19 Mac 2024, 20:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melaporkan bahawa Malaysia merekodkan trend positif dalam prestasi perdagangan pada Februari 2024 apabila meningkat 3.3 peratus kepada RM211.79 bilion bagi tahun ke tahun.

Eksport berkurangan secara marginal sebanyak 0.8 peratus kepada RM111.33 bilion manakala import sebaliknya meningkat 8.4 peratus kepada RM100.46 bilion.

“Perdagangan mencatat pertumbuhan tahun ke tahun bagi dua bulan berturut-turut pada tahun ini dan merupakan nilai bulanan tertinggi dalam sejarah perdagangan Malaysia bagi Februari. “Lebihan dagangan bernilai RM10.87 bilion dan merupakan lebihan ke-46 bulan berturut-turut sejak Mei 2020.”

MITI berkata prestasi perdagangan negara turut mengekalkan aliran peningkatan untuk dua bulan pertama bagi 2024 dengan mencatat pertumbuhan 8.3 peratus kepada RM446.43 bilion berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Eksport menokok 3.9 peratus kepada RM233.74 bilion yang disumbangkan oleh kenaikan tahun ke tahun eksport barangan perkilangan sebanyak 3.4 peratus kepada RM196.75 bilion, dipacu oleh peningkatan eksport bagi barangan besi dan keluli, jentera, kelengkapan dan peralatan serta keluaran petroleum.

Import juga menambah 13.6 peratus kepada RM212.69 bilion, menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM21.04 bilion. Lebihan dagangan meningkat sebanyak 6.9 peratus bagi Februari 2024 berbanding dengan Januari 2024.

MITI juga menyifatkan peningkatan angka perdagangan bagi Januari dan Februari sebagai jelas memaparkan prospek pemulihan global bagi tahun ini. “Pertumbuhan perdagangan yang berterusan dalam dua bulan pertama 2024 telah membuka jalan bagi pemulihan perdagangan Malaysia.”

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.