Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLangkah pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menstruktur semula akaun pencarum dan memperkenalkan Akaun Fleksibel mulai 11 Mei 2024 yang boleh diakses pada bila-bila masa mengundang reaksi yang berbeza-beza daripada pelbagai pihak.
Menerusi penstrukturan semula ini, 10 peratus daripada caruman bulanan KWSP yang dibuat akan disalurkan ke dalam Akaun Fleksibel manakala 75 peratus dan 15 peratus lagi masing-masing akan dimasukkan ke dalam Akaun Persaraan dan Akaun Sejahtera yang sebelum ini dikenali sebagai Akaun 1 dan Akaun 2.
Bagi pihak KWSP, mereka mempunyai justifikasi sendiri tentang penstrukturan semula ini. Antara lain termasuklah menyatakan bahawa langkah ini bagi memperkukuh jaminan pendapatan persaraan dan memenuhi keperluan kitaran hayat ahli. Selain itu, dengan adanya tiga akaun yang berbeza, maka setiap satunya dapat mengimbangi keperluan jangka masa pendek, sederhana dan panjang selaras dengan keperluan kitaran hidup dan jangka hayat ahli.
Bagi pakar-pakar pengurusan kewangan, pengenalan akaun fleksibel ini menuntut pencarum agar mempunyai disiplin yang tinggi supaya tidak menyalahgunakan kemudahan pengeluaran yang diberikan bagi penggunaan yang tidak bersifat mendesak atau bagi tujuan bukan kecemasan.
Kerisauan pakar-pakar ini ada rasionalnya memandangkan Malaysia sekarang ialah sebuah negara menua (ageing nation) di mana sekarang lebih tujuh peratus penduduknya berusia lebih daripada 60 tahun. Berdasarkan unjuran Bank Dunia, menjelang tahun 2030 nanti, negara akan menjadi negara tua (aged nation) apabila peratusan ini meningkat menjadi 15 peratus.
Satu daripada persediaan menjadi negara tua yang perlu difikirkan oleh individu ialah persediaan dari segi sekuriti kewangan atau pendapatan. Bagi mereka yang bekerja di sektor formal terutamanya sektor formal swasta, KWSP merupakan sumber pendapatan utama mereka selepas bersara.
Walau bagaimanapun, berdasarkan data-data pihak KWSP sendiri, hingga hujung tahun lepas, hanya 33 peratus atau 2.4 juta orang pencarum aktif yang berusia di antara 18 tahun hingga 55 tahun mempunyai simpanan asas RM240,000.
Daripada angka ini, jumlah pencarum aktif yang berusia 51-55 tahun yang mencapai simpanan asas lebih rendah daripada jumlah pencarum yang berada dalam kumpulan usia 41-50 tahun dan 31-40 tahun. Lebih merunsingkan lagi, pihak KWSP mendapati bahawa 75 peratus ahli yang mengambil kesemua wang caruman selepas bersara menghabiskan wang simpanan mereka tersebut dalam tempoh lima tahun sahaja.
Hal ini sesuatu yang membimbangkan kerana jangka hayat penduduk yang semakin panjang dan sudah tentu mereka memerlukan lebih banyak sumber serta keperluan lain yang perlu dibiayai untuk sepanjang tempoh tersebut.
Selain pekerja sektor formal, keperluan kewangan bagi persaraan juga penting bagi golongan yang bekerja sendiri, yakni sektor informal. Pascapandemik menyaksikan wujud trend peningkatan bilangan pekerja di sektor informal di Malaysia. Pekerjaan-pekerjaan yang bersandarkan teknologi mula mendapat tempat dalam kalangan belia. Kerja-kerja dalam sektor ekonomi gig yang bersifat sementara, bebas dan tidak terikat dengan pelbagai peraturan majikan juga mula mendapat tempat dalam kalangan belia di negara ini.
Walaupun pendapatan yang diperoleh oleh mereka yang terlibat dalam ekonomi gig ini boleh dikatakan agak tinggi, namun untuk jangka panjang, mereka tidak mempunyai sistem perlindungan sosial yang melindungi mereka pada usia tua. Menjelang tahun 2040, dianggarkan bahawa 33 peratus pekerjaan di Malaysia tertumpu dalam sektor informal.
Tidak seperti pekerja sektor awam dan swasta yang antara lain mempunyai pencen bulanan atau simpanan persaraan atau pelbagai skim perlindungan yang disediakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), mereka yang bekerja di sektor formal perlu membuat inisiatif persediaan sendiri bagi persediaan hari tua mereka.
Isu-isu kewangan yang bakal dihadapi oleh para pekerja apabila mereka bersara nanti perlu ditangani secara bersama oleh semua pihak dan bukan tugas pihak kerajaan semata-mata. Pihak majikan dan pekerja itu sendiri dituntut untuk memikirkan pendekatan terbaik bagi menangani pelbagai isu yang bakal dihadapi oleh masyarakat apabila Malaysia beralih menjadi negara tua menjelang tahun 2030 nanti.
Isu yang berkaitan dengan jumlah simpanan persaraan yang tidak mencukupi sebenarnya ada kaitan dengan kadar upah dan gaji yang diterima oleh pekerja di Malaysia. Isu ini juga merupakan satu isu lama yang belum lagi menemui jalan penyelesaiannya.
Sebagai contoh, pada tahun 2013, iaitu 11 tahun lepas, pihak Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dalam Laporan Pembangunan Manusia Malaysia 2013 mendapati bahawa majoriti pekerja di Malaysia menerima gaji dan upah yang rendah yang secara langsung menyebabkan simpanan persaraan penduduk juga menjadi rendah.
Pihak UNDP juga menjangkakan pesara di Malaysia hanya mampu menjalani satu kehidupan asas untuk sekitar 1.8 tahun hingga 4.6 tahun sahaja dengan wang simpanan yang ada selepas persaraan mereka. Gaji minimum RM1500 yang ditetapkan sekarang oleh pihak kerajaan juga lebih rendah daripada pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang ditetapkan kerajaan pada ketika ini, iaitu RM2,208. Bahkan jauh lebih rendah daripada gaji kehidupan wajar untuk individu, iaitu sebanyak RM2,700 yang dicadangkan oleh pihak Bank Negara Malaysia pada tahun 2017.
Semoga langkah kerajaan memberikan kenaikan gaji sebanyak 13 peratus kepada penjawat awam mulai Disember 2024 dapat diikuti oleh para majikan sektor swasta. Hal ini bagi memastikan kebajikan pekerja yang kini rata-rata berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup dan pada masa yang sama berhadapan dengan keperluan membuat persediaan untuk persaraan terpelihara.
Dari perspektif ekonomi, bilangan warga tua yang tinggi boleh memberikan beberapa implikasi yang tidak baik kepada ekonomi. Implikasi-implikasi tersebut termasuklah masalah kekurangan pekerja dan penurunan kutipan cukai. Justeru, pihak majikan boleh mempertimbang pekerja-pekerja yang telah mencapai usia persaraan diambil bekerja dalam sektor yang bersesuaian dengan keupayaan mereka. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu warga tua menjanakan pendapatan yang boleh digunakan bagi menyara kehidupan usia emas mereka.
Walaupun ada pandangan stereotaip yang mengaitkan penurunan prestasi dengan peningkatan usia, namun kajian-kajian empirikal tidak menunjukkan banyak data yang menyokong tanggapan ini. Bahkan kajian Abas@Hamdan et. al (2018) juga mendapati bahawa pekerja lebih tua mempunyai sikap kerja yang positif, setia, lebih terlibat dan mempunyai kemahiran sosial yang lebih baik. Selain itu, mereka juga didapati mempunyai kemahiran dan kecekapan yang biasanya kurang didapati dalam kalangan pekerja muda.
Apa-apapun, dalam menangani masalah ketidakcukupan wang persaraan dan selain keperluan dasar dan polisi kerajaan terutama yang berkaitan dengan penggajian dan penyediaan infrastruktur bagi menjaga kebajikan warga tua, para pekerja itu sendiri perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengurusan kewangan peribadi. Mereka yang celik kewangan tahu mengurus wang pendapatan berdasarkan keutamaan.
Bagi mereka yang celik kewangan, panduan utama dalam perbelanjaan mereka berdasarkan keperluan dan bukannya kehendak. Mereka membuat tabungan secara konsisten daripada awal dan turut mempunyai instrumen pengurusan risiko yang melindungi mereka daripada pelbagai musibah kehidupan.
Dengan kata lain, sekiranya seseorang individu itu membuat persiapan awal – baik dari segi pengurusan kewangan dan kesihatan diri, dan ditambah dengan kemudahan kebajikan yang disediakan pihak majikan dan kerajaan, dia dapat menjalani satu kehidupan hari tua yang produktif dan berkualiti.
Penulis ialah Felow Kanan/Pengarah di Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).