14 Oktober 2023, 10:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah membentangkan Belanjawan 2024 di Parlimen semalam bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat.

Belanjawan 2024 telah melaraskan semula perbelanjaan, termasuk pelaksanaan subsidi bersasar, pengenalan terhadap Dasar Gaji Progresif serta meneruskan bantuan tunai kepada mereka yang layak, selari dengan imej semangat rangka kerja Ekonomi MADANI yang berfokus untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi penyusunan semula ekonomi dan pengagihan kekayaan secara saksama.

Dalam Belanjawan 2023, sebanyak RM64 bilion diperuntukkan untuk perbelanjaan subsidi dan bantuan sehingga menyebabkan perbelanjaan keperluan pada tahun ini  mencecah RM81 bilion. Peningkatan ini akibat langkah kerajaan mengekalkan harga barangan bersubsidi untuk rakyat kendatipun berhadapan dengan kenaikan luar jangka harga komoditi dunia.

Sekalipun barangan bersubsidi membantu rakyat dalam usaha meminimumkan kos sara hidup, tetapi hakikatnya subsidi lebih memanfaatkan golongan kaya dan harga yang murah pula telah meningkatkan ketirisan dan penyeludupan ke luar negara. Malah, subsidi turut dihirup oleh lebih 3.5 juta orang asing.

Oleh sebab itu, mulai tahun hadapan, pendekatan penyasaran semula subsidi akan dilaksanakan secara berfasa. Hasil penjimatan subsidi ini sebahagiannya akan disalurkan terus untuk meningkatkan peruntukan bantuan tunai melalui Sumbangan Tunai Rahmah daripada RM8 bilion kepada RM10 bilion.

“Antara barangan dan perkhidmatan bersubsidi termasuklah bahan api diesel, perkhidmatan elektrik serta ayam dan telur. Langkah penguatkuasaan bagi menjayakan hasrat penyasaran semula subsidi, hubungan perdagangan antara pembeli dan penjual haruslah jujur,” jelas Perdana Menteri dalam pembentangan tersebut.

Secara keseluruhannya, inti pati Pembentangan Belanjawan 2024 memberikan tumpuan terhadap sektor perniagaan membabitkan perkhidmatan, runcit, hospitaliti, pembinaan dan teknologi hijau dengan peruntukan sebanyak RM398.8 bilion dan RM303.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.