Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPada 29 April 2019, Presiden Joko Widodo atau lebih terkenal dengan panggilan Jokowi, Presiden Indonesia yang ketujuh, mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa kerajaan Indonesia mempunyai perancangan untuk memindahkan ibu negara Indonesia, iaitu Jakarta ke Kalimatan Utara. Sehubungan dengan itu, 18 Januari 2022 merupakan hari yang bersejarah buat warganegara Indonesia kerana pembentukan Ibu Kota Nusantara (IKN) yang sebelum ini diusulkan telah bertukar menjadi peraturan negara yang disahkan oleh Presiden Jokowi. Dewan Perwakilan Rakyat Republik Indonesia (DPR RI) meluluskan Undang-undang Ibu Kota Negara (UU IKN) yang menjadi punca kuasa mandatori bagi perlaksanaan proses pemindahan ibu kota Indonesia.
Oleh yang demikian, Indonesia akan mempunyai IKN baharu bagi menggantikan Jakarta ke wilayah Kalimantan Timur yang berkeluasan 56,180 hektar yang memerlukan perbelanjaan projek bernilai 489 trilion rupiah (RM192.16 bilion). Pelan pembangunan IKN mengambil masa selama lima tahun bermula dari tahun 2020 hingga tahun 2024 dan akan diteruskan kepada pelan jangka panjang. Indonesia meneruskan perancangan untuk memindahkan ibu negara ke wilayah Kalimantan Timur selepas beberapa kali rancangan tersebut tergendala kerana kemunculan pandemik COVID-19.
Pemindahan ibu negara bukan perkara yang luar daripada kebiasaan. Indonesia merupakan negara ketiga di Asia Tenggara yang berbuat demikian selepas Malaysia. Malaysia mengekalkan Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan memindahkan pusat pentadbiran negara ke Putrajaya pada tahun 2023. Selain itu, Myammar memindahkan ibu negara ke Naypyidaw pada tahun 2006 dan negara di luar Asia seperti Australia juga memindahkan ibu negara dari Melbourne ke Canberra pada tahun 1927, diikuti oleh ibu negara Turki yang berpindah dari Istanbul ke Ankara pada tahun 1923, Brazil dari Rio de Janeiro ke Brasilia pada tahun 1960 dan ibu negara Pakistan dari Karachi ke Islamabad pada tahun 1967.
Meneroka sejarah Indonesia, perpindahan ibu kota Indonesia bukan perkara baharu. Sejak Indonesia mencapai kemerdekaan pada 17 Ogos 1945, Jakarta secara automatik menjadi ibu negara Indonesia di bawah pimpinan Presiden Soekarno dan Timbalan Presiden, Mohammad Hatta. Pada 4 Januari 1946, Netherlands Indies Civil Administration (NICA), iaitu kolonial Belanda berjaya menawan Jakarta sehingga memaksa pemimpin Indonesia pada ketika itu untuk memindahkan ibu kota negara ke Yogyakarta. Kemudian, pada 19 Disember 1948, Yogyakarta pula diserang oleh Belanda, dan Presiden Soekarno dan Timbalan Presiden, Mohammad Hatta telah ditangkap dan dibuang ke Pulau Bangka. Maka itu, Sjafrudin Prawiranegara mendapat mandat membentuk Pemerintahan Darurat Republik Indonesia (PDRI).
Pada 6 Julai 1949, Presiden Soekarno dan Timbalan Presiden, Mohammad Hatta telah dibebaskan daripada pengasingan ke Yongyakarta, dan secara rasminya, Sjafrudin Prawiranegara mengembalikan mandat pemerintahan negara dan membubarkan PDRI pada 13 Julai 1949. Pada 27 Disember 1949, Republik Indonesia Serikat (RIS) telah dibentuk dan menjadikan Yogyakarta sebagai ibu kota negara itu. Pada 17 Ogos 1950, Jakarta menjadi ibu negara republik ini secara ‘de facto’ dan juga merupakan pusat pentadbiran, perniagaan, ekonomi dan pembangunan di Indonesia.
Tidak dapat dinafikan, pemindahan ibu negara Indonesia merupakan idea cetusan Presiden Pertama Indonesia, iaitu Presiden Soekarno pada 17 Julai 1957 yang memilih Palangkaraya sebagai ibu kota baharu. Selain itu, Presiden Soeharto, iaitu presiden kedua Indonesia mencadangkan Jonggol di Bogor, Jawa Barat sebagai ibu kota bagi menggantikan Jakarta. Presiden Sukarno mendambakan sebuah ibu negara baharu yang bebas daripada pengaruh Belanda dan beliau melihat Palangkaraya di Kalteng (Kalimantan Tengah) sebagai wilayah untuk IKN. Walau bagaimanapun, disebabkan terlalu banyak pergolakan yang berlaku antara tahun 1957 hingga tahun 1958, Presiden Sukarno terpaksa menangguhkan perancangan tersebut. Kini, gagasan untuk mendirikan ibu negara di Kalimantan telah direalisasikan oleh Presiden Jokowi.
Pemindahan ibu negara republik itu dipengaruhi banyak faktor, antaranya, pertama, kepadatan populasi penduduk di Jakarta. Sekiranya dibahagi jumlah penduduk Jakarta sebanyak 10 juta orang dengan keluasannya 661.5 kilometer persegi (km2), maka kepadatan penduduk adalah sebanyak 15,000 orang per kilometer persegi berbanding dengan penduduk di Kuala Lumpur sebanyak 7,000 orang per kilometer persegi. Tujuh dari 10 buah bandar Indonesia yang mempunyai paling ramai penduduk berada di Jawa, iaitu di Jakarta, Surabaya, Bandung, Bekasi, Depok, Semarang, Tangerang.
Empat daripadanya ialah sebahagian “Jabodetabek” (Jakarta, Bogor, Depok, Tangerang, Bekasi) atau dipanggil “Jakarta Raya”. Pada hakikatnya, Jawa senterisme telah meminggirkan sebahagian wilayah Indonesia yang lain dan kini tiba masanya untuk mengalihkan pusat graviti ekonomi keluar dari Jakarta dan Jawa. Apabila berlaku kepadatan penduduk, maka masalah seperti pencemaran udara, kesesakan trafik dan penurunan kualiti hidup berlaku.
Faktor kedua ialah ketidakseimbangan ekonomi antara wilayah di Indonesia. Menurut Presiden Jokowi, penempatan ibu negara di Kalimantan membantu mengembangkan ekonomi di luar Pulau Jawa yang paling tinggi populasinya, selain merapatkan jurang ekonomi. Oleh sebab Jakarta berada di kepulauan Jawa, maka pembangunan negara cenderung berpusat di wilayah Jawa. Kesannya, rakyat Indonesia bermigrasi ke Jawa dan menetap di Jawa sehingga wilayah Jawa hanya memiliki sebanyak 7 peratus daripada luas keseluruhan Indonesia. Pada masa yang sama, Pulau Jawa terpaksa menampung sebanyak 58 peratus populasi jumlah penduduk Indonesia dan populasi ini juga yang menyumbangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Indonesia.
Berbanding dengan demografi Kalimantan yang didiami oleh 26% orang Banjar, 22% orang Dayak, 18% orang Jawa, 12% orang Melayu dan 7% orang Bugis yang boleh dijadikan model identiti kebangsaan Indonesia yang baharu bagi menggantikan model berpusatkan Jawa selama tujuh dekad yang lalu. Setelah perbandingan dibuat, Kalimantan ialah wilayah yang paling sesuai untuk mengurangkan kepadatan penduduk kerana kepadatan penduduk Kalimantan ialah 25 orang per kilometer persegi (14 juta orang ÷ 544,150 km2), jauh lebih rendah daripada kepadatan Sumatera (107 orang) dan Sulawesi (96 orang). Pulau-pulau di Nusa Tenggara dan Maluku pula berada di kawasan pinggiran yang tidak sesuai dijadikan ibu negara.
Faktor ketiga ialah isu krisis air bersih di Jakarta. Menurut Koordinator Komunikasi Kesihatan dan Kebersihan Program Perkhidmatan Alam Sekitar USAID, Nona Utomo, Bandung, sebanyak 100,000 kanak-kanak di bawah umur lima tahun di Indonesia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit cirit-birit. Kadar kematian kanak-kanak di bawah lima tahun akibat cirit-birit di wilayah Jawa Barat jauh lebih tinggi daripada data angka negara, iaitu kadar kematian bawah lima tahun ialah 43 orang setiap 1000 kelahiran hidup.
Hal ini disebabkan oleh persekitaran sungai yang tercemar dan kotor kerana ramai penduduk di Jawa Barat menggunakan air sungai untuk keperluan isi rumah seperti minum, membasuh dan memasak. Malangnya, sungai yang kotor ini terdapat pencemaran bakteria e-coli yang boleh menjejaskan kesihatan tubuh manusia. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil langkah dalam memberikan pendidikan dan menambah baik pengetahuan masyarakat dalam menggunakan air yang tidak dirawat dan betapa pentingnya pengambilan air yang bersih untuk kesihatan.
Faktor keempat ialah Jakarta mempunyai ancaman bencana alam. Kajian menyatakan Jakarta ditenggelami air laut dengan dua per lima dari kawasan itu berada di bawah paras laut dan sebahagiannya telah mendap pada kadar 20 sentimeter (cm) setahun. Kenaikan paras laut meningkat akibat fenomena pemanasan global yang menyebabkan ais dan glasier di kutub utara dan selatan cair. Akibatnya, Jakarta Utara semakin tenggelam 2.5 meter pada 10 tahun yang lepas dan diramalkan Jakarta Utara akan tenggelam sebelum tahun 2050.
Oleh itu, Kalimantan mempunyai kelebihan, iaitu kedudukannya berada di luar lingkungan gempa bumi dan gunung berapi serta bebas bencana dalam pelan jangka masa panjang. Oleh sebab itu, Kalimantan selayaknya dijadikan ibu negara berdasarkan gelaran yang diberikan oleh Presiden Jokowi kepada Kalimantan, ibu kota kepada Indonesia yang “hidup selama-lamanya”.
Pada masa akan datang, diramalkan Indonesia akan menjadi salah sebuah kuasa besar dunia dalam masa terdekat, seiring dengan Amerika Syarikat, China dan India. Jumlah penduduk Indonesia sebanyak 260 juta orang dengan KDNK tahunan negara itu sebanyak US$1 trilion, menjadikan negara tersebut mempunyai kelebihan tersendiri bagi memajukan ekonomi negara melalui sektor seperti digital, perniagaan, keusahawanan dan perdagangan.
Indonesia juga menyusun strategi melalui Rencana Pembangunan Jangka Menengah Nasional (RPJMN) Republik Indonesia 2020-2024 yang memberikan tumpuan terhadap industri Revolusi 4.0 terutamanya dalam sektor makanan, tekstil, automotif, barangan elektrik dan farmaseutikal. Menurut Pusat Statistik Indonesia, pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga tahun 2023 kekal bertahan sebanyak 4.94 peratus, walau berkembang lebih perlahan berbanding dengan suku tahun sebelumnya yang mencapai 5.17 peratus. Kejayaan tersebut perlu diteruskan kerana membentuk hala tuju ekonomi Indonesia dan meletakkan Indonesia sejajar dengan pengaruh besar lain seperti Amerika Syarikat dan China.
Sehubungan dengan itu, Malaysia mengambil berat mengenai perkembangan yang berlaku di negara-negara sekitarnya. Mengenai Indonesia yang memindahkan ibu negara ke Kalimantan, manfaat dapat diraih oleh Sabah dan Sarawak khususnya, serta Malaysia amnya, dari aspek hubungan strategik antara dua negara dan dari aspek menikmati pembangunan antara Malaysia dengan Indonesia. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Malaysia menubuhkan pasukan petugas bersama bagi merancang dan memantau pembangunan sempadan Sabah dan Sarawak selaras dengan rancangan Indonesia untuk memindahkan ibu negaranya ke Kalimantan. Pasukan petugas itu ditubuhkan bersama-sama pihaknya, iaitu Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) dan Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).
Selain itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam temu bual khas dengan BERNAMA menyatakan susulan pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan Timur, maka perancangan dalam pembangunan sempadan yang akan diberi tumpuan ialah penambahbaikan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di sepanjang sempadan utama antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan. Pembangunan bandar-bandar di sempadan Kalimantan, Sabah dan Sarawak turut dipercepat untuk menaik taraf CIQ, jalan menuju ke CIQ di sempadan utama antara Sabah, Sarawak dan Kalimantan.
Kementerian Kewangan meluluskan peruntukan tambahan RM1 bilion bagi projek menaik taraf dan membina infrastruktur di sepanjang sempadan Sarawak dan Sabah terdiri daripada 1,881km yang memisahkan Sarawak dan Sabah di Malaysia dan wilayah Kalimantan di Indonesia. Yang turut diberi tumpuan ialah membina dan meneroka jalinan [business to business (B2B)] agar interaksi ekonomi antara sempadan dapat diwujudkan bagi memenuhi keperluan kedua-dua negara.
Melihat kepada perkembangan Indonesia pada masa ini, diramalkan ekonomi Indonesia pada masa hadapan bakal menjadi suatu kuasa besar ekonomi dunia. Menurut Price Waterhouse Coopers (PwC), sebuah firma perkhidmatan profesional terbesar di dunia mengeluarkan sebuah laporan mengenai kemunculan pasaran baharu yang akan menguasai kedudukan ekonomi terbesar di dunia menjelang tahun 2050. Berdasarkan laporan tersebut, ekonomi dunia yang didominasi oleh negara-negara besar seperti Amerika Syarikat dan China, akan dicabar dengan kemunculan pasaran baharu seperti India, Indonesia dan Mexico.
Pada waktu yang sama, ekonomi global juga dianjurkan melebihi dua kali ganda menjelang tahun 2050, mengandaikan dasar mesra pertumbuhan meluas dan tiada sebarang krisis global yang akan muncul. PwC mengunjurkan, Indonesia bakal berada di kedudukan kelima terbesar di dunia menjelang tahun 2030. Kemudian, KDNK negara tersebut akan meningkat kepada US$10.52 trilion (RM49.54 trilion) pada tahun 2050 dan akan berada di kedudukan keempat dunia selepas China, India dan Amerika Syarikat.
Pada tahun 2019, Presiden Jokowi mengeluarkan kenyataan bahawa mahu KDNK Indonesia mencecah US$7 trilion (RM32.96 trilion) menjelang tahun 2045 dan menjadi antara lima ekonomi terbesar global. Impian Presiden Jokowi disokong kuat dengan unjuran yang dikeluarkan oleh PwC. Menurut penganalisis ekonomi, potensi ekonomi Indonesia berkembang turut dipengaruhi oleh transformasi pembangunan infrastruktur negaranya yang dipandang serius oleh kerajaan Indonesia.
Trend peningkatan ekonomi Indonesia meningkat semenjak tahun 2016 apabila Indonesia berjaya berada di kedudukan kelapan dalam pertumbuhan ekonomi global. Sebelum ini, Indonesia telah terperangkap selama 29 tahun dalam kelompok negara kelas menengah. Oleh sebab itu, Ketua Badan Perangkaan Pusat (BPS), Suhariyanto menyatakan bahawa kerajaannya harus menggalakkan semua sektor industri supaya menambah nilai ekonomi negara supaya bergerak positif.
Malaysia yang dilihat optimis terhadap pembangunan infrastruktur ibu negara Indonesia kerana yakin mendapat limpahan peluang ekonomi kepada Sabah dan Sarawak, walau bagaimanapun, harus meletakkan satu penanda aras terhadap perkembangan ekonomi negara. Hal ini demikian kerana berkemungkinan ekonomi Malaysia akan diserap oleh ekonomi Indonesia yang semakin meningkat.
Walaupun KDNK dan Keluaran Negara Kasar (KNK) Malaysia jika dibandingkan dengan Indonesia lebih berkembang dan berpotensi menawarkan pasaran yang lebih meyakinkan pelabur, kelebihan tersebut tidak menjanjikan ekonomi Malaysia untuk terus berkembang. Indonesia dalam fasa menambah baik infrastruktur negaranya sudah pasti akan menjadikan negara tersebut lebih berkuasa dan berdaya maju.