Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPandemik COVID-19 yang melanda negara Malaysia memperlihatkan kebanyakan masyarakat kita tidak mempunyai simpanan untuk menghadapi situasi kecemasan. Dalam dunia kini yang serba-serbi memerlukan duit, literasi kewangan adalah kemahiran penting yang perlu ada dalam diri setiap orang. Tanpa kemahiran kewangan, seseorang akan terhimpit dan terdesak sehingga ada yang mengambil keputusan membunuh diri akibat masalah tersebut. Di Malaysia, kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perorangan sentiasa tampil membantu meringankan beban kewangan melalui bantuan bahan makanan asas. Kempen kibar bendera putih contohya, antara inisiatif masyarakat untuk membantu rakyat yang dibelenggu masalah kewangan sehingga tidak mampu membeli keperluan asas termasuklah makanan. Di sebalik semua bantuan yang diterima, masyarakat perlu bersedia melengkapkan diri dengan literasi kewangan kerana kita tidak tahu waktunya ekonomi negara mampu kembali stabil sebagaimana sebelum COVID-19 melanda Malaysia.
Literasi kewangan umumnya merujuk kepada pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk mengendalikan kewangan serta membuat keputusan mengenai kewangan dalam kehidupan seharian. Menurut Dannal L Moore dalam kajiannya “Servey of Financial Literacy in Washington State: Knowledge, Behavior, Attitudes and Experiences”, literasi kewangan dibahagikan kepada tiga dimensi, iaitu pengetahuan kewangan, tingkah laku kewangan dan pengalaman kewangan. Ketiga-tiga dimensi ini saling berkait antara satu sama lain. Pengetahuan dan kemahiran kewangan yang dimiliki membolehkan seseorang individu menguruskan sumber kewangannya dengan cekap dan yakin tanpa dibebani hutang kad kredit, pinjaman kewangan dan sebagainya. Di negara kita, pengurusan kewangan peribadi masih belum menjadi satu subjek khas yang diajar di sekolah mahupun di institusi pendidikan tinggi (IPT).
Berdasarkan kajian oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sejak beberapa tahun lepas, tahap literasi kewangan Malaysia amat rendah dan membimbangkan. Kebanyakan masyarakat kita juga lebih cenderung untuk mengurus keperluan semasa tanpa berfikir jauh dalam mengurus kewangan peribadi. Kaji selidik yang dilakukan oleh Jaringan Pendidikan Kewangan atau Financial Education Network (FEN) turut mendedahkan 84 peratus rakyat Malaysia tiada simpanan tetap setiap bulan. Menurut Pengerusi Bersama FEN yang juga Pengarah Jabatan Rangkuman Kewangan, BNM, Nor Rafidz Nazri, kajian juga mendapati 69 peratus lebih suka berbelanja berbanding menyimpan yang sekali gus menyebabkan mereka tiada simpanan untuk kegunaan jika berlaku hal kecemasan.
Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa COVID-19 menyebabkan banyak individu yang hilang pekerjaan dan dipotong gaji sehinggakan terpaksa berumah tangga dalam kereta atau menahan kelaparan di dalam rumah. Menurut Ketua Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit Melaka, Syaiful Anuar Bokhari, tinjauan yang dilakukan Jabatan Statistik Malaysia, iaitu Survei Khas Kesan COVID–19 kepada Ekonomi dan Individu di Malaysia menunjukkan 52.6 peratus berasa sangat tertekan dari segi impak kewangan. Tinjauan ini membuktikan lebih daripada separuh masyarakat Malaysia menghadapi masalah kewangan sejak penularan pandemik di negara kita.
COVID-19 yang melanda negara kita membuktikan masyarakat Malaysia masih mempunyai kadar literasi kewangan yang rendah. Semasa peringkat awal pelaksanaan PKP 1.0, Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melaporkan menerima sebanyak 100,000 permohonan daripada pelbagai kaum dan agama bagi Bantuan Khas Musaadah Khaira PPZ. Situasi ini secara tidak langsung membuktikan bahawa banyak individu yang terkesan akibat PKP dan tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menghadapi situasi kecemasan. Bahkan, satu kajian dalam talian pada Mac pada tahun 2020 oleh Jabatan Perangkaan menunjukkan secara umumnya rakyat Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi sekiranya berlaku situasi kecemasan atau kes luar jangka yang berpanjangan sebagaimana yang berlaku pada masa ini.
Walaupun kehadiran pandemik ini lebih memberi banyak kesan yang negatif kepada masyarakat, namun kehadirannya juga membuatkan masyarakat lebih celik berkaitan literasi kewangan. Walaupun masih ada yang alpa dan lalai namun, segelintir masyarakat mula melihat kepentingan untuk memiliki simpanan yang cukup bagi menghadapi situasi genting. Menurut Ketua Jabatan Pendidikan Kewangan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Nor Akmar Yaakub, Kaji Selidik Pasca Moratorium AKPK pada Ogos tahun lepas menunjukkan 29 peratus responden menggunakan duit moratorium untuk tujuan simpanan dan kajian ini disokong oleh peningkatan peratusan simpanan serta deposit di Tabung Haji, Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN), Bank Simpanan Nasional (BSN) serta Permodalan Nasional Bhd (PNB). Kajian ini membuktikan masyarakat mula menunjukkan kesedaran betapa penting dan perlunya mempunyai simpanan dalam situasi kecemasan seperti ketika berlakunya pandemik, COVID-19.
Pelaksanaan PKP membuatkan masyarakat menghadapi pelbagai kesukaran kerana kebanyakan sektor ekonomi terpaksa ditutup sehingga menyebabkan ada keluarga yang hilang sumber pendapatan. Walau bagaimanapun, jika masyarakat mempunyai literasi kewangan yang tinggi, situasi ini mampu diharungi walaupun dengan penuh kesukaran. Dalam situasi sekarang, keperluan kepada literasi kewangan adalah lebih mendesak kerana masyarakat terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran berkaitan kewangan seperti peningkatan kos sara hidup, pemotongan gaji dan ketiadaan sumber pendapatan secara tetap.
Bantuan yang diperoleh dari kerajaan seperti bantuan Prihatin, kemudahan moratorium dan sebagainya boleh digunakan dengan lebih bijaksana jika individu tersebut memiliki literasi kewangan yang tinggi. Kemudahan dan lebihan tunai itu digunakan untuk menjelaskan hutang-hutang yang lebih kecil, dijadikan simpanan untuk masa hadapan atau pun membuat pelaburan yang bijak seperti membeli emas. Namun demikian, bagi yang tidak memiliki kemahiran tersebut, mereka akan berbelanja sehingga lupa untuk mengukur baju di bahu sendiri dan akhirnya tercari-cari bantuan untuk kelangsungan diri dan keluarga.
Hakikatnya, tujuan kerajaan memberikan bantuan adalah untuk membolehkan masyarakat berbelanja bagi merangsang pertumbuhan ekonomi negara tetapi masyarakat perlu sentiasa beringat kerana bantuan bukan datang berkali-kali. Bahkan, trend pembelian rakyat Malaysia semasa pandemik sebagaimana data yang direkodkan oleh iPrice Group agak membimbangkan. Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia yang juga merupakan pakar kewangan pengguna, Profesor Dr. Mohamad Fazli Sabri menyatakan setiap isi rumah perlu menggunakan konsep P (Postpone), E (Eliminate), R (Reduce) dan K (Keep) semasa menguruskan perbelanjaan terutamanya ketika negara menghadapi situasi genting pada ketika ini. Masyarakat perlu dibekalkan dengan literasi kewangan sejak dari peringkat awal agar lebih bersedia dengan segala kemungkinan pada masa hadapan.
Sudah tiba masanya, literasi kewangan dijadikan subjek wajib kepada para pelajar baik di peringkat sekolah mahupun di IPT. Hal ini demikian kerana masyarakat yang celik kewangan mampu menjadi aset berguna buat negara. Di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat misalnya, ujian literasi ekonomi, The Test of Economic Literacy merupakan ujian tetap bagi para pelajar menengah atas kerana literasi ekonomi dianggap penting untuk individu, isi rumah, firma dan juga negara. Literasi kewangan boleh dijadikan panduan dan kesejahteraan hidup dalam zaman ekonomi yang penuh kompleks dan mencabar pada masa ini. COVID-19 yang melanda negara kita membuka mata banyak pihak betapa pentingnya literasi kewangan agar masyarakat Malaysia mampu menghadapi segala cabaran dan kekangan yang mendatang.