Diterbitkan pada 22 Julai 2024, 13:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Semporna – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah melancarkan Operasi Pematuhan Khas “Ops Bayu” bagi menangani isu ketidakpatuhan cukai serta menyokong usaha kerajaan memperkukuh asas fiskal dan membawa ekonomi negara ke landasan yang lebih baik.

Operasi empat hari bermula 16 hingga 19 Julai 2024 di daerah Semporna, Sabah yang disertai oleh 45 orang pegawai HASiL Sabah dan Jabatan Perisikan dan Profiling ini merupakan kesinambungan daripada Ops Zapin peringkat negeri Johor yang telah dilaksanakan pada 2 Julai 2024 yang lalu.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Azrul Hisham Shamsudin, Pengarah HASiL Sabah. Dalam ucapan perasmiannya, beliau optimis bahawa operasi ini dapat memperluaskan jaringan cukai dan pengumpulan maklumat bagi memastikan semua zon ekonomi termasuk kawasan terpencil telah direkodkan dalam data HASiL khususnya bagi negeri Sabah.

Operasi seumpama ini akan terus dipergiat agar tahap pematuhan cukai di kawasan tumpuan pelancong ini dapat ditingkatkan sekali gus mengurangkan ketirisan cukai.

Menurut beliau lagi, pelaksanaan operasi ini diharap mencapai objektifnya dalam menyokong agenda pembesaran asas cukai serta meningkatkan kadar pematuhan dalam kalangan masyarakat ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan sepertimana digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat atau mempunyai pertanyaan mengenai percukaian, boleh menghubungi HASiL menerusi Pusat Panggilan di talian 03-8911 1000/ 603-8911 1000 (luar negara), HASiL Live Chat, atau Borang Maklum Balas Pelanggan di pautan ini.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi