Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangGenerasi Z (Gen Z) ditakrifkan sebagai mereka yang lahir antara tahun 1997 hingga 2012. Generasi yang dianggap sebagai digital native, iaitu yang pertama terdedah kepada internet dan media sosial sejak lahir ini, memasuki dunia pekerjaan dengan nilai, keutamaan dan jangkaan yang berbeza berbanding generasi sebelumnya. Bakal merangkumi hampir 30% daripada jumlah tenaga kerja global menjelang tahun 2025, memahami keutamaan kerja mereka adalah penting bagi majikan dan pembuat dasar.
Tinjauan yang dijalankan oleh beberapa institusi seperti Gallup, Deloitte, LinkedIn dan Harvard Business School berupaya menjelaskan perkara yang menjadi keutamaan Gen Z dalam kerjaya mereka. Hasil tinjauan ke atas puluhan ribu pekerja Gen Z dari seluruh dunia menawarkan cerapan berharga untuk majikan yang ingin menarik dan mengekalkan bakat terbaik dalam kalangan generasi ini. Antara dapatan penting berkaitan keutamaan Gen Z adalah fleksibiliti di tempat kerja, kerja yang bermakna dan berimpak sosial, pembangunan professional dan peluang pembangunan diri serta kesejahteraan mental.
Fleksibiliti di Tempat Kerja
Generasi ini menghargai keseimbangan antara kerja dan kehidupan dalam cara dan tempat mereka bekerja. Sebanyak 54% daripada Gen Z mengatakan keseimbangan antara kerja dan kehidupan amat penting bagi mereka. Satu keutamaan yang menonjol dalam kalangan pekerja Gen Z, sebagaimana yang diperoleh daripada penyelidikan Gallup pada tahun 2022, ialah keinginan untuk pengaturan jadual kerja yang fleksibel. Gallup mendapati bahawa 60% daripada mereka mahukan gabungan kerja dalam pejabat dan luar pejabat.
Pilihan kerja di luar pejabat, waktu kerja yang fleksibel dan keupayaan untuk menyeimbangkan kerja dengan tanggungjawab peribadi sangat diutamakan oleh Gen Z. Tinjauan lain menunjukkan bahawa 75% responden Gen Z lebih menyukai fleksibiliti waktu kerja semasa menilai peluang pekerjaan yang ada. Majikan yang menawarkan fleksibiliti waktu bekerja berkemungkinan lebih menarik minat calon Gen Z dan bakal memberikan tahap kepuasan serta produktiviti yang lebih tinggi kepada mereka. Menurut tinjauan, 77% daripada Gen Z yang kini bekerja secara hibrid akan mempertimbangkan untuk mencari pekerjaan baharu sekiranya majikan sedia ada meminta mereka bekerja di pejabat secara sepenuh masa.
Walau bagaimanapun, fleksibiliti kerja di luar pejabat telah membawa kepada budaya kerja ‘sentiasa boleh dicapai’ oleh majikan dan sukar untuk memisahkan kerja dengan kehidupan peribadi. Dalam pada itu, kira-kira tiga perempat individu daripada Gen Z dan milenium mengaitkan tahap tekanan mereka kepada beban kerja dan keseimbangan antara kerja dengan kehidupan.
Kerja yang Bermakna
Gen Z menilai kerja yang bermakna sama penting dengan fleksibiliti di tempat kerja apabila mereka mempertimbangkan sesuatu peluang pekerjaan. Great Place To Work pada tahun 2022 meninjau lebih daripada 500,000 pekerja di Amerika Syarikat untuk memahami kehendak generasi yang berbeza tentang tempat kerja mereka. Menurut dapatan, pekerjaan bermakna memungkinkan individu untuk kekal dengan majikan sedia ada.
Selain itu, kajian Gallup menunjukkan bahawa generasi ini mencari kerja yang sejajar dengan nilai mereka dan sekaligus dapat menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Menurut tinjauan Deloitte pada tahun 2022, 54% daripada Gen Z tidak akan bekerja untuk organisasi yang bertentangan dengan nilai mereka. Tinjauan Harvard menekankan bahawa Gen Z mencari makna dalam kerja mereka, iaitu 84% mengatakan pekerjaan yang bermakna mempunyai kesan dalam mendorong pilihan kerjaya mereka.
Majikan harus menghubungkan tugas harian kepada misi yang memfokus kepada penambahbaikan dalam masyarakat. Gen Z didorong oleh daya tarikan dalam organisasi yang selari dengan nilai mereka. Majikan yang menunjukkan komitmen terhadap kelestarian alam sekitar, keadilan sosial dan pelibatan komuniti misalnya, berkemungkinan besar dapat menarik dan mengekalkan Gen Z di dalam organisasi mereka.
Pembangunan Professional dan Peluang Pembangunan Diri
Walaupun usia mereka masih muda, Gen Z bercita-cita tinggi dan bersemangat untuk maju dalam kerjaya yang diceburi. Tinjauan Gallup mendedahkan bahawa peluang untuk pembelajaran dan pembangunan diri adalah faktor penting untuk generasi ini dalam memilih majikan. Gallup mendapati 87% daripada Gen Z berpandangan bahawa peluang untuk belajar dan memajukan kerjaya merupakan kriteria penting dalam memohon pekerjaan. Mereka mahukan pembangunan kemahiran dan peluang untuk kenaikan pangkat.
Berdasarkan Laporan Kesejahteraan Pekerja LinkedIn, pekerja mengutamakan peluang untuk pembelajaran dan pembangunan dalam kerjaya. Hal ini menunjukkan betapa pentingnya tanggungjawab yang dimainkan oleh pemimpin organisasi dalam meningkatkan penglibatan pekerja Gen Z. Penggalakan budaya pembelajaran yang berterusan bukan sahaja meningkatkan penglibatan pekerja, tetapi juga meningkatkan daya tarikan organisasi kepada profesional muda. Sebanyak 61% responden Gen Z menyatakan keinginan untuk meningkatkan peluang kemajuan dalam kerjaya atau memegang peranan yang lebih besar dan 76% responden mengintai peluang untuk mengasah kemahiran baharu.
Justeru, majikan seharusnya menyediakan hala tuju yang jelas untuk kemajuan kerjaya dan program latihan yang berterusan. Majikan yang melabur dalam program latihan, peluang bimbingan dan laluan kemajuan kerjaya berkemungkinan besar dapat menarik dan mengekalkan pekerja Gen Z yang terbaik di organisasi.
Kesejahteraan Mental
Sebanyak 42% daripada Gen Z sering menghadapi kesukaran untuk mencapai tahap optimum mereka di tempat kerja berbanding dengan Gen Y. Oleh itu, tidak hairan jika Gen Z meletakkan kesihatan mental dan keseimbangan hidup sebagai keutamaan mereka dalam tinjauan Deloitte pada tahun 2023, kerana lebih 52% responden berasa burnout di tempat kerja. Kajian Harvard pada tahun 2021 mendapati bahawa 72% responden Gen Z telah meninggalkan kerja yang memberikan kesan negatif terhadap kesejahteraan mereka. Majikan perlu menggalakkan keseimbangan kerja dan kehidupan secara aktif, menghadkan kerja selepas waktu kerja, dan mengutamakan isu kesihatan mental.
Menawarkan akses kepada perkhidmatan kaunseling, ruang meditasi atau program bimbingan mampu menunjukkan komitmen majikan terhadap kesejahteraan pekerja. Tinjauan Deloitte mendedahkan bahawa kurang daripada separuh Gen Z melaporkan pernah menerima sokongan daripada penyelia mereka untuk menguruskan beban kerja. Sebanyak 28% Gen Z menyatakan bahawa kesihatan mental mereka terjejas disebabkan oleh penyelia. Menurut tinjauan Deloitte pada tahun 2022, 50% daripada Gen Z telah meninggalkan pekerjaan yang memberikan kesan negatif kepada kesejahteraan mereka.
Memahami keutamaan kerja Gen Z adalah penting bagi majikan yang ingin menarik dan mengekalkan bakat dari generasi ini. Majikan yang mengutamakan pengaturan kerja yang fleksibel, kerja yang bermakna, impak sosial, peluang pembangunan profesional dan kesejahteraan berada pada kedudukan yang terbaik untuk menarik dan mengekalkan Gen Z dalam organisasi.
Menurut laporan Global Talent Trend 2024 oleh Mercer, 45% daripada lebih 12,000 responden (terdiri daripada pengamal sumber manusia) berpandangan melabur dalam inisiatif kesejahteraan fizikal dan mental pekerja dapat memandu transformasi dan produktiviti organisasi mereka. Organisasi wajar mewujudkan polisi yang mengandungi fleksibiliti serta keseimbangan kerja dan kehidupan peribadi. Majikan harus mengadakan perbincangan dengan pekerja untuk meneroka pelbagai tafsiran fleksibiliti, merangkumi aspek seperti pengaturan kerja dari luar pejabat dan penstrukturan jadual kerja.
Majikan juga wajar memberikan pekerja autonomi yang lebih besar dalam menentukan kaedah kerja mereka dan menawarkan fleksibiliti yang lebih tinggi mengenai masa dan lokasi kerja mereka. Pembangunan kemahiran juga berkait rapat dengan kemajuan kerjaya dan mobiliti dalaman, lantas mewujudkan laluan kerjaya yang telus dan praktikal untuk pekerja maju dalam organiasi.
Hubungan majikan dan pekerja yang erat melalui komunikasi efektif mampu memberikan maklumat berharga dalam pembangunan kerjaya pekerja. Hubungan ini membantu pekerja meningkatkan pembangunan profesional selaras dengan aspirasi kerjaya.