Diterbitkan pada 31 Julai 2024, 17:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam usaha memperkasa sistem percukaian negara yang menggalakkan ketelusan dan menjadikan penilaian risiko pematuhan lebih tepat, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) menerusi pelaksanaan e-Invois secara rasminya telah melancarkan MyInvois yang akan dilaksanakan mulai 1 Ogos 2024.

Majlis perasmian ini telah disempurnakan oleh YB Puan Lim Hui Ying, Timbalan Menteri Kewangan di Hotel Intercontinental, Kuala Lumpur.

Menerusi inisiatif pendigitalan nasional, e-Invois dilaksanakan secara berperingkat bermula pada 1 Ogos 2024 melibatkan 5,000 buah syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM100 juta.

Fasa Kedua akan bermula pada 1 Januari 2025 merangkumi syarikat yang merekodkan pendapatan atau jualan tahunan melebihi RM25 juta hingga RM100 juta dan seterusnya semua pembayar cukai pada 1 Julai 2025.

Bagi memastikan pelaksanaan e-Invois ini berjalan dengan lancar dan efektif, HASiL telah menyediakan dua mekanisme penghantaran e-Invois melalui Portal MyInvois dan Application Programming Interface (API) untuk kemudahan pengguna. Persekitaran pengujian dan produksi bagi API telah disediakan sejak April 2024 manakala Portal MyInvois pula digunakan mulai Jun 2024. HASiL menerima sambutan yang menggalakkan daripada pengguna atas kedua-dua mekanisme penghantaran e-Invois yang disediakan.

YB Puan Lim Hui Ying menzahirkan ucapan tahniah kepada HASiL atas pelancaran MyInvois yang jelas membuktikan komitmen HASiL bagi memastikan pelaksanaan e-Invois berjalan dengan lancar terutamanya dalam kalangan pembayar cukai Fasa Pertama.

Kementerian Kewangan Malaysia telah mengumumkan bahawa Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan pendapatan atau jualan tahunan di bawah RM150,000 dikecualikan daripada pelaksanaan e-Invois, namun begitu PMKS digalakkan melaksanakan e-Invois secara sukarela.

YB Puan Lim Hui Ying berucap sebelum melancarkan MyInvois.

Sementara itu, YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamalauddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, dalam ucapannya menyeru masyarakat untuk bersama-sama dengan HASiL mengorak langkah membentuk Malaysia baharu yang lebih dinamik, telus dan makmur.

Pelancaran sistem MyInvois ini merupakan satu titik permulaan reformasi percukaian di Malaysia seterusnya memacu negara ke arah inovasi digital yang lebih mampan.

YBhg. Datuk Dr. Abu Tariq Jamalauddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL .

Demi memastikan agenda nasional kerajaan ini direalisasikan, HASiL optimis dan komited dalam memastikan persiapan pelaksanaan e-Invois bagi Fasa Kedua dan Fasa Ketiga yang melibatkan jaringan pembayar cukai yang lebih besar berlangsung dengan sebaik mungkin sekali gus meletakkan platform e-Invois ini kekal sebagai pemacu utama sistem percukaian negara.

Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Anggota-anggota Lembaga LHDNM, pihak berkepentingan dan pemain industri serta barisan pengurusan kanan HASiL.

Sebarang pertanyaan lanjut berhubung pelaksanaan e-Invois boleh disalurkan melalui:

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi