Oleh Abd Razak Osman
22 Mei 2023, 14:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sungai Petani –  Sebanyak 200 orang peserta dari Kedah, Perlis dan Pulau Pinang telah menyertai Program Bicara Ilmu Keterjaminan Makanan: Sejauh Manakah Peranan Koperasi serta Majlis Penyerahan Pelan Strategik Koperasi 2023 anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMa) yang berlangsung di Cinta Sayang Resort, Sungai Petani, Kedah semalam.

Ketua Pengarah IKMa, YBhg. Datuk Mohd Ali Mansor berkata, apabila perkara-perkara seumpama isu keterjamianan makanan dibincangkan secara jujur dan ikhlas, hal tersebut bakal memberikan banyak kebaikan untuk pelaksanaan projek jangka panjang.

Dalam program tersebut, peserta mengikuti empat ceramah, termasuklah ceramah yang disampaikan oleh Setiausaha Bahagian Pembangunan dan Pelaburan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS), Encik Khalid Ibrahim tentang Landskap Sektor Agromakanan Negara. Ceramah tentang Inisiatif  Agensi Sumber Galakan Koperasi pula disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Koperasi, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), iaitu Encik Mohd Rizam Zuligifliauni.

Bersempena dengan program ini juga, Majlis Penyerahan Pelan Strategik
Koperasi yang melibatkan tiga buah koperasi di kawasan utara, iaitu Koperasi Komuniti Kilim Langkawi Berhad, Koperasi Kerjaya Permatang Nibong Pulau Pinang Berhad dan Koperasi Pembangunan Insan Wilayah Utara Berhad turut diadakan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Yang Berhormat (YB) Senator Puan K. Saraswathy ketika merasmikan program ini berkata, satu daripada aktiviti ekonomi yang boleh diteroka oleh koperasi adalah dalam bidang agromakanan.

“Terdapat 172 koperasi di negara ini terlibat secara langsung dalam sektor agromakanan yang meliputi penternakan, perikanan, tanaman dan pembekalan input pertanian sejak Disember 2022. Kejayaan bakal dinikmati oleh setiap koperasi yang terlibat secara langsung dan serius dalam bidang ternakan lembu tenusu, lembu pedaging, ayam, madu kelulut, ikan sangkar, tanaman padi, nanas, fertigasi, jagung bijian dan jagung manis dalam menyumbang kepada keterjaminan pengeluaran makanan di negara ini,” katanya.

YB Senator Puan K. Saraswathy dalam Majlis Penyerahan Pelan Strategik Koperasi 2023.

Menurutnya, kementerian juga mewujudkan Federasi Koperasi Pertanian dan
Industri Asas Tani Malaysia Berhad bertujuan untuk menggembleng sumber modal, kepakaran, kemahiran dan tenaga profesional bagi melaksanakan aktiviti pada skala yang lebih besar serta menguasai aktiviti sepanjang rantaian bekalan. Beliau berharap agar program Penyerahan Pelan Strategik Koperasi tersebut dapat memberikan kefahaman baharu dan jelas tentang hala tuju dan fokus utama agenda keterjaminan makanan negara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.