18 Mac 2024, 20:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sebanyak 4752 kawasan di seluruh negara dikenal pasti penduduknya tidak mempunyai sebarang pendaftaran Pangkalan Data Utama (Padu) mahupun apa-apa program bantuan kerajaan yang disediakan sebelum ini.

Menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Selangor mencatatkan bilangan kawasan tertinggi iaitu 1282 kawasan diikuti Kuala Lumpur dengan 992 kawasan, 765 kawasan di Sarawak, 620 di Sabah, 271 di Johor, 243 di Pulau Pinang dan 228 kawasan di Kelantan.

Tambahnya, kawasan tersebut turut melibatkan Kedah dengan 157 bilangan kawasan belum mendaftar, 70 di Pahang, 67 di Perak, 35 di Terengganu, lapan di Negeri Sembilan, tujuh di Perlis, lima di Putrajaya dan dua di Melaka.

“Sebanyak 5.43 Juta individu telah mengemaskini data PADU sehingga pukul 11:59 malam, 17 Mac 2024,” maklumnya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata dalam konteks pelaksanaan PADU, pengemaskinian oleh rakyat atau rekod pentadbiran individu divisualisasi sehingga di peringkat lokaliti. Antara contoh kawasan seperti lokaliti perumahan awam, kondominium, pangsapuri, rumah kos rendah, kuarters, rumah kedai, rumah air/panjang dan perumahan individu.

Menurut beliau, penelitian pengemaskinian PADU di peringkat lokaliti ini akan menjadi input untuk memastikan semua kawasan diliputi mempunyai perwakilan dan tidak berlaku keciciran.

“Penduduk di kawasan ini, walaupun dikenal pasti dalam kalangan B40 dan B60, tidak mempunyai data dalam apa-apa pangkalan data bantuan kerajaan sebelum ini menyebabkan mereka berisiko tercicir daripada menerima ataupun dilibatkan dalam apa-apa program atau bantuan kerajaan yang akan datang,” jelasnya.

Beliau memaklumkan tumpuan kementerian dan juga pasukan PADU dalam tempoh dua minggu ini sehingga hari terakhir adalah untuk mempertingkatkan pendaftaran individu dan isi rumah, terutamanya meliputi kawasan yang dikenal pasti berisiko besar pengecualian.

Tambah beliau, satu sesi Townhall akan diadakan pada 23 Mac 2024 di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) bertujuan untuk memberi penerangan mengenai manfaat Pangkalan Data Utama (PADU) dan mendapatkan kerjasama pihak berkaitan untuk membantu meningkatkan pendaftaran dalam kalangan rakyat terutamanya di kawasan Selangor dan Wilayah Persekutuan sebelum 31 Mac 2024.

Sesi ini akan dihadiri oleh Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negeri, Pegawai Daerah, Datuk Bandar serta YDP, Ketua Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) bagi setiap pihak berkuasa tempatan dan wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Pada masa yang sama, kaunter pendaftaran PADU akan dibuka sepanjang sesi townhall bagi membantu orang awam untuk mendaftar dan mengemaskini PADU,” maklumnya.

Beliau juga meminta semua kerajaan negeri mengambil langkah yang sama, mengumpulkan wakil penduduk dari kawasan-kawasan berisiko tinggi keciciran untuk menggalakkan pendaftaran PADU penduduk kawasan tersebut.

Menurut beliau, mulai 31 Mac dan seterusnya, data yang sedia ada dan telah dikemaskini dalam PADU akan digunakan sebagai panduan untuk merangka dasar serta akan digunakan untuk menentukan kelayakan individu untuk program kerajaan, bantuan dan subsidi.

Tambah beliau lagi, jika tidak mendaftar dan mengemaskini data di dalam PADU, kerajaan akan menggunakan data yang didapati dari jabatan kerajaan sedia ada yang berisiko tidak tepat atau tidak terkini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.