Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangIsu kebolehpasaran graduan sudah lama diperdebatkan dan ternyata masih belum ada penyelesaian tuntas. Umpama lagu ‘Bangau Oh Bangau’, jari dituding ke sana sini menyalahkan antara satu sama lain. Pokok pangkalnya, seharusnya graduan itu sendiri merencanakan masa hadapannya, bak kata pepatah, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih’.
Menurut National Graduate Employability Blueprint 2012-2017, kebolehpasaran bermaksud keupayaan untuk dipasarkan dalam industri, iaitu mempunyai kecekapan bagi mendapat pekerjaan dan mengekalkan pekerjaan yang bersesuaian. Dalam memenuhi kehendak dan tuntutan majikan, kelulusan akademik semata-mata tidak mencukupi bagi graduan untuk memperoleh pekerjaan.
Persediaan rapi oleh graduan semasa di institusi pendidikan tinggi (IPT) memainkan peranan dalam menentukan kebolehpasaran seseorang graduan itu. Dengan menguasai kemahiran kebolehpasaran, graduan akan lebih berdaya saing dan menjadi nilai tambah dalam memenuhi keperluan pasaran kerja. Tambahan pula, statistik kebolehpasaran graduan tahun 2023 oleh Kementerian Pendidikan Tinggi melaporkan sebanyak 324,408 orang graduan keluaran IPT, termasuk TVET dan Institusi Latihan Kemahiran Awam.
Terdapat lapan komponen kemahiran kebolehpasaran, iaitu kemahiran berkomunikasi, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran bekerja dalam kumpulan, kemahiran kepimpinan, kemahiran menggunakan teknologi, kemahiran keusahawanan, kemahiran insaniah dan efikasi kendiri.
Pertama, komunikasi merupakan kebolehan individu berinteraksi dengan orang lain sebagai medium untuk menyampaikan maklumat. Kemahiran komunikasi terdiri daripada kebolehan seseorang untuk membaca, menulis, mendengar, berhujah serta bertukar pendapat sama ada secara lisan dan bukan lisan. Graduan yang memiliki kelebihan ini akan mudah diterima bekerja kerana kebolehan mereka untuk berinteraksi dengan individu lain serta mampu menjelaskan atau menyampaikan sesuatu perkara dengan tepat dan nyata.
Kedua, kebolehan seseorang mengenal pasti dan menganalisis masalah. Keupayaan individu untuk memikirkan strategi yang sesuai untuk menyelesaikan masalah merupakan nilai tambah yang dicari majikan selain daripada pencapaian akademik yang cemerlang.
Ketiga, kebolehan untuk bekerja dalam kumpulan antara elemen yang sangat diperlukan oleh graduan untuk memudahkan mereka mendapat pekerjaan. Kemahiran ini menggabungkan kekuatan dari aspek mental, fizikal dan emosi bagi mencapai matlamat yang sama.
Keempat, ciri kepimpinan juga merupakan salah satu komponen yang perlu ada dalam kemahiran kebolehpasaran graduan. Pemimpin yang berkesan akan berjaya mempengaruhi orang lain untuk bekerjasama dalam mencapai objektif yang diinginkan. Seseorang pemimpin perlulah bijak membuat keputusan dengan tepat dan mendapat sokongan daripada setiap ahli dalam organisasi.
Yang kelima adalah kemahiran teknologi. Dalam era Revolusi Perindustrian 4.0, graduan perlu peka dengan kehendak teknologi masa kini supaya mereka dapat menguasainya, sekali gus kekal kompeten dan berdaya saing dalam dunia pekerjaan. Teknologi akan sentiasa berubah seiring dengan peredaran masa. Sekiranya graduan tidak menguasai teknologi, mereka akan ketinggalan jauh daripada kemajuan.
Seterusnya, kemahiran keusahawanan. Kemahiran ini perlu dipelajari dan dihayati bagi tujuan pembentukan sikap dan minda. Kemahiran keusahawanan ini akan menjadi aset graduan memasarkan diri mereka.
Kemahiran insaniah juga merupakan antara komponen yang terdapat dalam kemahiran kebolehpasaran graduan. Kemahiran ini lebih kepada personaliti yang dimiliki oleh graduan yang menepati kehendak majikan. Contohnya, berintegriti, tepati masa, bertanggungjawab, berdisplin, mudah berinteraksi dengan orang lain dan fleksibel. Kemahiran insaniah akan menjadi pelengkap kepada kemahiran teknikal dalam meningkatkan produktiviti sesebuah organisasi.
Yang terakhir adalah kemahiran efikasi kendiri. Efikasi kendiri merupakan rangkuman identiti peribadi, kemampuan peribadi dan keyakinan diri seseorang. Efikasi kendiri boleh ditakrifkan sebagai kepercayaan, kesedaran dan keyakinan bahawa ilmu dan kemahiran yang dimiliki berupaya memberikan kekuatan dan fleksibiliti dalam menghadapi cabaran alam pekerjaan. Kekuatan ini akan memberikan impak positif kepada prestasi kerja dan seterusnya membantu organisasi meningkatkan produktiviti. Inilah yang menjadi keutamaan majikan.
Penguasaan lapan komponen di atas adalah inisiatif yang boleh dilakukan graduan dalam membantu mereka keluar daripada kemelut ini. Peningkatan graduan setiap tahun menuntut organisasi memilih individu yang berkualiti sahaja sebagai pekerja. Dengan menguasai kemahiran kebolehpasaran, graduan boleh menonjolkan kualiti diri kepada bakal majikan, sekali gus mempengaruhi mereka untuk diambil bekerja.
Seiring dengan perkembangan dunia semasa, kemahiran kebolehpasaran ini perlu dikuasai graduan bagi memastikan mereka tampil lebih bersedia sebelum memasuki alam pekerjaan. Inilah ‘kelengkapan’ yang diperlukan dalam mendepani cabaran untuk mendapatkan pekerjaan selain daripada kelayakan akademik.
Pilihan di tangan masing-masing. Rencanakanlah masa depan dengan kemahiran yang berkaitan. Bagi bakal graduan yang menyedari bahawa kehidupan selepas tamat pengajian ibarat ‘perlumbaan’ yang perlu dimenangi, mereka sudah tentu mengambil peluang untuk memajukan diri.