29 Julai 2024, 11:27

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Trend pelarian intelektual atau lebih dikenali dengan istilah ‘brain drain’ di Malaysia semakin meningkat dan membimbangkan. Isu ini sebenarnya tidak boleh dipandang enteng kerana kehilangan tenaga kerja mahir saban tahun boleh merugikan ekonomi negara dalam jangka masa panjang. Walaupun kadar kebolehpasaran graduan di negara kita dilihat semakin meningkat tetapi ramai yang bekerja dengan kadar upah yang tidak standing dengan taraf pendidikan dan kelayakan yang mereka miliki.

Kementerian Sumber Manusia pada Mei lalu telah melancarkan Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan bagi memacu misi strategik 3K, iaitu kebajikan, kemahiran dan keberhasilan bagi mengangkat martabat pekerja di Malaysia. Kerangka dasar ini merupakan panduan bagi mengasilkan satu Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang lengkap menjelang Rancangan Malaysia ke-13. Kerangka dasar yang dilancarkan ini mengandungi tiga teras dengan 11 Strategi, 48 Prakarsa, lima Pemacu Perubahan dan dua Pemangkin Dasar.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong menyatakan dokumen kerangka dasar itu dihasilkan dengan mengambil kira maklum balas pemegang taruh dan orang ramai menerusi sesi libat urus, kumpulan tumpu bincang, dialog awam serta portal kaji selidik dalam talian.

Tambah beliau, kerangka dasar tersebut juga merangkumi isu-isu penting pampasan upah yang lebih lumayan, kesejahteraan pekerjaan, gerakan kesatuan sekerja, perlindungan keselamatan sosial menyeluruh, tenaga kerja golongan rentan seperti wanita, warga emas, dan orang kelainan upaya (OKU). Selain itu, hal ehwal pekerja sektor gig, isu latihan kemahiran, ketidakpadanan pekerjaan, tenaga kerja asing, kesan teknologi kecerdasan buatan (AI) ke atas pasaran kerja dan sebagainya turut diambil kira dalam kerangka dasar ini.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani menyatakan beberapa aspek kebajikan pekerja perlu ditambah baik dalam kerangka berkenaan, selain daripada isu-isu yang perlu ditangani segera. Antaranya termasuklah pampasan upah yang adil kepada pekerja, keselamatan dan kesihatan pekerjaan, kesejahteraan psikososial, pembangunan kebolehkerjaan serta perlindungan hak pekerja.

Dalam usaha untuk memastikan kebajikan pekerja terjaga dan mengurangkan trend penghijrahan golongan cendekiawan ke luar negara, kerajaan perlu terus memastikan permintaan industri dan peluang pekerjaan di Malaysia terhadap mereka yang mahir dan berkemahiran tinggi ini terus meningkat selaras dengan tahap pendidikan tinggi negara pada masa ini.

Hal ini demikian kerana daripada aspek sisi permintaan pekerjaan dan industri, negara kita lebih banyak menggaji pekerja separa mahir dan berkemahiran rendah. Akibatnya, golongan ini memlilih untuk bekerja di luar negara kerana pasaran yang lebih luas dan terbuka di sana. Kebanyakan golongan cendekiawan yang berada di luar negara ini merupakan pelajar yang dihantar belajar ke universiti-universiti di seluruh dunia melalui tajaan pelbagai agensi termasuklah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Namun demikian, mereka memilih untuk terus berkhidmat dan menetap di luar negara sehingga berkeluarga di sana tanpa pulang menabur bakti dan kepakaran mereka di sini. Golongan ini mungkin akan bertambah sebagai penyumbang jumlah golongan cendiakawan yang berkhidmat di luar negara apabila, kerajaan turut bersetuju supaya pelajar tajaan JPA di luar negara boleh dipertimbangkan untuk menangguhkan kepulangan ke Malaysia bagi tujuan bekerja di luar negara pada Februari lalu.

Menurut JPA, keputusan ini dibuat untuk memberikan peluang kepada pelajar tajaan kerajaan menimba pengalaman dan kemahiran pekerjaan di luar negara sebelum mereka pulang berkhidmat di dalam negara. JPA memaklumkan penangguhan itu tertakluk kepada beberapa ketetapan antaranya kebenaran bekerja berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh pelajar tahun akhir di peringkat ijazah pertama dan tidak diberikan secara automatik.

Tuntasnya, Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan ini diharapkan menjadi langkah awal kerajaan dalam memastikan ketidakpadanan pekerjaan yang disediakan oleh industri kepada golongan berkemahiran tinggi negara dapat diatasi agar trend penghijrahan mereka mampu dikurangkan.

Di samping itu, kerajaan juga boleh mencari penyelesaian terbaik bagi membawa pulang golongan cendekiawan di luar negara atau pun setidak-tidaknya bekerjasama dengan mereka dan memanfaatkan kepakaran yang ada dalam diri mereka bagi membangunkan ekonomi negara. Kerangka Dasar Sumber Manusia Kebangsaan yang dilancarkan ini juga diharapkan mampu menjadi asas kukuh kepada Dasar Sumber Manusia negara yang lebih utuh dalam membela dan memperkasa setiap pekerja di Malaysia.

Ihsan Foto: Facebook Kementerian Sumber Manusia

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.