Diterbitkan pada 21 September 2024, 18:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Dalam usaha merealisasikan Malaysia ke arah negara maju berpendapatan tinggi, agenda perpaduan ekonomi merupakan kunci yang dapat memacu kepada kejayaan ekonomi.

Demikian ucapan Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika merasmikan Majlis Himpunan Usahawan anjuran Dewan Perdagangan Islam Islam Malaysia (DPIM) yang berlangsung di Bangi Convention Centre (BCC), tengah hari tadi.

Beliau yang mewakili Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa melalui agenda tersebut, semua pihak dapat memanfaatkan potensi penuh negara dan memastikan tiada pihak yang tertinggal dalam arus pembangunan ekonomi.

Perpaduan ekonomi ialah kunci untuk memastikan kemakmuran ekonomi dapat dinikmati oleh semua orang tanpa mengira latar belakang. Melalui agenda ini, kita mampu mengurangkan jurang ekonomi dan memperkukuh keharmonian di negara ini. Satu daripada langkah awal dalam mewujudkan perpaduan ekonomi ialah pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu (DEB).

Beliau turut menyarankan agar para usahawan di negara ini merebut peluang menceburkan diri dalam industri perniagaan halal yang menjanjikan potensi besar di seluruh dunia dengan nilai pasarannya semakin meningkat saban tahun.

Pelancaran Majlis Himpunan Usahawan.

Sementara itu, Presiden DPIM, Dato’ Mohammad Sahar Mat Din dalam ucapan alu-aluan berkata, DPIM menekankan empat teras dalam usaha membantu dan memperjuangkan para usahawan dalam perniagaan.

Teras yang pertama adalah dengan menyemai roh jihad perniagaan dalam kalangan para usahawan agar mereka berjuang bermati-matian untuk menjayakan perniagaan yang diceburi. Teras yang kedua ialah aspek halal ekonomi dengan DPIM menggalakkan para usahawan untuk terlibat secara aktif sebagai pengeluar produk dan turut memasarkan produk halal ke seluruh dunia.

Tambah beliau lagi,

DPIM turut menekankan teras ketiga, iaitu ekonomi Islam digital dengan DPIM menggerakkan usaha melalui Gerakan Usahawan Digital (GUD) untuk menerapkan nilai baharu dalam perniagaan supaya para usahawan memiliki ilmu dan kepakaran dalam bidang teknologi digital. Teras terakhir adalah dengan memperkukuh institusi wakaf korporat.

Selain itu, Dato’ Mohammad Sahar turut menyatakan bahawa DPIM akan meneruskan 12 inisiatif yang dinamakan Gerakan Usahawan MADANI (GEMA) meliputi sebanyak 60 program dalam membantu usahawan di negara ini.

Majlis ini menghimpunkan hampir 2000 usahawan dari seluruh negara yang berminat untuk mendengar amanat dan pandangan oleh Perdana Menteri. Selain itu, dalam program ini para usahawan turut mendengar taklimat tentang Gerakan Usahawan Digital (GUD) yang merangkumi 11 program strategik dan berimpak tinggi untuk dimanfaatkan oleh peserta.

TPM, YAB Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi bergambar bersama-sama pengurusan Ahli Majlis Pengurusan DPIM.

Program ini juga diadakan untuk memperkukuh jaringan perniagaan antara usahawan dari pelbagai sektor dan membuka peluang baharu dalam industri melalui kerjasama strategik kepada semua pihak yang terlibat.

Kredit Foto: Facebook YAB Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi