25 Ogos 2024, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tawau – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) dengan kerjasama Institut Pendidikan Tinggi (IPT) terus giat mengatur strategi dan memperkasa asas pembesaran cukai dengan mendekati generasi muda menerusi penganjuran Program HASiL Your Tax Buddy @IPT (HYTB@IPT) yang telah berlangsung di Politeknik Tawau, Sabah, semalam.

Program yang berkonsepkan didik hibur ini disambut meriah dengan penyertaan seramai 100 orang mahasiswa daripada pelbagai fakulti pada peringkat diploma. Program ini merupakan siri jelajah kedua selepas penganjuran di Kedah pada bulan Jun yang lepas.

Majlis Penutupan HYTB@IPT Sabah 2024 ini telah disempurnakan oleh YBrs. Encik Shaharrudy Othman, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi Percukaian) dan turut dihadiri oleh Encik Sahran @Awang Mohidin, Pengarah Poliktenik Tawau, Puan Noraini Mustafa, Pengarah Jabatan Khidmat Korporat dan YBhg. Datin Dayang Halimah Awang Ahmad, Pengarah Operasi Negeri, Seksyen Audit Syarikat dan Selain Syarikat, HASiL Sabah, pegawai- pegawai kanan HASiL serta Politeknik Tawau Sabah.

Sebanyak dua segmen telah dilaksanakan bagi memenuhi pengisian program, iaitu HASiL Pocket Talk dan HASiL Taxplorace. Program ini juga turut mengiktiraf peranan mahasiswa bagi bersama-sama meluaskan kesedaran percukaian dengan melantik dua orang peserta sebagai duta HYTB untuk membantu menyebarkan maklumat percukaian yang diterima daripada HASiL kepada seluruh warga IPT.

Dalam ucapan alu-aluannya, YBrs. Encik Sahran @Awang Mohidin, Pengarah Poliktenik Tawau menyatakan rasa bangga dan terima kasih kepada HASiL kerana telah memilih Politeknik Tawau sebagai destinasi HYTB@IPT Sabah 2024 kali ini.

Saya berharap program seperti ini dapat dimanfaatkan oleh mahasiswa dalam membentuk keyakinan dan sahsiah diri sebagai persediaan ke alam perkerjaan sekali gus membina satu hubungan kerjasama yang padu antara mahasiswa.

Sementara itu, YBrs. Encik Shaharuddy Othman dalam ucapannya berkata, pelaksanaan program ini telah diselaraskan dengan Pelan Tindakan Keusahawanan Institut Pendidikan Tinggi untuk mendukung aspirasi negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi melalui pembentukan ekosistem keusahawanan, akademik, industri, kerajaan dan komuniti dalam landskap pendidikan tinggi negara.

Tambah beliau, proses pembelajaran cukai yang dilalui oleh para peserta dapat membantu dalam meningkatkan kefahaman mahasiswa terhadap perundangan, pengoperasian dan kepentingan cukai di Malaysia.

Selain di Sabah, program yang sama turut dilaksanakan serentak di Sarawak dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia, Kampus Bintulu. Program ini merupakan usaha HASiL memperluas asas cukai serta mendidik masyarakat agar cakna mengenai kepentingan dan tanggungjawab membayar cukai demi pembangunan negara dan kemakmuran rakyat.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.