Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada penghujung bulan Jun yang lalu, kerajaan Malaysia telah mengumumkan rancangan untuk menyertai kesatuan ekonomi yang dinamakan BRICS. BRICS ialah singkatan nama bagi negara yang menubuhkan gabungan berkenaan, iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan. Nama asal kesatuan ini ialah BRIC dan diperkenalkan oleh seorang pakar ekonomi bernama Jim O’Neill dari firma perbankan pelaburan, Goldman Sachs pada tahun 2001 untuk menarik perhatian dunia kepada potensi negara tersebut untuk berkembang dengan cepat.
Rusia berminat dengan konsep gabungan negara ini kerana kesatuan ini boleh menjadi satu gabungan yang mampu mencabar dominasi negara barat dalam ekonomi dunia, khususnya dominasi Amerika Syarikat. Lantas Rusia telah memulakan inisiatif untuk mewujudkan gabungan negara ini dan wujudlah satu gabungan tidak formal bernama BRIC pada tahun 2009. Pada akhir tahun 2010, Afrika Selatan membuat keputusan untuk menyertai gabungan ini menyebabkan huruf “S” telah ditambah kepada singkatan nama bagi gabungan awal dan terbentuklah BRICS.
Pada 22 hingga 24 Ogos 2023, pemimpin negara BRICS telah mengadakan sidang kemuncak di Johannesberg, Afrika Selatan untuk membincangkan kaedah untuk mengukuhkan lagi gabungan. Mereka bersetuju untuk meluaskan lagi keanggotaan BRICS dengan menjemput Arab Saudi, Iran, Ethiopia, Mesir, Argentina dan Emiriah Arab Bersatu untuk menjadi ahli. Beberapa buah negara lain juga telah menyatakan minat untuk menyertai gabungan ini. Antaranya termasuklah Algeria, Bolivia, Indonesia, Cuba, Democratic Republic of Congo, Comoros, Gabon, dan Kazakhstan.
Ada yang berpendapat bahawa potensi BRICS adalah sangat cerah kerana saiz populasi negara anggota adalah amat besar, iaitu lebih 40 peratus daripada penduduk dunia. Sementara itu, saiz ekonomi negara anggota juga adalah lebih kurang 25 peratus daripada saiz ekonomi dunia. Namun, angka ini merupakan andaian yang tidak mempunyai asas yang kuat. Bukti yang paling kukuh bahawa saiz gabungan negara tidak mencerminkan potensi ekonomi yang signifikan ialah APEC, iaitu Asia Pacific Economic Cooperation. Gabungan ini mempunyai keahlian sebanyak 21 buah negara dengan jumlah penduduk seramai 2.95 bilion. Berdasarkan saiz ekonomi negara APEC, jumlahnya adalah lebih kurang 62 peratus daripada saiz ekonomi dunia dan 48 peratus daripada jumlah perdagangan dunia. Namun, sehingga hari ini APEC tidak menunjukkan apa-apa kesan signifikan dalam aspek ekonomi bagi negara ahli walaupun keahliannya jauh lebih hebat kerana gabungannya termasuk Amerika Syarikat, Rusia dan China.
Perbezaan antara BRICS dengan APEC ialah semangat dalam kalangan ahlinya dengan mereka merasakan bahawa gabungan ini penting untuk menentang hegemoni Amerika Syarikat dan negara Barat. Semangat ini berpunca daripada perasaan bahawa aturan ekonomi dunia sekarang ini adalah berpihak kepada negara barat dan menzalimi negara “Global South”. Mereka merasakan bahawa BRICS adalah satu-satunya jalan untuk menentang kezaliman yang sedang dilakukan oleh negara barat terhadap negara lain.
Namun, analisis mereka sebenarnya adalah tidak tepat. Hakikat yang gagal disedari oleh banyak pihak ialah kezaliman turut berlaku di negara barat termasuk di Amerika Syarikat. Banyak penduduk di Amerika Syarikat dan Eropah Barat juga dalam keadaan sengsara akibat daripada masalah kemiskinan yang teruk. Sebagai contoh, kadar kemiskinan di Amerika Syarikat pada tahun 2024 ialah 11.5 peratus dengan 37.9 juta daripada penduduknya adalah tergolong dalam golongan miskin. Di United Kingdom pula, kadar kemiskinan pada tahun 2024 ialah 18 peratus. Kadar ini adalah jauh lebih tinggi berbanding dengan kadar kemiskinan di Malaysia pada tahun 2022, iaitu 6.2 peratus.
Menurut laporan oleh Jabatan Perumahan dan Pembangunan Bandar Amerika Syarikat, pada Januari 2023 jumlah rakyat Amerika yang menjadi gelandangan adalah seramai 653,100 orang. Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 12 peratus atau tambahan sebanyak 70,650 orang berbanding dengan tahun sebelumnya. Jumlah gelandangan di United Kingdom pula adalah seramai 271,000 orang dengan 123,000 daripadanya ialah kanak-kanak. Satu laporan menyatakan bahawa satu daripada 208 orang di England tidak mempunyai tempat tinggal. Dalam erti kata lain, keadaan kehidupan rakyat di negara barat juga sangat teruk atau lebih teruk berbanding di negara anggota BRICS.
Punca utama penderitaan masyarakat di Amerika Syarikat dan negara barat lain adalah kerana sistem ekonomi berasaskan hutang yang didorong oleh pinjaman yang diberikan oleh bank komersial, yang menghasilkan wang baharu setiap kali pinjaman diberikan kepada pelanggan bank. Seperti yang dijelaskan oleh Bank of England sendiri pada tahun 2014 dalam salah satu buletin suku tahunannya, wang baharu dicipta apabila bank mengeluarkan pinjaman yang kemudiannya direkodkan sebagai deposit dalam rekod perakaunan bank. Buletin tersebut menjelaskan bahawa sumber pinjaman oleh bank bukannya wang daripada deposit yang dimasukkan oleh pelanggan bank, namun sebaliknya deposit dicipta apabila bank memberikan pinjaman kepada pelanggan bank. Dalam erti kata lain, sebenarnya pinjaman oleh bank ialah aktiviti yang bertanggungjawab untuk mencipta deposit dalam rekod perakaunan bank. Kaedah ini menjadikan amat mudah bagi bank untuk memberikan pinjaman kepada pelanggan kerana bank tidak perlu menunggu adanya deposit yang mencukupi untuk memberikan pinjaman.
Akibatnya, jumlah wang yang besar dicipta setiap hari apabila bank memberikan pinjaman kepada semua sektor dalam ekonomi; iaitu sama ada kerajaan, korporat dan isi rumah. Kewujudan wang dalam jumlah yang besar dalam sistem ekonomi pada masa yang sama akan mengurangkan nilai mata wang tersebut dalam jangka panjang dan dengan itu mengurangkan kuasa beli. Keadaan inilah yang dikenali sebagai inflasi.
Sudah tentu jumlah hutang yang besar dalam semua sektor ekonomi akan menjadi beban kewangan yang saling berkait kesannya kepada sektor tersebut. Keadaan yang terhasil inilah yang memaksa majikan, sama ada daripada sektor kerajaan atau swasta mencari jalan dan cara untuk mengurangkan kos. Majikan akan keberatan untuk mengambil pekerja baharu melainkan pekerja tersebut benar-benar dapat membuktikan bahawa mereka boleh menambahkan nilai dan keuntungan kepada organisasi. Majikan juga akan sangat keberatan untuk menaikkan gaji kakitangan. Apabila harga barangan dan perkhidmatan meningkat sedangkan gaji dan upah tidak berubah, masalah kos sara hidup yang serius akan berlaku. Hal inilah yang menjadi punca utama kadar kemiskinan sangat tinggi di Amerika Syarikat dan Eropah Barat. Masalah kos sara hidup ini yang menyebabkan penderitaan dalam kalangan anggota masyarakat terutamanya di peringkat golongan yang lemah dan miskin. Akibatnya, berlakulah ketidakadilan seperti penindasan dalam kalangan masyarakat bawahan di Barat.
Memandangkan semua negara anggota BRICS mengamalkan sistem yang sama, mereka kini sedang mengalami masalah kos sara hidup. Semakin maju sektor kewangan mereka, semakin serius masalah kos sara hidup. Jika pertumbuhan hutang didorong oleh kegiatan spekulasi, keadaan akan menjadi lebih buruk kerana akan membawa kepada situasi “asset bubble” yang lambat laun akan disusuli oleh krisis kewangan seperti yang berlaku di negara Asia Tenggara pada tahun 1997 hingga 2000.
Ada yang menyatakan bahawa BRICS akan membantu proses “de-dollarisation” atau pengurangan penggunaan mata wang dolar Amerika dalam perniagaan antara ahli BRICS sekali gus melemahkan kuasa Amerika Syarikat. Walaupun ada kemungkinannya, namun perkara ini tidak akan berlaku dalam masa terdekat kerana banyak negara BRICS seperti Brazil dan Afrika Selatan masih bergantung kepada mata wang dolar dalam perdagangan antarabangsa. Tambahan lagi, Arab Saudi yang dijemput menjadi ahli baru-baru ini telah menerbitkan bon dalam mata wang Dolar yang dijangka berjumlah 12 bilion. Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu juga masih menambat mata wang mereka kepada Dolar Amerika.
Setakat ini tidak ada seorang pun pemimpin negara BRICS yang sedar punca sebenar masalah ekonomi di Amerika dan negara Eropah dan disebabkan itu mereka tidak mengambil iktibar daripada apa-apa yang berlaku di Barat. Sistem kewangan dan ekonomi mereka tidak berbeza dengan sistem ekonomi di Barat dan akibatnya mereka juga mengalami krisis ekonomi dari masa ke masa. Selain itu, sebahagian daripada mereka juga meminjam wang dari luar negara untuk membiayai pertumbuhan ekonomi mereka.
Realitinya keadaan sekarang ialah kes golongan berkuasa menindas golongan miskin dan orang lemah di mana-mana. Kuasa kini milik elit politik dan kewangan. Mereka ini wujud di Barat dan juga dalam kalangan negara anggota BRICS. Mereka bertanggungjawab untuk mencipta dan mengekalkan sistem kewangan yang membantu mereka menjadi bertambah kaya dan berkuasa sementara jutaan rakyat lain kekal miskin dan lemah.
Penyelesaian kepada masalah ekonomi negara bukanlah dengan menganggotai BRICS tetapi adalah dengan merombak sistem ekonomi dan kewangan supaya tidak lagi bergantung kepada industri hutang atau riba. Selagi industri ini terus berkembang, masalah ekonomi tidak akan dapat diselesaikan bahkan akan menjadi lebih teruk.