Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDi Malaysia, perpaduan merupakan komponen utama dalam pembentukan masyarakat majmuk yang harmoni. Kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain menyumbang kepada ekonomi negara dengan cara yang unik. Warisan budaya, nilai dan kemahiran yang berbeza ini mencipta sebuah landskap ekonomi yang beraneka dan inovatif. Kepelbagaian ini turut memberikan kekuatan kepada Malaysia untuk mengadaptasi dan berkembang dalam menghadapi perubahan ekonomi global yang pantas.
Sebagai contoh, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dikendalikan oleh pelbagai komuniti di seluruh negara ini menyumbang lebih daripada 38% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Hal ini membuktikan bahawa ekonomi negara dibentuk oleh penyertaan aktif daripada pelbagai kaum. Dari restoran yang menyajikan masakan tradisional hingga ke firma teknologi yang memenangi anugerah, setiap segmen masyarakat memainkan peranan penting dalam membentuk ekonomi negara.
Perpaduan antara kaum tidak hanya berlaku secara semula jadi malah memerlukan usaha dan komitmen yang berterusan. Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) sentiasa menggalakkan kerjasama ekonomi antara usahawan daripada pelbagai latar belakang untuk memastikan kejayaan pembangunan ekonomi yang menyeluruh. Melalui program mentor mentee, bengkel dan seminar, DPIM menghubungkan usahawan daripada pelbagai komuniti untuk berkongsi ilmu, teknologi dan sumber.
Kerjasama ini melahirkan perniagaan yang lebih inovatif dan berdaya saing menerusi idea dan strategi yang berbeza digabungkan untuk mencipta produk dan perkhidmatan yang unik. Sebagai contoh, kerjasama antara pengeluar tradisional dan syarikat teknologi telah menghasilkan produk yang menggabungkan keindahan seni tradisional dengan kemajuan teknologi moden, membuka pasaran baharu dan menarik minat pelabur antarabangsa.
Cabaran dalam Menyokong Perpaduan dari Sudut Ekonomi
Ketidakseimbangan ekonomi antara kaum masih wujud dan hal ini boleh menjadi punca ketegangan sosial sekiranya tidak ditangani dengan baik. Selain itu, stereotaip dan prasangka juga boleh menjejaskan hubungan antara kaum, yang seterusnya boleh memberikan kesan negatif kepada kedudukan ekonomi negara.
DPIM berpandangan bahawa pendidikan adalah kunci untuk mendorong pembangunan ekonomi yang mampan. Dengan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan perpaduan dari sudut ekonomi dan menghapuskan prasangka melalui dialog dan pendidikan, kita dapat membina sebuah masyarakat yang lebih adil dan harmoni. Program latihan kemahiran, sokongan keusahawanan dan dasar inklusif perlu diteruskan untuk memastikan semua rakyat Malaysia mempunyai akses kepada peluang ekonomi yang seimbang.
Melangkah ke hadapan, perpaduan dalam ekonomi Malaysia perlu terus diperkukuhkan. DPIM berhasrat untuk memperluas inisiatif yang mempromosikan kerjasama antara kaum dalam perniagaan dan ekonomi. Hal ini termasuklah meningkatkan peluang untuk usahawan muda daripada semua komuniti untuk terlibat dalam sektor-sektor ekonomi baharu seperti teknologi hijau, e-dagang, dan kecerdasan buatan (AI).
Selain itu, DPIM juga bercadang untuk meningkatkan kerjasama dengan organisasi antarabangsa dan syarikat multinasional untuk membawa masuk lebih banyak pelaburan asing yang dapat mencipta peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia. Dengan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang stabil dan berpotensi, DPIM yakin bahawa lebih banyak peluang ekonomi dapat diwujudkan, yang seterusnya dapat memperkukuhkan perpaduan dan kemakmuran negara.
Perpaduan dalam ekonomi merupakan realiti yang membentuk kejayaan Malaysia pada hari ini. Dengan memastikan bahawa semua kaum terlibat secara aktif dan adil dalam pemerkasaan ekonomi, Malaysia bukan sahaja dapat memastikan kemakmuran yang lestari tetapi juga kestabilan sosial yang berterusan. DPIM percaya bahawa dengan memupuk perpaduan dan kerjasama ekonomi, Malaysia akan terus maju, menjadi contoh kepada dunia yang perpaduan dapat menjadi asas kepada kejayaan dan kemakmuran.