Oleh Firdaus Mul
14 Mac 2023, 12:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Data yang diperoleh daripada hasil bancian bukan sahaja dapat membantu memahami keadaan semasa, malah hal tersebut juga menjadi landasan kepada pihak kerajaan untuk menggubal dasar dan program yang tertentu.

Hal ini  dijelaskan oleh Yang Berhormat (YB) Rafizi Ramli yang juga merupakan Menteri Ekonomi Malaysia dalam Majlis Pelancaran Banci Ekonomi 2023 yang bertempat di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia pada 14 Mac 2023. Banci Ekonomi 2023 (BE 2023) merupakan kesinambungan banci yang pernah dilaksanakan seawal tahun 2001. Banci Ekonomi akan dilaksanakan setiap lima tahun, dan tahun ini merupakan tahun ke-5 Banci Ekonomi dilaksanakan.

Antara objektif pelaksanaan Banci Ekonomi 2023 ialah menilai pencapaian Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), mengenal pasti pertubuhan baharu ekonomi, menjana statistik ekonomi baharu, menjana statistik utama sehingga ke peringkat daerah, meningkatkan kapasiti statistik data raya negara, penanda aras baharu untuk memperkemaskan statistik sedia ada. Tempoh pelaksanaan Banci Ekonomi 2023 akan bermula pada 1 April 2023 hingga 1 September 2023, iaitu melibatkan liputan banci daripada 1121 industri, 1 184 719 pertubuhan dan 26 borang banci mengikut subsektor.

Menurut YB Rafizi Ramli, pandemik COVID-19 menyebabkan beberapa bancian utama tertunda. “Tahun ini bukan sahaja tahun yang mencabar tetapi saya harap menjadi titik penting kepada Jabatan Statistik, Kementerian Ekonomi dan negara keseluruhannya. Data yang diperoleh daripada bancian demi bancian ini membolehkan kita memahami kedudukan sekarang”. Bahkan beliau turut menegaskan bahawa banci ekonomi, banci mengenai pendapatan isi rumah dan tahun depan banci mengenai sektor pertanian merupakan banci yang penting untuk negara kerana hal tersebut menjadi landasan kepada kerajaan untuk menggubal dasar dan program.”

Beliau juga menyatakan bahawa perkongsian data tertentu kepada orang ramai melalui Jabatan Statistik Negara memperlihatkan keterbukaan kerajaan dalam usaha membuka minda rakyat, pemegang taruh dan pemain industri memanfaatkan maklumat dan data yang dikongsikan dalam sistem kerajaan. Hal tersebut juga diharapkan dapat menjana inovasi berasaskan data dan memberikan pelbagai manfaat dalam kalangan mereka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.