10 Ogos 2023, 23:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Debat Model Baharu Ekonomi Malaysia antara Menteri Ekonomi, Yang Berhormat (YB) Rafizi Ramli dan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman yang disiarkan secara langsung oleh RTM dan AWANI malam semalam nyata telah meraih tumpuan seluruh rakyat Malaysia. Debat itu memfokuskan untuk memberi input baharu dan menambah baik keadaan ekonomi semasa. Oleh itu, pedebatan ini dilihat tiada yang menang atau kalah, tetapi lebih kepada pencerahan berhubung permasalahan ekonomi yang sekian lama mengganggu-gugat kemajuan negara dan langkah yang perlu diambil bagi menangani isu tersebut.

Sesi Perdebatan yang berdurasi selama satu jam setengah telah mengegarkan Dewan M1 Angkasapuri RTM, Kuala Lumpur apabila Menteri Ekonomi Malaysia YB Rafizi Ramli memulakan sesinya dengan menggariskan tiga masalah struktur utama yang dihadapi oleh Malaysia. “Pertamanya, ekonomi kita semakin ketinggalan berbanding pesaing kita. Kita terlalu selesa dengan limpahan ekonomi yang dibawa industri berdasarkan kepada kekayaan semula jadi kita. Contohnya minyak dan peladangan. “Keduanya gaji yang dibayar kepada rakyat terlalu rendah dan tidak naik seiring dengan harga barang sejak 20 tahun lalu. Antara perkara pertama saya lakukan ialah mengarahkan supaya statistik gaji diusahakan. Laporan statistik menunjukkan bahawa gaji rendah merupakan masalah struktur nombor dua dalam ekonomi negara kita. “Masalah tersebut telah menimbulkan masalah ketiga iaitu, kedudukan kewangan kerajaan yang lemah. Pertumbuhan ekonomi negara dilihat lebih perlahan disebabkan kerajaan sebelum ini bergantung kepada berhutang, dan mewujudkan pakej rangsangan ekonomi,” katanya lagi.

Kemudiannya, Mohd Syahir Sulaiman, menyambut baik kenyataan berikut melalui curahan pembentangkan idea model ekonomi Kestabilan Nasional, yang disandarkan kepada empat teras iaitu Keadilan Ekonomi; Kitaran Ekonomi; Kesederhanaan Ekonomi; dan Integriti Ekonomi. Seterusnya, sesi perdebatan kedua diteruskan dengan menyaksikan kedua-dua pemimpin politik ini perlu menjawab soalan yang dilontarkan moderator Dzulfitri Yusop dan Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar. Menjawab persoalan apa yang boleh dipelajari daripada dasar ekonomi terdahulu, Rafizi menyatakan bahawa kerajaan perlu mengenal pasti permasalahan yang menyebabkan pertumbuhan ekonomi negara terjejas sehingga ke hari ini.

Seterusnya, dalam pusingan terakhir sesi perdebatan, Syahir membangkitkan isu bagaimana Kelantan seolah-olah dianaktirikan, terutamanya dari segi peruntukan untuk pengurusan dan pembangunan infrastruktur, dan hak yang dinafikan seperti royalti minyak. Namun, Rafizi pula menjawab, peruntukan yang diberikan kerajaan persekutuan kepada Kelantan jauh lebih tinggi berbanding negeri lain, tetapi beliau mendakwa peruntukan itu tidak akan pernah cukup jika pentadbiran dan tatakelola kerajaan negeri lemah.

Sementara itu, menjawab soalan Rafizi tentang langkah Pas untuk menghapuskan hutang negara jika mentadbir Malaysia, Syahir secara ringkas berkata, pendirian beliau ialah setiap hutang itu wajib dibayar. Namun Ahli Parlimen Bachok itu terus membangkitkan keperluan kerajaan persekutuan untuk lebih bertolak ansur tentang pembayaran hutang oleh kerajaan negeri. “Saya berpegang kepada prinsip hutang perlu dibayar. Tetapi anak (negeri) dengan ayah (Persekutuan) punya hubungan, itu mungkin perlu ada pertimbangan. Mungkin ditangguhkan. Biasalah, kita kena bayar, tapi kita boleh refinancing atau kita adjust mortgage, itu perkara biasa”, jelas beliau.

Merumuskan sesi perdebatan Model Baharu Ekonomi Malaysia antara Menteri Ekonomi, YB Rafizi Ramli dan Penolong Setiausaha Agung Pas, Mohd Syahir Sulaiman semalam adalah demi memberi input baharu dan menambah baik keadaan ekonomi semasa dan bukanlah sebaliknya. Mudah-mudahan rakyat Malaysia akan terus didedahkan dengan cara pemikiran kritikal dan persaingan idea, dalam usaha memartabatkan negara secara aman dan adil.

Sumber foto: Astro Awani

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.