24 Januari 2024, 12:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Linggi – Pembangunan pelabuhan perindustrian, Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) yang bernilai RM15 bilion bakal melonjakkan Melaka sebagai sebuah negeri yang menjadi hab penting dalam perdagangan antarabangsa sekali gus menjadi pelengkap bagi industri maritim dunia.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, apabila siap menjelang 2027 kelak, pelabuhan tersebut akan menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan inovasi teknologi di rantau ini dengan menawarkan pelbagai perkhidmatan berkaitan dengan industri maritim.

Menurutnya, lokasi strategik KLIP yang terletak di Selat Melaka sebagai selat tersibuk dunia dan menjadi laluan lebih 100,000 kapal setiap tahun mampu mewujudkan hubungan penting untuk aktiviti perdagangan antara Asia, Eropah dengan Timur Tengah.

KLIP akan memberikan sokongan terhadap industri maritim dunia yang telah pun pesat membangun selain menawarkan pilihan kerana terletak di satu jajaran strategik antara Singapura dengan Pulau Pinang. Pelaburan bagi memajukan enam buah pulau pelabuhan dengan kos sebanyak RM15 bilion keseluruhan ini akan memberikan pulangan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) lebih daripada RM100 bilion apabila sampai tempoh matangnya kelak.” Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan KLIP di Kuala Linggi, di sini, semalam.

Hadir sama menyaksikan majlis bersejarah itu ialah Tunku Besar Tampin, Yang Teramat Mulia Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus al-Qadri; Pengerusi KLIP, Tun Mohd Khalil Yaakob, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Wira Ibrahim Durum dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Zaidi Johari.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh melakukan gimik pelancaran Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan KLIP di Kuala Linggi.

Yang turut hadir, Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta Pengerusi Eksekutif KLIP, Tan Sri Dr. Noormustafa Kamal Yahya.

Menurut Ab Rauf, kemudahan maritim yang akan disediakan di KLIP bukan hanya sebagai pelabuhan perdagangan, tetapi juga merupakan sebuah pelabuhan perkhidmatan industri yang dilengkapi dengan kemudahan tangki simpanan, limbungan kapal, di sokong industri berat limbungan fabrikasi, kawasan pengendalian kargo yang kukuh, dermaga dan gudang.

Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diiringi Pengerusi Eksekutif KLIP, Tan Sri Dr. Noormustafa Kamal Yahya melihat kawasan muara Sungai Linggi.

“Pembinaan KLIP yang dijalankan secara berfasa selama 42 bulan di tapak seluas 251 hektar ini bakal mewujudkan antara 6000 hingga 10,000 peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai bidang. Hal ini akan memberikan manfaat kepada rakyat tempatan dalam penawaran peluang pekerjaan baharu bertaraf berkemahiran dan pekerja super mahir (super skilled workers) membabitkan bidang maritim.

“Hal ini sejajar dengan kedudukannya di Kuala Linggi yang sudah mempunyai institusi kemahiran seperti Akademi Laut Malaysia (ALAM) yang akan membekalkan tenaga kerja kepada industri pelabuhan ini nanti. Tahniah kepada KLIP yang telah berusaha selama 18 tahun untuk menjadikan Kuala Linggi sebagai pelabuhan antarabangsa sehingga menjadi kenyataan dan ini adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi Melaka khususnya dalam usaha kerajaan negeri memperkasakan industri maritim di pentas dunia,” katanya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.