Oleh Firdaus Mul
1 Januari 2024, 12:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pangkalan Data Utama atau dikenali sebagai PADU merupakan satu sistem pangkalan data maklumat profil seluruh rakyat Malaysia dan individu yang bermastautin di Malaysia. PADU dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi selaras dengan keputusan Jemaah Menteri yang bertekad untuk mewujudkan satu pangkalan data bagi menyokong gagasan kerajaan untuk bergerak ke arah kerajaan yang berasaskan digital (Govtech).

PADU telah dibangunkan selama enam bulan secara dalaman oleh Kementerian Ekonomi bersama-sama pegawai dari Jabatan Statistik Negara (DOSM) dengan bantuan agensi pembekal maklumat. Perkara ini turut dijelaskan secara terperinci oleh Datuk Dr. Zunika Mohamed yang merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (DASAR) Kementerian Ekonomi dalam slot Selamat Pagi Malaysia anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM) kelmarin.

Datuk Dr. Zunika Mohamed dalam temu bual slot Selamat Pagi Malaysia terbitan RTM.

“Dengan PADU, kita mempunyai keseluruhan profil rakyat Malaysia yang setakat ini terdapat kurang lebih sebanyak 29 juta individu.”

Beliau membuka tirai perkongsiannya dengan menjelaskan secara terperinci tentang pembinaan sistem PADU. Menurut beliau, sistem PADU yang telah dibangunkan oleh Kementerian Ekonomi adalah satu sistem yang mengumpulkan data sedia yang terdapat dalam lingkungan 200 pangkalan data kerajaan. Tujuan utama sistem PADU dibangunkan adalah bagi membolehkan kerajaan membuat dasar dan program yang lebih berkesan berpandukan data, sekali gus dapat mengatasi beberapa isu penting termasuklah isu keciciran.

Beliau berkata, “Ada sebahagian daripada rakyat kita, yang sepatutnya mendapat bantuan, tetapi data mereka ini tiada dalam sistem yang ada di kementerian dan agensi. Ada pula yang sentiasa mendapat bantuan tapi mereka tidak layak sebenarnya. Isu ini kitalah yang kita akan atasi dan seterusnya merangka program yang lebih berkesan dan spesifik berdasarkan keperluan sebenar rakyat.”

“Pada masa ini kita perlu memastikan keperluan rakyat untuk mengatasi kos sara hidup, mengenal pasti bahawa bantuan yang disediakan adalah bantuan yang betul-betul dapat memberikan faedah yang maksimum kepada rakyat,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, beliau turut menjelaskan bahawa data-data yang terdapat dalam sistem PADU akan digunakan dalam penyasaran semula subsidi. Melalui data sedia ada yang diperoleh, kerajaan dapat memastikan individu yang layak untuk menerima subsidi.

“Melalui pengemaskinian maklumat dan juga data-data terkini, kita akan dapat mengenal pasti bentuk bantuan sebenar yang kita boleh digantikan melalui penyasaran semula subsidi ini.”

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa bantuan kerajaan bukan hanya tertumpu kepada golongan berpendapatan rendah, malah hal ini turut melibatkan golongan berpendapatan tinggi.

“Jika terdapat bencana,hal ini akan melibatkan ramai orang. Melalui maklumat ini, kita dapat mengenal pasti siapakah sebenarnya yang perlu dibantu termasuklah golongan T20. Penyasaran semula cukai dan sebagainya boleh dilaksanakan dengan lebih tepat lagi.”

Selain itu, beliau turut mewar-warkan bahawa sistem PADU akan dilancarkan pada 2 Januari 2024. Sistem ini akan dibuka untuk pendaftaran dan pengemaskinian yang boleh dibuat oleh seluruh rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun dan ke atas. Sistem ini boleh diakses melalui portal PADU, www.padu.gov.my. Terdapat panduan yang telah disediakan kepada pengguna tentang kaedah untuk mendaftar dan mengemas kini data. Bagi yang berumur di bawah 18 tahun, menjadi tanggungjawab ibu bapa atau penjaga untuk mengemas kini data anak mereka dalam sistem tersebut.

Majlis Peluncuran PADU yang berlangsung pada 2 Januari 2024 akan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang bertempat di Dewan Perdana, PICC, Putrajaya. Majlis ini dijangka akan dihadiri oleh 3000 peserta dan jemputan daripada seluruh lapisan masyarakat.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.