Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Akta Perniagaan Perkhidmatan Wang (Pindaan) 2024 (MSBA 2024) berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2024 seperti yang dimaklumkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan semalam.
Menurut BNM, pindaan pada MSBA 2024 akan memperkukuh keupayaan BNM untuk melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara berkesan terhadap pengendali haram.
Langkah ini akan bertindak sebagai pencegahan yang mantap terhadap aktiviti tidak dibenarkan yang boleh mendedahkan pelanggan kepada risiko serta menjejaskan integriti industri perniagaan perkhidmatan wang.
Tambah BNM, pindaan tersebut memperuntukkan penjara mandatori untuk tempoh tidak lebih 10 tahun dan denda sekurang-kurangnya RM50,000 bagi pengendali perniagaan perkhidmatan wang yang haram dan penerangan yang lebih jelas berhubung dengan kesalahan bersubahat dengan pengendali haram.
Selain itu, katanya, pindaan juga memperuntukkan takrifan perniagaan kiriman wang dan skop bukti yang lebih jelas untuk digunakan bagi mendakwa pengendali haram; pihak berkuasa melucutkan hak harta pengendali haram apabila didakwa bagi menghalang kesalahan berulang dan tindakan pentadbiran, dan bukan tindakan undang-undang, yang perlu diambil oleh BNM terhadap kesalahan operasi oleh pemegang lesen perniagaan perkhidmatan wang selaras dengan tindakan penguatkuasaan yang lebih setara dengan tahap keseriusan kesalahan.
Jelas BNM,
MSBA diterbitkan untuk pertama kali pada 2011 dengan akta ini mentadbir amalan dan penyeliaan industri perniagaan perkhidmatan wang yang terdiri daripada pengurup wang, pengendali perkhidmatan kiriman wang dan pemborong mata wang.
BNM berkata MSBA telah memainkan peranan utama dalam mempertingkatkan tahap profesionalisme dan piawaian pematuhan industri serta mencegah penyalahgunaan entiti MSB untuk tujuan jenayah.
Untuk maklumat lanjut mengenai MSBA 2024, sila rujuk bnm.gov.my/legislation dan orang ramai boleh melaporkan mana-mana pengendali perniagaan perkhidmatan wang haram melalui pautan bnmlink.bnm.gov.my.