25 Julai 2024, 09:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selari dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0, pendidikan dan pembelajaran merupakan keperluan yang signifikan dalam membangunkan industri edupelancongan. Tambahan pula, pelancongan kini bukan lagi sekadar aktiviti berseronok dan bersantai tetapi menjadi wahana bagi memperkukuhkan pelancongan pendidikan ke arah pembangunan manusia dan personaliti diri.

Edupelancongan dibuktikan semakin relevan dalam menyumbang kepada ekonomi negara, selaras dengan dasar pembelajaran sepanjang hayat nasional. Misalnya, Pelan Induk Malaysia mengenai penghayatan pembelajaran sepanjang hayat dijadikan rangka kerja strategik, memupuk budaya pembelajaran berterusan yang dapat meningkatkan daya saing edupelancongan di peringkat antarabangsa.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT), sebuah universiti penyelidikan berasaskan marin telah mula mencipta nama sebagai penganjur program edupelancongan di Malaysia dalam misi merealisasikan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Malaysia, khususnya SDG 4 dan SDG 8, yang mempromosikan pendidikan berkualiti dan peluang pekerjaan yang baik. Melalui usaha memanfaatkan sumber semula jadi secara efisyen, UMT berjaya mencipta pengalaman pelancongan yang dinamik dengan menjanjikan ekplorasi pembelajaran yang lebih bermakna.

Penjanaan Pendapatan

UMT amat berpengaruh dalam membantu usaha memperkukuhkan hubungan diplomatik dan jaringan ekonomi global dengan negara luar melalui edupelancongan. Sebagai contoh, Malaysia mempunyai lebih 135,000 pelajar antarabangsa dari lebih 160 buah negara, UMT memiliki potensi yang besar dalam menarik lebih ramai pelajar antarabangsa dan menyumbang kepada ekonomi negara (melalui yuran pengajian dan perbelanjaan hidup) dan seterusnya mempereratkan lagi hubungan ekonomi antara Malaysia dan negara asal pelajar tersebut.

Aktiviti pembangunan produk pelancongan baharu, kepelbagaian produk tradisional yang unik seperti produk makanan tempatan dan kraftangan pasti mampu menarik lebih ramai pelancong dan disertai dengan impak penjanaan pendapatan. Menerusi promosi yang lebih agresif, penyediaan kemudahan edupelancongan terbaik dan sokongan polisi seperti Pelan Induk Pendidikan Malaysia (2015-2025), UMT berupaya menggalakkan peningkatan enrolmen pelajar tempatan dan antarabangsa secara konsisten kepada ekonomi negara melalui edupelancongan.

Pembangunan Sumber Manusia dan Peluang Pekerjaan

Edupelancongan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan dalam sektor pendidikan, hospitaliti dan perkhidmatan lain. Industri ini menyumbang kepada pembangunan kepakaran global melalui pemantapan kualiti pendidikan tempatan dan pembangunan sumber manusia yang turut membawa kepada pengukuhan aktiviti pelancongan domestik dan antarabangsa.

UMT banyak melaksanakan program pembangunan dan pemerkasaan produk pelancongan yang membabitkan setiap lapisan komuniti pulau-pulau di Terengganu bagi merancakkan aktiviti ekonomi setempat, termasuk penduduk di Pulau Redang dan Pulau Kapas. Antaranya, penganjuran variasi bengkel pemindahan ilmu melalui skim dana ‘Knowledge and Technology Assimilation Grant Scheme’ di bawah tadbir urus Pusat Pemindahan Ilmu, Jaringan Industri Masyarakat, UMT.

Rentetan itu, tenaga kerja baharu dilengkapkan dengan kemahiran kritikal industri tanpa mengira perbezaan latar belakang sosioekonomi seperti kemahiran pemasaran produk pelancongan serta pendedahan berkaitan platform digital sebagai strategi pemasaran produk yang lebih kompetitif.

Di samping itu, para pengusaha rumah penginapan, pemilik industri kecil dan sederhana turut dilibatkan melalui program penjanaan ekonomi yang menjanjikan pendekatan edupelancongan yang positif dan menggalakkan idea baharu bagi penawaran produk pelancongan berasaskan tarikan sedia ada di kawasan masing-masing.

Dalam jangka panjang, usaha murni ini juga dapat memperkasa belia di Terengganu, sekali gus dapat mengurangkan masalah pengangguran dan jenayah dengan menyediakan peluang pekerjaan dan penjanaan pendapatan kepada mereka, termasuk sebagai jurupandu tempatan serta usahawan bagi perniagaan bersaiz mikro.

Pemerkasaan pembelajaran sepanjang hayat

Aspek pelancongan yang bersifat inovatif sebegini menggabungkan ekspedisi perjalanan dengan pendidikan atau pembelajaran sama ada sebagai tujuan primer atau sekunder mereka. Bukan sekadar program lawatan sekolah, kem percutian atau pertukaran pelajar, aktiviti edupelancongan boleh melibatkan peserta dewasa, rakan sekerja serta sesiapa sahaja yang berminat untuk menimba pengalaman pendidikan sepanjang hayat mereka, termasuklah dengan menerokai budaya dan landskap lawatan yang baharu.

Pada masa kini, edupelancongan bukan sahaja melibatkan sempadan tradisional pelancongan rekreasi, tetapi juga turut mengintegrasikan peluang pembelajaran secara fleksibel, sekali gus menarik minat khalayak yang ingin menambah baik keperibadian secara intelektual. Konsep ini telah mula mendapat perhatian masyarakat di seluruh dunia, terutamanya dalam kalangan institusi pendidikan yang berpotensi menawarkan pelbagai aktiviti pendidikan yang lebih santai dalam menjana pendapatan secara signifikan termasuk UMT.

Promosi Budaya dan Warisan

UMT turut berperanan dalam menyuntik industri edupelancongan dengan elemen budaya dan warisan Malaysia. Penekanan kepada keunikan budaya nilai kemasyarakatan yang tersendiri dan kemahiran tempatan membantu memelihara kraftangan dan pengetahuan tradisional, yang mungkin terancam akibat arus pemodenan.

Selain daripada usaha mengenal pasti beberapa tarikan sedia ada yang berpotensi dijadikan produk pelancongan, UMT turut menawarkan program kebudayaan yang berkait dengan pembelajaran bahasa melalui edupelancongan kepada pelancong dari seluruh dunia. Program ini menyediakan peluang untuk pelancong mempelajari bahasa Melayu dan bahasa Inggeris secara intensif sambil berinteraksi dengan penutur asli dalam persekitaran yang autentik. Aktiviti pembelajaran bahasa ini meliputi kelas formal dan sesi praktikal seperti berkomunikasi dengan penduduk tempatan di pasar atau menyertai aktiviti kebudayaan.

Pendekatan pembelajaran bahasa yang menyeluruh ini memberikan peluang kepada pesertanya untuk berinteraksi dengan komuniti tempatan, belajar tentang sejarah dan adat resam serta menyertai amalan tradisional sesuatu kawasan. Dengan mempelajari bahasa melalui pengalaman praktikal dan holistik sebegini, mereka dapat mengaplikasikan apa-apa yang dipelajari dalam situasi sebenar, menjadikan proses pembelajaran adalah lebih efektif dan bermakna.

Sebagai hasilnya, hubungan simbiotik antara pelancongan dan pembangunan warisan tempatan sebegini menekankan potensi edupelancongan untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan melalui kewujudan pakej-pakej baharu yang boleh ditawarkan melalui kerjasama pintar bersama agensi pelancongan, kerajaan negeri dan persekutuan serta promosi pakej menerusi media elektronik media cetak dan media sosial dalam skala yang besar. Impaknya, aktiviti perusahaan pelancongan dalam kalangan komuniti pengusaha produk pelancongan akan semakin rancak, seiring dengan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 di bawah strategi transformasi pekerjaan bagi pembangunan ekonomi dan industri.

Daya Tarikan Pelaburan Asing dan Kerjasama Pintar

Edupelancongan meningkatkan daya tarikan Terengganu sebagai destinasi pelaburan asing. Menurut laporan Bank Dunia, pelaburan asing dalam sektor pendidikan sentiasa meningkat dari tahun ke tahun. Misalnya, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melaporkan jumlah pelaburan asing yang bernilai RM2.4 bilion di Terengganu telah diterima setakat Mac 2024 dan bakal menyumbang kepada lebih 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Oleh itu, dalam memastikan kejayaan edupelancongan berupaya menarik lebih banyak pelaburan asing ke Terengganu, UMT perlu bersinergi dengan pelbagai pihak melalui pelbagai inisiatif promosi edupelancongan seperti media kapsul pelancongan dan temu bual di rancangan televisyen serta radio, majalah, dan akhbar.

Lawatan Familiarisasi atau Fam Trip harus diperbanyakkan bagi menggalakkan penyertaan media, agensi pelancongan tempatan dan entiti pasaran global. Pensyarah, profesor dan penyelidik terkenal perlu dilibatkan dalam promosi bersama melalui media sosial bagi menarik generasi milenium kepada produk edupelancongan yang baharu diperkenalkan. Bukan itu sahaja, sesi libat urus edupelancongan harus mengutamakan penglibatan pihak industri, pemegang taruh, dan agensi kerajaan untuk memperkukuhkan hubungan dan kerjasama.

Kerjasama strategik dengan syarikat korporat yang berpengaruh juga wajar dimanfaatkan untuk mendapatkan liputan meluas melalui pengikut setia produk mereka. Pemasaran dalam talian dan luar talian harus sentiasa ditambah baik melalui platform media cetak seperti surat khabar dan majalah, serta media elektronik seperti blog, Instagram, X, dan TikTok dengan sokongan pemain media sosial tempatan bagi memperluaskan jaringan promosi.

Peningkatan Inovasi dan Penyelidikan

Edupelancongan menggalakkan kerjasama dalam penyelidikan dan inovasi, misalnya apabila Malaysia menerima beberapa bilion dalam bentuk geran penyelidikan antarabangsa pada setiap tahun, profil akademik negara dan jaringan dengan institusi-institusi pendidikan terkemuka semakin kukuh. Program edupelancongan UMT merupakan inisiatif yang menyediakan pengalaman unik penyelidikan kepada pelancong dalam menghayati keistimewaan alam semula jadi Terengganu.

Hal ini demikian kerana Terengganu adalah destinasi pelancongan marin yang popular dengan pantai yang indah, air yang jernih dan ekosistem dasar laut yang menarik seperti Pulau Bidong, Pulau Redang dan Pulau Kapas. Antara inisiatif penyelidikan UMT yang boleh diketengahkan adalah Turtle Lab dan Program Sukarelawan SEATRU, Program Kraftangan Kercut Beting Lintang di bawah projek Mek Flora Setiu, Bengkel Pemuliharaan Terumbu Karang, Dive Heart Special Ability Diver serta pelbagai lagi program di bawah seliaan penyelidik UMT. Para pelancong juga berpeluang untuk menyertai eksplorasi penyelidikan dan inovasi apabila melawat ke Stesen Penyelidikan Alami UMT di Pulau Bidong, Chagar Hutang Pulau Redang, Tasik Kenyir dan Tanah Bencah Setiu.

UMT semakin diiktiraf peranannya sebagai penganjur edupelancongan yang unggul apabila berjaya meraih pengiktirafan sebagai universiti pertama yang mendapat anugerah Diveheart Adaptive Diver Buddy. Program berkenaan tidak hanya mempromosikan kelestarian alam tetapi juga meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan memelihara alam sekitar dengan menyebarkan dapatan penyelidikan yang relevan, termasuk penyelidikan penyu, belangkas, ketam lumpur, dan kuda laut.

UMT turut menawarkan khidmat kepakaran kepada Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia serta pelbagai program akademik yang bertumpu kepada sains alam sekitar, kelestarian, dan pemuliharaan, termasuk bengkel, seminar, dan ceramah. Program ini melibatkan penglibatan komuniti tempatan, pelbagai agensi dan industri ke arah pelaksanaan amalan lestari yang praktikal bagi pemuliharaan alam.

Diversifikasi Ekonomi

Edupelancongan membantu dalam pelbagaian ekonomi negara. Sebagai contoh, sektor pendidikan menyumbang lebih 5% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, mengurangkan kebergantungan kepada sektor tradisional seperti pertanian dan perindustrian. Salah satu aspek yang paling menarik bagi edupelancongan yang dianjurkan oleh UMT adalah peluang untuk menghayati gaya hidup tempatan yang lebih diversifikasi melalui penyertaan aktiviti-aktiviti tradisional yang autentik. Sebagai contoh, mereka berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman inovasi akuaponik yang melibatkan penternakan ikan tilapia, udang kara air tawar dan sayur-sayuran secara langsung.

Terkini, keunikan projek kolaborasi UMT- KRT Kg. Telaga Batin mula mendapat tempat di hati pengunjung Terengganu, terutamanya pendedahan kepada proses penghasilan produk ikan pekasam, udang kara air tawar dan kerepek yang berpotensi untuk dikomersialkan dan seterusnya membantu menambah pendapatan warga KRT Kg. Telaga Batin. Pendekatan ini memberikan pengalaman yang lebih kaya dan autentik berbanding pelancongan konvensional.

Selain itu, aktiviti pakej lawatan berpandu, aktiviti berbasikal sekitar kawasan kampung, aktiviti mendaki bukit serta eksplorasi paya bakau bukan sahaja meningkatkan pengalaman pelancongan tetapi juga mempromosikan amalan pelancongan lestari. Melalui pengalaman langsung ini, peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan tentang kelestarian alam semula jadi dalam kehidupan seharian mereka, menyumbang kepada usaha pemeliharaan yang lebih luas di peringkat tempatan dan global. Dengan menawarkan pengalaman unik tersebut, UMT bukan sahaja berupaya menarik lebih ramai pelancong tetapi juga mampu menyumbang kepada misi pemeliharaan dan promosi warisan alam dan budayanya. Malah, ia boleh meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar dan strategi memanfaatkannya secara berhemah.

Pada hakikatnya, kejayaan edupelancongan yang dianjurkan oleh UMT pasti tidak akan terlepas daripada cabaran dan kekangan. Justeru, keperluan untuk mengimbangi kemasukan pelancong dengan pemeliharaan warisan budaya dan alam sekitar tempatan adalah amat penting.

Oleh itu, adalah penting bagi pihak pemegang taruh untuk melaksanakan strategi yang memastikan pertumbuhan mampan, seperti mempromosikan amalan mesra alam dan mengekalkan integriti warisan budaya. Usaha penilaian dan penyesuaian berterusan program edupelancongan perlu dijadikan solusi utama dalam menangani cabaran ini dan mengekalkan kejayaan jangka panjang.

UMT pasti berupaya menjadi pemangkin dalam melakar lebih banyak inisiatif edupelancongan bagi menjana ekonomi di Terengganu dengan menekankan kepada peripentingnya penghayatan alam, budaya warisan, amalan lestari dan pembangunan ekonomi secara inklusif.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.