menua negara kita. Kita yakin bahawa ekonomi penjagaan ini mampu meraih pasaran yang luas serta membuka peluang kepada pelbagai industri untuk mendapat manfaat daripada rantaian ekonomi ini.

Antara pendekatan yang boleh diambil dalam usaha pembangunan ekonomi penjagaan ini ialah Pengiktirafan, Pengurangan dan Pengagihan semula atau 3R (Recognition, Reduction and Redistribution), iaitu:

  1. Pengiktirafan: Kerja-kerja penjagaan, tidak kira sama ada berbayar atau tidak, adalah penting dalam perjalanan sesebuah keluarga, masyarakat, dan ekonomi negara. Sektor ini harus diberikan pengiktirafan yang selayaknya bagi menghargai sumbangan pekerja dan membangkitkan kesedaran orang ramai tentang kepentingannya dalam konteks ekonomi dan sosial. Sehubungan itu, pertimbangan yang sewajarnya perlu diberikan dalam aspek gaji kepada pekerja sektor ini sebagai tanda penghargaan.
  2. Pengurangan: Tumpuan harus diberikan untuk mengurangkan tuntutan kerja penjagaan yang dipikul individu, terutamanya wanita. Hal ini adalah bagi membolehkan keseimbangan antara kerja dan kehidupan. Maka, akses kepada perkhidmatan penjagaan mampu milik perlu dipertingkatkan. Selain itu, perlu ada polisi yang menyokong pengurangan beban kerja penjagaan ini, contohnya seperti cuti khas bergaji, bantuan khas penjagaan warga emas dan sebagainya.
  3. Pengagihan semula: Tanggungjawab yang dipikul untuk menjaga warga emas ini perlu diagihkan semula secara saksama dalam masyarakat. Perkara ini termasuk mengalihkan sebahagian tanggungjawab penjagaan tersebut daripada individu (khasnya wanita) kepada institusi swasta mahupun awam. Bukan itu sahaja, hal ini juga boleh merujuk kepada pengagihan yang saksama antara lelaki dan wanita, bagi menghapuskan stereotaip bahawa tanggungjawab penjagaan ini terletak pada bahu wanita sahaja.

Sebagai kesimpulannya, cabaran yang terpaksa dihadapi negara dalam melalui proses penuaan populasi ini harus diambil secara positif. Bukan sekadar optimis, malah kita perlu segera meraih peluang yang ada untuk membangunkan ekonomi penjagaan di Malaysia bagi memastikan kesejahteraan masyarakat dan ekonomi negara.

Penulis ialah pensyarah di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR).

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.