Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangWanita membentuk sebahagian besar tenaga kerja dalam industri pelancongan di kebanyakan negara di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, dalam sektor pelancongan, peratusan wanita lebih cenderung kepada pekerjaan yang berstatus rendah dan bergaji rendah (UNWTO, n.d). Selain itu, wanita yang menetap di kawasan yang mempunyai potensi pelancongan yang tinggi mempunyai capaian yang terhad kepada peluang dan kemudahan seperti, perkhidmatan perniagaan, ataupun program latihan kemahiran yang diperlukan untuk mereka mendapatkan pekerjaan dalam industri perkhidmatan dan pengeluaran yang berkaitan dengan pelancongan. Walaupun wanita membentuk separuh daripada tenaga kerja yang berasaskan pelancongan di seluruh dunia, situasi itu dapat dilihat peranan penglibatan wanita agak kurang menonjol berbanding lelaki dalam memainkan peranan di pengurusan peringkat tinggi. Oleh itu, penulisan ini bertujuan untuk mengkaji penyertaan tenaga buruh wanita di negara-negara terpilih di ASEAN berbanding dengan rantau dan negara-negara yang lain pada tahun 2019.
Jadual 1: Pasaran Buruh Terpilih bagi Negara-negara Utama di Seluruh Dunia
Negara | Jumlah Keseluruhan, Tenaga Buruh
(15-64 tahun) Kadar Penyertaan (%) |
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh
Lelaki (15-64 tahun), (%) |
Kadar Penyertaan Tenaga Buruh
Wanita – (15-64 tahun), (%)
|
Perbezaan Kadar Penyertaan Tenaga Buruh Lelaki – Wanita (%)
|
Dunia | 67.4 | 80.6 | 53.7 | 26.9 |
Negara ASEAN Terpilih | ||||
Indonesia | 68.4 | 83.6 | 52.9 | 30.7 |
Malaysia | 68.5 | 81.0 | 55.0 | 26 |
Filipina | 64.4 | 77.0 | 51.7 | 25.3 |
Singapura | 76.1 | 83.5 | 68.9 | 14.6 |
Thailand | 75.5 | 83.3 | 68.0 | 15.3 |
Vietnam | 83.3 | 87.2 | 79.4 | 7.8 |
Purata: ASEAN | 72.7 | 82.6 | 62.6 | 19.9 |
ASEAN+3 (Negara Asia Maju) | ||||
China | 75.9 | 82.8 | 68.6 | 14.2 |
Jepun | 77.3 | 85.5 | 68.7 | 16.8 |
Korea Selatan | 68.8 | 78.3 | 58.8 | 19.5 |
BRICS (Negara Terkemuka Ekonomi Dunia Sedang Pesat Membangun) | ||||
Brazil | 69.9 | 80.4 | 59.7 | 20.7 |
Rusia | 74.3 | 79.9 | 69.0 | 10.9 |
India | 56.1 | 81.8 | 28.5 | 53.5 |
China | 75.9 | 82.8 | 68.6 | 14.2 |
EU terpilih (Negara Maju ) | ||||
Jerman | 78.2 | 82.4 | 74.0 | 8.4 |
Itali | 64.7 | 74.4 | 55.0 | 19.4 |
Belanda | 79.9 | 84.3 | 75.5 | 8.8 |
Sepanyol | 74.1 | 78.9 | 69.2 | 9.7 |
Negara Berpendapatan Tinggi Terpilih (Berdasarkan Takrifan Bank Dunia) | ||||
Australia | 77.2 | 82.5 | 72.0 | 10.5 |
Kanada | 78.3 | 81.8 | 74.8 | 7 |
UAE | 80.0 | 92.5 | 41.3 | 51.2 |
United Kingdom | 77.4 | 82.4 | 72.4 | 10 |
Amerika Syarikat | 71.8 | 77.4 | 66.1 | 11.3 |
Negara Amerika Latin Terpilih | ||||
Argentina | 67.7 | 80.1 | 55.3 | 24.8 |
Colombia | 75.2 | 86.6 | 64.2 | 22.4 |
Peru | 79.9 | 87.1 | 72.7 | 14.4 |
Sumber: Badan Perjalanan & Pelancongan Dunia (2019).
Jadual 1 membandingkan penyertaan tenaga buruh wanita dalam ASEAN+3, BRICS, EU, negara-negara berpendapatan tinggi terpilih yang ditakrifkan oleh Bank Dunia, dan negara-negara Amerika Latin berbanding dengan negara-negara ASEAN yang terpilih. Bagi ASEAN, Vietnam, Thailand dan Singapura mempunyai kadar penyertaan tenaga buruh wanita tertinggi berbanding dengan negara ASEAN yang lain. Walau bagaimanapun, antara tiga negara yang disebutkan di atas, penyertaan buruh wanita di Vietnam dan Thailand tinggi kerana penglibatan wanita di dalam industri pelancongan yang merupakan penyumbang utama kepada KDNK kedua-dua negara ini.
Dari segi penyertaan tenaga buruh wanita, ASEAN terus ketinggalan berbanding ASEAN+3 (negara-negara Asia maju), seperti China dan Jepun, dengan masing-masing mencatatkan 68.6 dan 68.7 peratus penyertaan buruh wanita dalam sektor pekerjaan, berbanding ASEAN (dengan purata 62.6 peratus). Perkara yang sama berlaku apabila kita membandingkan ASEAN dengan BRICS (Brazil, Rusia, India dan China, blok negara-negara terkemuka ekonomi dunia yang sedang pesat membangun). Dengan China dan Rusia mencatatkan kadar penyertaan buruh wanita yang lebih tinggi berbanding ASEAN, masing-masing dengan 68.6 dan 69 peratus.
Jika kita melebarkan perbandingan dengan negara-negara Kesatuan Eropah (EU). Hal yang sama masih dapat dilihat dengan Jerman, Belanda dan Sepanyol mengatasi ASEAN dengan perbezaan yang agak besar, dengan 74, 75.5, dan 69.2 peratus. Perkara yang sama masih berlaku apabila skop perbandingan diperluaskan dengan negara-negara yang berpendapatan tinggi seperti telah ditakrifkan oleh Bank Dunia. Australia, Kanada, United Kingdom dan Amerika Syarikat hampir mencapai 75 peratus penyertaan tenaga buruh wanita, dengan masing-masing mencatatkan 72, 74.8, 72.4 dan 66.1 peratus. Akhir sekali, apabila membandingkan penyertaan tenaga buruh wanita di ASEAN dengan negara-negara Amerika Latin. Colombia dan Peru mempunyai kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh yang lebih tinggi, dengan 64.2 dan 72.7 peratus.
Secara keseluruhan, penyertaan tenaga buruh wanita dalam industri pelancongan di ASEAN masih agak rendah berbanding dengan rantau lain dan negara-negara lain di seluruh dunia. Kebanyakan negara dan rantau dalam Jadual 1 menunjukkan penyertaan tenaga buruh wanita di ASEAN berbanding dengan rantau dan negara-negara lain agak kurang memberangsangkan. Dapat dilihat juga bahawa penyertaan tenaga buruh wanita di Filipina, Malaysia dan Indonesia agak rendah jika dibuat perbandingan dengan negara seperti Singapura, Thailand dan Vietnam.