Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru setiap usahawan menerapkan nilai ikhlas dalam menjalankan urusan perniagaan dan kegiatan jual beli.
Perniagaan akan menjadi satu ibadah jika dilaksanakan berlandaskan syariat dan ajaran Islam. Para peniaga perlu menguruskan perniagaannya dengan penuh kredibiliti yang secara tidak langsung dapat memikat hati pelanggan untuk memilih produk atau perkhidmatan yang disediakan.
Titah Pemangku Raja Perlis lagi, “Peniaga juga wajar telus dalam menentukan harga produk ataupun perkhidmatan yang berbaloi dan memuaskan kepada pelanggan.”
Produk dan perkhidmatan yang baik nescaya akan memikat hati pelanggan untuk kembali semula membeli dan menggunakan produk atau perkhidmatan yang sama berbanding dengan pesaing perniagaan tersebut. Tahap kebersihan juga mesti sentiasa berada pada peringkat yang terbaik pada setiap masa.
Demikian titah ucapan baginda ketika berkenan mencemar duli berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kampung Behor Lateh, Kangar baru-baru ini.

Keberangkatan Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang Dipertua MAIPs turut diiringi oleh ketua jabatan, agensi negeri dan persekutuan bagi mengenal pasti golongan yang memerlukan bantuan dan mencari jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengeluarkan golongan itu daripada masalah kemiskinan.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan daripada MAIPs berupa wang tunai sebanyak RM700, kit MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan harian asnaf.

Asnaf yang terpilih pada edisi kali ini ialah Zaiton Othman, 39 tahun dari Kampung Behor Lateh, Ismak Ali Omar, 72 tahun dari Kampung Behor Mali dan Roslan Che Rose, 46 tahun dari Kampung Utan Ibus.
Pada akhir program, baginda berkenan singgah di Restoran Mee Zdin sebagai tanda sokongan kepada produk pelancongan sempena Tahun Melawat Perlis 2024–2025.