20 Mac 2023, 17:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Industri halal semakin berkembang bukan sahaja di Malaysia bahkan seluruh dunia. Pasaran globalnya dijangka mencecah USD4.96 trilion (RM22.34 trilion) menjelang tahun 2030 berbanding USD2.3 trilion (RM10.28 trilion) pada tahun 2020. Pertumbuhan industri halal dunia yang rancak di seluruh dunia kerana berikutan peningkatan permintaan terhadap produk halal daripada masyarakat dunia. Bukan sahaja orang Islam yang berminat mendapatkan produk dan perkhidmatan halal tetapi orang bukan Islam juga berminat mendapatkannya. Malaysia merupakan antara negara yang mempunyai potensi besar dalam industri halal ini dan sewajarnya industri ini diberikan perhatian serta diangkat sebagai salah satu sistem yang berdaya saing di negara kita.

Perkataan halal berasal daripada perkataan Arab yang termaktub dalam al-Quran iaitu halla, yahillu, hillan, wahalalan yang membawa maksud dibenarkan atau dibolehkan. Dalam Islam, halal bukan sahaja merangkumi hal ehwal permakanan tetapi juga melibatkan keseluruhan aspek kehidupan sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai sekalian manusia, makanlah apa-apa yang di atas muka bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamumengikut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan merupakan musuh yang nyata bagimu,” (al-Baqah, 2:168). Dengan kata lain, aspek halal dalam pemakanan merangkumi penyediaan, pemprosesan, penyimpanan, pembungkusan, pengendalian dan pengangkutan. Berdasarkan portal Rasmi Halal Malaysia, konsep halal merujuk kepada setiap benda yang terhindar dari segala najis, dan mana-mana bahagian binatang yang haram dimakan sama ada disebabkan zat aslinya atau proses penyediaan yang tidak menepati syarak.

Industri halal di Malaysia bermula apabila Majlis Raja-raja Malaysia telah memutuskan penubuhan satu badan yang membangunkan kemajuan umat Islam Malaysia, Urusetia Majlis Kebangsaan Bagi Hal  Ehwal  Agama  Islam  Malaysia  yang kemudiannya diubah menjadi Bahagian Ugama, yang terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri. Hal ini apabila masyarakat Muslim menyedari perlunya satu sistem pemantauan perusahaan makanan halal. Pengesahan halal pada mulanya hanya dalam bentuk surat pengiktirafan tetapi bermula tahun 1994, pengesahan kepada pada para pengusaha diberikan dalam bentuk sijil penegsahan halal beserta logo halal yang akan digunakan atau dipamerkan. Sejajar dengan perkembangan pesat industri makanan dan keperluan umat Islam, Jabatan Perkhidmatan Awan (JPA) telah meluluskan satu bahagian baru yang khusus untuk menjaga pensijilan halal iatu, Bahagian Hub Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Sebenarnya, konsep halal ini bukan hanya memberi kepentingan kepada umat Islam semata-mata tetapi juga kepada manusia sejagat. Hal ini kerana konsep ini menitikberatkan jaminan kualiti sesuatu produk khususnya yang melibatkan pemprosesan, pengambilan dan penggunaan sesuatu produk atau perkhidmatan oleh seseorang Muslim. Sesuatu produk atau perkhidmatan yang mematuhi konsep ini bukan semata-mata kepada kandungan produk tetapi juga meliputi aspek kebersihan produk dan perkhidmatan tersebut yang akan memberi faedah kepada para pengguna tanpa mengira agama. Permintaan produk halal baik di pasaran tempatan mahu pun luar negara semakin meningkat dari hari ke hari sehingga mendorong ramai pengusaha bukan Islam memohon mendapatkan sijil halal di negara kita. Menurut Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Mohamed Talha, daripada sejumlah permohonan yang diterima hanya 20 peratus dalam kalangan pengusaha Islam.  Situasi ini menyedihkan kerana orang Islam sendiri tidak berusaha untuk memohon mendapatkan sijil halal sebaliknya orang bukan Islam lebih bijak merebut peluang ini. Bahkan, menurut laporan Utusan Malaysia pada tahun 20007, hampir 90 peratus pengusaha atau pengeluar makanan di negara ini terdiri daripada golongan kaum Cina.

Situasi itu bukan sahaja terjadi di Malaysia tetapi juga di peringkat dunia. Pengeluar makanan halal secara globalnya juga kebanyakannya terdiri daripada negara bukan Islam. Sebagai contohnegara pengeluar utama sumber daging merupakan negara bukan Islam iaitu Amerika Syarikat, Australia, India dan New Zealand. Walau bagaimanapun, Malaysia juga telah menetapkan hasrat untuk menjadi antara pusat pengeluaran makanan halal bagi keperluan pasaran tempatan dan dunia. Sebagai contohnya, Malaysia terus menjadi tunjang utama kepada gergasi pengeluar makanan dan minuman (F&B) dunia, Nestle bagi menghasil dan mengawal selia produk halalnya. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Halal Nestle dan Ketua Bahagian Halal Nestle Malaysia, Othman Md Yusoff, ketika ini ada lebih 150 daripada 477 kilang Nestle di seluruh dunia mengeluarkan produk halal dan pihak Nestle akan merujuk kepada Malaysia, iaitu Pusat Kecemerlangan Halal bagi Nestle global untuk meminta nasihat dan seterusnya menyediakan bantuan teknikal di kilang mereka untuk membantu memperoleh pensijilan halal. Nestle Malaysia juga terus komited untuk membantu Malaysia menjadi hab halal global.

Kerajaan juga terus merancakkan industri halal dalam negara dengan mewujudkan Taman Industri Halal Malaysia. Inisiatif ini telah berjaya menarik lebih daripada RM 16 bilion pelaburan setakat September 2022 dengan RM 9.5 bilion atau 59 peratus daripada jumlah ini ialah pelaburan langsung asing (FDI). Sejumlah 295 syarikat telah beroperasi di 22 Taman Halal di seluruh negara termasuklah 42 syarikat multinasional berdasarkan Laporan Kewangan Rakyat ke-111 yang dikeluarkan pada September lalu. Taman Perindustrian Halal Malaysia merupakan hab halal dunia terbesar yang meliputi kawasan seluas 80 937.13 hektar di 14 Taman Halal strategik yang sudah menerima status Halal Malaysia (Halmas) daripada Halal Development Corporation (HDC). Taman Halal ini menawarkan fasiliti infrastruktur yang bertaraf dunia, tenaga kerja berkemahiran, kemudahan menjalankan perniagaan, akses mendapatkan ramuan halal, serta insentif menarik daripada kerajaan yang sentiasa menggalakkan pembangunan halal.

Negara kita juga berjaya mengekalkan kedudukan perolehan produk halal tertinggi berbanding 81 negara lain, berdasarkan Petunjuk Ekonomi Islam Global yang terkandung dalam laporan State of the Global Islamic Economy 2022 yang berlandaskan inisiatif digitalisasi ekonomi, pembangunan infrastruktur halal dan peningkatan fokus kerajaan terhadap sekuriti makanan dan penjagaan kesihatan. Inisiatif pembangunan halal dalam kalangan perusahaan industri kecil dan sederhana (PKS) juga tidak dilupakan dengan pihak kerajaan juga terus berusaha melahirkan lebih ramai pengusaha mikro, kecil dan sederhana (PKMS) halal yang dapat bersaing pada peringkat antarabangsa dengan melaksanakan pelbagai program termasuklah Penjenamaan Digital Produk Halal PMKS dan program Peningkatan Kebolehpasaran Produk Halal PMKS. Kerajaan pada tahun ini juga telah melancarkan Wakaf Halal PKS iaitu sebuah inisiatif pembiayaan alternatif bagi PMKS dalam industri halal yang bertujuan untuk merancakkan lagi ekonomi halal di negara ini. Sebanyak RM4 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan sebagai dana pemula kepada pelaksanaan inisiatif ini yang matlamatnya adalah untuk membantu menyediakan bantuan kewangan bagi pembelian aset perniagaan PKS seterusnya melahirkan lebih ramai pengusaha industri halal di Malaysia.

Malaysia kini merupakan negara yang terkenal sebagai hab halal di pasaran global terutamanya melalui penganjuran beberapa program seperti Persidangan Halal Sedunia (WHBC) yang sudah memasuki tahun ke-14 penganjurannya. Pada tahun ini penganjuran WHBC dilaksanakan di Australia pada awal September sebagai antara salah satu usaha meluaskan lagi rangkaian, potensi, pasaran serta mendedahkan kepada lebih ramai kumpulan sasaran di luar Malaysia. Menurut Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Hairol Ariffein Sahari daripada 200 000 PMKS terlibat dalam industri halal, hanya 8000 syarikat yang memiliki sijil halal. Manakala, hanya sebanyak 2000 buah syarikat tempatan sahaja yang berjaya menembusi pasaran eksport dan memiliki sijil halal yang menyebabkan negara kita telah kehilangan banyak peluang berpotensi dalam industri halal global sedangkan industri ini semakin berkembang luas terutamanya sejak pandemik COVID-19 melanda dunia. Masyarakat dunia tanpa mengira agama lebih prihatin akan keselamatan produk yang diambil mereka terutamanya produk makanan dan minuman.

Tuntasnya, usahawan PKMS yang beragama Islam terutamanya perlu pantas menghidu dan merebut pelbagai peluang dalam industri halal yang sebenarnya terbuka luas buat mereka. Para usahawan PKMS perlu memastikan produk keluaran mereka berkualiti dan menepati semua keperluan syarak seterusnya memohon mendapatkan sijil halal bagi produk masing-masing. Kebanyakan usahawan terutamanya usahawan Muslim tidak cuba untuk memohon sijil halal bagi produk keluaran mereka sebaliknya berbeza dengan usahawan bukan Muslim yang lebih bijak mengintai peluang industri ini yang semakin berkembang bukan sahaja di peringkat glokal malahan global.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.