Diterbitkan pada 16 Ogos 2024, 20:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) merupakan satu inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam.

Menurut Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan media, fokus SSPA tertumpu kepada aspek mempertingkatkan produktiviti perkhidmatan awam, menangani pendapatan yang tidak seiring dengan kos sara hidup serta mengukuhkan kemampanan fiskal negara.

SSPA mengandungi roh dan semangat Reformasi Perkhidmatan Awam (Civil Service Reform) bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI.

Tiga ikhtiar bagi mencapai maksud ini adalah meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan meningkatkan daya saing negara.

Melalui SSPA, kerajaan akan melaksanakan penambahbaikan menerusi pengukuhan elemen-elemen perkhidmatan awam, iaitu Pengoptimuman Sumber dan Peningkatan Produktiviti, Pengurusan dan Pembangunan Modal Insan, Pengukuhan Kepimpinan, Pengukuhan Tatakelola dan Pemerkasaan Penyampaian Perkhidmatan.

SSPA dirangka sebagai satu sistem saraan yang berteraskan kepada aspek prestasi dan selaras dengan hasrat untuk memastikan peningkatan produktiviti dalam perkhidmatan awam dan menjaga kesejahteraan pegawai, prinsip pemberian ganjaran berasaskan prestasi dan tatakelakuan diperkenalkan.

Kerajaan telah memulakan kajian terhadap sistem saraan perkhidmatan awam bermula Julai 2023 yang memfokuskan kepada aspek kemampanan saraan, pembangunan organisasi dan pengurusan bakat. Setelah mengambil kira pelbagai faktor, kerajaan bersetuju agar Sistem Saraan Malaysia (SSM) digantikan kepada SSPA berkuat kuasa mulai 1 Disember 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi