22 April 2024, 22:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – AltIndex.com melaporkan bahawa lapan jutawan kecerdasan buatan (AI) di dunia telah meningkatkan kekayaan mereka sebanyak RM1862.45 bilion (USD390 bilion) bagi tahun 2023.

Gergasi teknologi seperti Bill Gates, Elon Musk dan Jensen Huang memainkan peranan utama dalam revolusi AI menggunakan pengetahuan dan sumber mereka untuk mencipta teknologi yang dapat mengubah sepenuhnya cara manusia bekerja dan hidup. Daripada pembelajaran mesin dan kereta pandu sendiri kepada AI generatif, teknologi ini berjaya membentuk semula dunia, bahkan membawa keuntungan ratusan bilion dolar kepada empayar teknologi dan syarikat di belakang mereka.

Walaupun jutawan AI terkaya di dunia sudah mempunyai nilai bersih yang mengagumkan, kebangkitan AI yang bermula pada tahun lalu, membantu mereka mengembangkan kekayaan dengan lebih banyak. Sejak awal tahun 2023, semua gergasi teknologi ini telah menambah berpuluh bilion dolar kepada kekayaan mereka, tetapi tiada yang boleh menghampiri kekayaan Mark Zuckerberg. Pemilik Facebook dan Meta Platforms ini mungkin menjadi raja media sosial, kerana impaknya dalam bidang AI juga besar.

Berdasarkan senarai jutawan terkini Forbes, kekayaan Mark Zuckerberg melonjak sebanyak USD112.6 bilion (RM537.72 bilion) dari tahun ke tahun. Peningkatan ini merupakan yang terbesar dalam kalangan jutawan AI terkemuka. Saham Facebook melonjak sebanyak 125 peratus dalam tempoh ini mendorong kekayaan pemiliknya kepada USD177 bilion (RM845.26 bilion).

Sementara itu, Jeff Bezos mengikuti Zuckerberg dengan peningkatan nilai kekayaan bersih sebanyak USD80 bilion (RM382.08 bilion) pada tahun lalu. Walaupun pemilik syarikat Amazon ini mencipta namanya dalam e-dagang, Bezos juga merupakan nama besar dalam bidang AI. Perkhidmatan web Amazon yang merupakan sebahagian besar empayarnya, menawarkan pelbagai alatan dan perkhidmatan AI serta membantu perniagaan menyepadukan AI dalam operasi mereka.

Statistik menunjukkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Jensen Huang, memperlihatkan pertumbuhan nilai bersih ketiga terbesar dalam kalangan jutawan AI teratas dengan menambah hampir USD56 bilion (RM267.43 bilion) kekayaannya pada tahun lepas. Syarikatnya menjadi nama besar dalam bidang AI, dengan unit pemprosesan grafik yang digunakan dalam semua operasi data besar hinggalah kereta pandu sendiri. Nilai saham Nvidia telah melonjak lebih daripada USD1.8 trilion (RM8.60 trilion) sejak Januari 2023. Teknologi AI ini juga membantu meningkatkan kekayaan pemiliknya sehingga mencecah USD77 bilion (RM 367.71 bilion).

Bill Gates yang juga nama besar dalam bidang AI, kini mencatatkan kekayaan bernilai USD128 bilion (RM611.26 bilion), iaitu peningkatan sebanyak USD24 bilion (RM114.61 bilion) lebih setahun lalu. Sementara itu, Elon Musk yang merupakan pemilik Tesla menjadi satu-satunya jutawan yang menanggung kerugian dalam kalangan gergasi AI pada 2024. Kekayaannya masih bernilai USD15 bilion (RM71.63 bilion) lebih daripada tahun lepas. Dengan nilai bersih USD195 bilion (RM931.22 bilion) membolehkan beliau bergelar jutawan AI terkaya dan orang kedua terkaya di dunia. Statistik juga menunjukkan kebanyakan jutawan daripada perniagaan AI berasal dari Amerika Syarikat dengan lapan daripada 10 jutawan AI terkaya di dunia adalah rakyat Amerika.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.