Diterbitkan pada 18 September 2024, 16:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyasarkan potensi pelaburan sebanyak RM80 juta di Malaysia International Halal Showcase (MIHAS) 2024.

Menurut KUSKOP, pihaknya telah menyelaraskan penyertaan 26 buah syarikat halal dan 14 buah syarikat francais jenama tempatan di MIHAS 2024 yang berlangsung dari 17 hingga 20 September 2024 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Datuk Ewon Benedick telah merasmikan Pavilion KUSKOP dan menyaksikan empat Perjanjian Persefahaman (MoU) yang membabitkan syarikat usahawan halal tempatan bersama-sama rakan niaga dari dalam negara dan luar negara seperti syarikat R FEX Global Trade Sdn. Bhd. dengan rakan niaga dari Nigeria dan syarikat Hijrah Nature Herbs (M) Sdn. Bhd. dengan rakan niaga dari Singapura dan Hong Kong.

Empat Perjanjian Persefahaman (MoU) dimeterai antara syarikat usahawan halal tempatan dengan rakan niaga dari dalam negara dan luar negara.

Selain itu, dua produk makanan baharu telah dilancarkan hasil syarikat usahawan halal, iaitu Sumatraa Industries Sdn. Bhd. dan Kuhot Holdings (M) Sdn. Bhd. bagi pasaran domestik dan antarabangsa.

YB Datuk Ewon Benedick berkata, penyertaan KUSKOP bersama-sama usahawan tempatan di MIHAS 2024 ini adalah bukti komitmen kerajaan dalam mempromosikan usahawan tempatan ke peringkat global.

Kami yakin peluang ini akan memberikan manfaat besar kepada usahawan Malaysia untuk memperluas jaringan perniagaan mereka, terutamanya melalui peningkatan kerjasama strategik dengan pelabur antarabangsa.

YB Datuk Ewon Benedick turut menyatakan harapan beliau agar penyertaan kali ini akan menjadi titik tolak kepada lebih banyak peluang bagi usahawan tempatan untuk meningkatkan daya saing di peringkat global.

Beliau berharap agar usahawan tempatan dapat mengambil peluang yang disediakan oleh platform seperti MIHAS ini untuk terus maju dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran ekonomi yang semakin kompetitif.

Tambah beliau lagi, ini bukan sahaja peluang untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan mereka ke pasaran antarabangsa, tetapi juga untuk membina rangkaian yang lebih kukuh dan strategik dengan pelabur serta rakan niaga dari seluruh dunia.

KUSKOP berkata, Pavilion Francais pula mempromosikan francais daripada pelbagai sektor seperti makanan dan minuman, pendidikan dan perkhidmatan.

Antara syarikat francais yang menyertai pameran MIHAS pada kali ini termasuklah CheeseU, Mokti’s, Marrybrown, Sangkaya, US Pizza, dan Vanilla Crepe. Inisiatif program bersama-sama pihak industri francais ini juga merupakan kolaborasi dengan pihak Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Menurut KUSKOP, usaha ini adalah selaras dengan Perancangan Strategik KUSKOP 2024 yang bertemakan Usahawan MADANI, Memacu Ekonomi selaras dengan Kerangka Ekonomi MADANI untuk menaikkan siling ekonomi dan meningkatkan lantai pendapatan rakyat.

Pameran ini dianjurkan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Kredit Foto: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP)
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi