27 April 2023, 09:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Apabila bercakap tentang pelaburan, ramai orang mungkin memikirkan cara yang berbeza untuk membahagikan wang mereka. Sebagai contoh, sesetengah orang mungkin memikirkan berapa banyak wang yang mereka perlu simpan dahulu, sebelum mereka mula memikirkan tentang pelaburan. Orang lain mungkin berfikir tentang jenis pelaburan yang mereka mahu buat, dan sama ada mereka fikir pelaburan itu akan menguntungkan dalam jangka masa panjang. Sesiapa sahaja boleh membuat wang dengan pelaburan yang dapat meraih keuntungan yang akan meningkat nilainya mengikut tempoh masa. Pelaburan boleh didefinisikan apabila seseorang itu membeli sesuatu dengan harapan mendapat keuntungan pada masa hadapan. Terdapat pelbagai cara untuk melabur, termasuk membeli barangan seperti hartanah, emas, saham, unit amanah, bon dan juga ekuiti.

Semua jenis pelaburan akan melibatkan risiko, dan terdapat tiga jenis risiko pelaburan iaitu yang berisiko rendah, sederhana dan tinggi. Pelaburan berisiko rendah seperti deposit tetap di bank, manakala pelaburan berisiko sederhana seperti Amanah Saham Nasional, yang merupakan unit Amanah dengan harga berubah. Contoh pelaburan berisiko tinggi pula ialah seperti pelaburan Peer-to-Peer (P2P) lending, dan pelaburan saham seperti saham seperti di pasaran Bursa Malaysia. Pasaran saham berisiko tinggi kerana bergantung kepada keadaan ekonomi dan keadaan pasaran yang sering berubah.

Krisis Ekonomi dan Kewangan di Malaysia

Krisis ekonomi dan kewangan itu terjadi apabila nilai aset menjunam jatuh secara mendadak (seperti perniagaan dan rumah) turun, orang ramai tidak dapat membayar hutang mereka, dan bank menghadapi masalah menjual aset mereka dengan cepat. Ketika krisis ekonomi berlaku, banyak orang menjual aset mereka (seperti saham atau rumah) untuk menyimpan wang tunai sebanyak yang boleh. Krisis itu pernah berlaku di Malaysia sebanyak lima kali.

Krisis pertama yang menimpa Malaysia pada tahun 1973/1974 disebabkan ini berlaku disebabkan kenaikan harga minyak akibat peperangan antara Mesir dan Israel. Akibatnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia hanya meningkat sebanyak 0.8% pada tahun 1975 yang merupakan paras terendah dalam tempoh 1970-1980. Krisis itu tidak hanya berhenti di situ, Malaysia kembali dilanda krisis minyak (Kejutan Minyak Kedua) pada tahun 1978 akibat daripada Revolusi Iran. Krisis kedua yang berlaku di Malaysia ialah Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997 dan 1998. Krisis itu merupakan antara krisis ekonomi yang paling tidak boleh dilupakan kerana Malaysia antara negara yang berjaya mengatasi dan menangani krisis hebat ini. Krisis kewangan Asia bermula apabila berlaku beberapa spekulasi tentang nilai mata wang Rupiah dan Baht. Hal itu menyebabkan Thailand menjadi terlalu optimis yang membuatkan mereka menaikkan pemberian kredit mereka secara drastik, dan seterusnya menambahkan lagi hutang luar negara.

Kekurangan sumber mata wang asing telah memaksa kerajaan Thailand untuk menukar kadar pertukaran tetap mata wang kepada Dolar Amerika Syarikat yang telah lama dikekalkan. Keadaan itu telah berjangkit kepada negara-negara Asia lain kerana melibatkan perubahan yang sistematik. Malaysia juga tidak terkecuali dalam hal ini. Kadar tukaran ringgit jatuh daripada purata RM2.50 satu dolar Amerika, kepada RM4.20 sedolar pada ketika itu. Apabila nilai ringgit jatuh akan memberi kesan kepada harga, seperti hutang luar negara, harga saham, kadar faedah, kos pinjaman naik dan kos import. Krisis ketiga yang berlaku di Malaysia ialah Krisis Ekonomi Global 2008 yang dikenali juga sebagai Krisis Subprima. Krisis ini bermula apabila institusi kewangan membuat aktiviti atau inovasi dalam pemberian kredit kepada negara maju di Eropah. Inovasi kewangan yang dilaksanakan berikutan kenaikan harga hartanah yang meningkat secara ketara semenjak tahun 1997 sehingga tahun 2006. Inovasi yang dimaksudkan adalah apabila terdapat kaedah pinjaman kewangan yang lebih senang dengan kos yang lebih rendah serta memudahkan proses pinjaman termasuk mereka yang tidak layak untuk mendapat pinjaman (peminjam subprime). Kerajaan terpaksa campur tangan dan menyediakan bailout untuk mengelakkan keseluruhan sistem perbankan daripada runtuh. Hal itu menyebabkan KDNK menurun, peningkatan dalam pengangguran, dan penurunan dalam keyakinan pelabur. Beberapa bank terbesar yang terlibat dalam Krisis Subprima ialah Lehman Brothers dan Merrill Lynch. Lehman Brothers telah muflis pada September 2008, dan menyebabkan kesan domino yang menyebabkan bank lain turut muflis.

Seterusnya adalah Krisis Kewangan Euro. Pada ketika ekonomi global berada pada fasa pemulihan susulan daripada Krisis Subprima, terdapat beberapa negara Eropah seperti Greece, Ireland dan Portugal telah menghadapi masalah untuk membayar balik hutang mereka. Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah meminjamkan wang kepada negara tersebut supaya mereka boleh terus bertahan, tetapi jika mereka tidak dapat membayar pinjaman tersebut, keadaan itu boleh menyebabkan negara itu muflis. Greece adalah salah satu daripada negara yang mempunyai tahap hutang awam tertinggi di dalam Zon Eropah dan mempunyai defisit belanjawan tebesar. Krisis hutang boleh merebak ke bahagian lain di dunia, dan seterusnya menjejaskan ekonomi negara kita. Kemungkinan krisis hutang ini akan menjadi bertambah buruk dan mungkin boleh mengakibatkan kesan limpahan yang ketara terhadap aktiviti ekonomi dan pasaran kewangan. Kesan limpahan krisis hutang Euro kepada ekonomi Malaysia berlaku melalui dua cara utama iaitu melalui perdagangan dan kewangan.

Krisis terakhir yang berlaku adalah krisis minyak. Kejatuhan harga minyak telah bermula sejak daripada pertengahan tahun 2014 lagi. Hal ini bertambah lagi teruk pada tahun 2015 iaitu dalam tempoh 18 bulan sahaja, harga minyak mentah telah menjunam lebih daripada 50%. Situasi itu terjadi kerana tangki minyak (OPEC) terlalu banyak dan tidak cukup orang yang membelinya. Syarikat minyak bimbang dengan situasi itu kerana mereka tidak boleh membuat banyak wang seperti dahulu. Tetapi yang lebih membimbangkan mereka adalah apabila terdapat negara lain yang mengeluarkan lebih banyak minyak, jadi harga minyak mungkin akan kekal rendah untuk seketika.

Kesan Krisis Kewangan dan Ekonomi kepada Malaysia

Krisis kewangan yang berlaku pada tahun 1998 telah menjejaskan ekonomi negara. Keadaan itu menyebabkan pengangguran dan kejatuhan nilai ringgit, yang menyebabkan barangan import menjadi lebih mahal. Kadar inflasi juga meningkat. Kerajaan Malaysia terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk perkara seperti pembasmian kemiskinan bagi menangani krisis tersebut. Pada tahun 2008, ekonomi global telah memberi kesan kepada ekonomi Malaysia dan menyebabkan penurunan dalam pelaburan asing dan penurunan dalam eksport. Hal itu turut memberi kesan negatif kepada bursa saham Malaysia dan nilai mata wang Malaysia. Krisis kewangan menjejaskan ekonomi Malaysia pada tahun 2016 yang menyebabkan kerajaan terdesak untuk melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

 Kemelesetan Ekonomi

Kemelesetan ekonomi mungkin berlaku akibat pandemik COVID-19. Kemelesetan ekonomi boleh didefinisikan sebagai penurunan dalam tahap aktiviti ekonomi. Kemeseletan itu boleh berlaku apabila terdapat penurunan yang ketara dalam perbelanjaan, krisis kewangan atau pertumbuhan ekonomi negatif. Kadar pengangguran, kiraan KDNK dan penunjuk lain semuanya boleh menunjukkan bahawa terdapat kemelesetan yang sedang berlaku.

Sejak Malaysia mengalami kemelesetan pada 1990-an, sudah lebih 20 tahun sejak kegawatan ekonomi berlaku. Semasa krisis kewangan Asia, KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) menyusut daripada USD100.8 bilion pada tahun 1996 kepada USD72.2 bilion pada tahun 1998. Pada waktu itu, nilai mata Malaysia berubah dengan drastik. Ekonomi Malaysia hanya terlihat pulih pada tahun 2023. Ketika berlakunya pandemik COVID-19, inflasi yang meningkat menyebabkan berlakunya kenaikan harga makanan secara mendadak. Hal itu menyebabkan ramai orang bergelut untuk mendapatkan bekalan makanan yang mencukupi. Oleh itu, kita perlu mempunyai perancangan dan persediaan yang ampuh bagi menghadapi keadaan yang tidak menentu.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.